
Oleh Sakina Mohamed
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Hasil kajian mengenai vaksin denggi yang
dinanti-nantikan dan akhirnya diperkenalkan Jumaat lepas menunjukkan
keberkesanan hampir 90 peratus dalam mencegah demam denggi berdarah.
Syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi mendedahkan dalam jurnal
perubatan terkemuka, The Lancet, hasil terperinci Fasa III ujian
klinikal yang dilakukan di lima buah negara Asia.
Lebih dua pertiga angka global penyakit yang berpunca daripada nyamuk dicatat di rantau ini.
Ujian klinikal dijalankan ke atas 10,275 kanak-kanak sihat berumur
antara dua dan 14 tahun di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan
Vietnam.
Kajian kemujaraban vaksin denggi ini adalah yang pertama dijalankan secara besar-besaran.
Ia bertujuan untuk menganggarkan perlindungan yang dihasilkan oleh
vaksin ini selepas suntikan terakhir daripada tiga suntikan, setiap satu
jaraknya enam bulan.
IMPLIKASI EKONOMI
Penemuan kajian menunjukkan vaksin itu menyediakan perlindungan
sebanyak 80 peratus daripada demam denggi berdarah selepas satu atau
lebih suntikan dan perlindungan meningkat kepada 88.5 peratus selepas
suntingan ketiga.
Menurut ahli virologi Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit,
keadaan itu dapat mengurangkan kos kemasukan ke hospital dan penjagaan
kesihatan memandangkan vaksin boleh mengurangkan insiden denggi yang
teruk sebanyak dua pertiga.
Ia juga boleh mengelakkan kematian.
Beliau, yang juga mantan Presiden Jawatankuasa Pemandu Vaksinasi Vaksin
Denggi Asia Pasifik, berkata kesan sosial kepada ibu bapa tidak boleh
diukur.
Kajian menggunakan sumber data berganda untuk menganggarkan kos akibat
sakit ini di Malaysia oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya bersama
Universiti Brandeis, Amerika Syarikat menunjukkan beban ekonomi denggi
di negara ini ialah AS102(RM325) juta setahun, atau anggaran AS3.72
(RM11.85) pe kapita.
"Satu kajian lain oleh penyelidik UM dan Brandeis adalah mengenai kos
ekonomi kawalan vektor denggi dan kos per kapita dianggarkan AS1.70
(RM5.42).
"Menggunakan vaksin sekarang mempunyai keberkesanan kos untuk negara,"
kata Dr Lam, Perunding Penyelidik Impak Tinggi Universiti Malaya (UM).
Sanofi Pasteur, bahagian vaksin Sanofi, mendedahkan dalam satu
kenyataan akhbar pada 11 Julai bahawa vaksin itu mengurangkan denggi
sebanyak 56.5 peratus dalam kumpulan yang diberi vaksin.
Ini berbanding dengan kumpulan yang dikawal seperti yang dicatat sepanjang 25 hari kawalan aktif dilakukan.
Data itu juga menunjukkan perlindungan lebih baik terhadap virus denggi
jenis DEN3 dan 4 (75 peratus), kurang terhadap DEN1 (50 peratus) dan
kurang terhadap DEN2 (35 peratus).
Dr Lam menyatakan peratus kemujaraban terhadap DEN2 adalah rendah dan menambah analisis selanjutnya perlu dibuat.
"Penting untuk menunggu hasil ujian Amerika Latin yang melibatkan lebih
20,000 sukarelawan dan untuk melihat sama ada penemuan ini betul",
katanya.
Ujian peringkat akhir kedua sedang dilaksanakan di Brazil, Columbia,
Honduras, Mexico dan Puerto Rico ke atas 20,000 kanak-kanak berusia
antara sembilan dan 16 tahun.
Hasil kajian akan diterbitkan sebelum akhir tahun ini.
SEJAUH MANA BERKESAN?
Menurut Dr Lam, salah satu perkara yang ditimbulkan dalam The Lancet
adalah kemujaraban satu dos vaksin di sebalik tiga dos, di kelima-lima
buah negara di mana ujian dibuat.
Ini mungkin boleh mengurangkan kos pelalian bagi vaksin yang mungkin tinggi harganya.
Apa yang berlaku mungkin ada kaitan dengan hakikat sukarelawan
mempunyai antibodi sedia ada akibat pendedahan semula jadi kepada
'flavivirus' termasuk denggi.
"Penilaian selanjutnya perlu dibuat untuk melihat sama ada hasil penemuan ini adalah konsisten.
"Jika betul, ini akan memudahkan lagi pentadbiran vaksin di
negara-negara yang mempunyai kes denggi yang berleluasa dan sudah
tentunya lebih murah," kata Dr Lam.
Penemuan itu juga menyatakan vaksin berkenaan lebih mujarab di
negara-negara yang mempunyai kes denggi yang tinggi kerana wujudnya
antibodi sedia ada.
Atas sebab yang sama ia lebih berkesan kepada kanak-kanak yang lebih tua memandangkan kumpulan itu mungkin pernah mengalaminya.
Vaksin itu juga mungkin tidak berapa berkesan untuk mereka yang datang
dari negara-negara yang tidak ada kes denggi yang banyak.
"Pelancong British yang mahu mendapatkan pelalian daripada penyakit
denggi sebelum datang ke Malaysia, sebagai contoh, mungkin mendapat
perlindungan yang lemah daripada vaksin itu.
"Bagaimanapun, kami perlu melakukan kajian yang lebih besar sebelum membuat sebarang kesimpulan," katanya kepada Bernama.
Dr Lam mencadangkan vaksin itu diberi kepada kanak-kanak yang bersekolah terlebih dahulu, terutamanya di sekolah menengah.
"Hakikatnya denggi yang teruk berlaku kepada orang muda dan dengan
memberi vaksin kepada pelajar-pelajar sekolah menengah, kumpulan
berisiko ringgi untuk denggi yang teruk, ini boleh mengurangkan demam
denggi berdarah serta kematian di negara ini", katanya.
LANGKAH SELANJUTNYA
Hampir separuh daripada penduduk dunia telah dijangkiti denggi yang
juga dikenali sebagai "demam mematah tulang" kerana kesakitan yang
melampau.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), denggi menyerang kira-kira
100 juta orang setahun sementara sesetengah pakar meletakkan angkanya
tiga kali ganda.
Di Malaysia, sebanyak 46,681 kes denggi dilaporkan berlaku dari Januari
hingga awal Julai tahun ini. Ini adalah kenaikan 246 peratus berbanding
tempoh yang sama tahun lepas.
Angka kematian untuk tempoh yang sama berjumlah 87,222 peratus kenaikan daripada tempoh yang sama tahun lepas.
"Dalam tempoh 40 tahun lepas sejak saya mula membuat penyelidikan
terhadap denggi, kes penyakit ini telah meningkat 30 kali ganda di
sebalik langkah kawalan yang dilakukan.
"Vaksin ini memberi kami harapan kita ada peralatan tambahan untuk menangkis serangan penyakit ini.
"Sekiranya data daripada ujian Amerika Latin menyokong kajian Asia,
pihak yang berwajib perlu menimbangkan secara serius penggunaannya di
Malaysia," katanya.
-- BERNAMA