TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts
Showing posts with label Pulau Pinang. Show all posts

Tuesday, 17 November 2015

Kes Denggi Di Pulau Pinang Catat Penurunan Sepanjang Minggu Lepas


GEORGE TOWN, 17 Nov (Bernama) -- Kes demam denggi di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 18.2 peratus atau 31 kes bagi tempoh tujuh hari minggu lepas berbanding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata sebanyak 139 kes denggi dilaporkan dari 8 hingga 14 Nov berbanding 170 kes dari 1 hingga 7 Nov lepas.

Beliau berkata walaupun terdapat penurunan kes, secara kumulatif sehingga 14 Nov lepas sebanyak 4,832 kes denggi dilaporkan berbanding 2,097 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 2,735 kes atau 130.42 peratus.

"Sebanyak 15 kematian akibat demam denggi dilaporkan bagi tahun ini berbanding lima kematian demam denggi bagi tempoh sama tahun lepas. Pulau Pinang berada di tangga kelima yang mencatatkan jumlah kematian akibat demam denggi di seluruh negara.

"Selangor adalah negeri yang mencatatkan jumlah kematian akibat denggi yang tertinggi iaitu sebanyak 110 kematian diikuti Johor (39 kematian), Kuala Lumpur (32 kematian) dan Perak (24 kematian)," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat demam denggi, Sharon Chai Khiun Jin di Tingkat Paya Terubong 4, dekat sini Selasa.

Turut hadir Ketua Menteri Lim Guan Eng. Chai meninggal dunia pada 11 Nov lalu selepas disahkan positif denggi pada 7 Nov.

Dr Afif berkata pada ketika ini, terdapat 28 lokaliti wabak terkawal dilaporkan di Pulau Pinang iaitu Desa Baiduri, Desa Permata, Apartment Serina Bay, Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor, Bukit Dumbar Permai dan Jalan Abdullah Ariff.

Lokaliti lain ialah Jalan Goh Guan Ho, Jalan Sheikh Madar, Lahat Court, Pangsapuri Pelangi, Sri Wangsa, Taman Abidin, Taman Kristal Apartment, Taman Lembah Hijau, Tingkat Paya Terubong, Taman Suria Vista, Kampung Tanjung Bungah, Changkat Tembaga dan Greelane Heights Apartment dari daerah Timur Laut, katanya.

"Lokaliti Desa Bayan, Mutiara Perdana dan Permatang Damar Laut dari daerah Barat Daya. Lokaliti Lengkok Inderawasih, Kompleks Perai Utama, Pintas Tenggiri dan Persiaran Kota Permai dari daerah Seberang Perai Tengah (SPT). Lokaliti Taman Bagan Jaya dari daerah Seberang Perai Utara (SPU) serta perkampungan Jawi di daerah Seberang Perai Selatan (SPS)," katanya.

Beliau berkata terdapat empat lokaliti wabak tidak terkawal iaitu di Pangsapuri Inspektor Polis Lorong Batu Lanchang dan Taman Sri Pinang dari daerah Timur Laut serta Taman Limau Manis dan Flat Telok Indah di daerah SPT.

Dr Afif berkata terdapat tujuh lokaliti titik panas iaitu di daerah Timur Laut di Desa Pinang 2 dan Jalan Lim Khoon Huat; Flat Pusat Bayan, Taman Kumbar Permai dan Halaman Murni di daerah Barat Daya serta Flat Inderawasih dari daerah SPT.

Sementara itu, Lim menyifatkan situasi semasa demam denggi di negeri ini sebagai serius dan satu krisis kesihatan yang perlu diberi perhatian serius oleh penduduk di negeri ini.

"Malangnya rakyat kini menganggap denggi ini sebagai satu perkara biasa dan mereka sudah lali dengan penyakit denggi ini. Kalau kita anjurkan gotong-royong tak ramai komuniti yang turut serta sebab mereka anggap ini perkara biasa.

"Adalah penting rakyat memberi tumpuan kepada denggi supaya tidak mudah dijangkiti penyakit ini. Jangan rasa ini perkara biasa. Ini adalah satu perkara serius. Harap tidak ada peningkatan kes-kes sedemikian lagi," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya terus mengambil langkah pencegahan bagi menghentikan penularan penyakit denggi dengan melakukan pemeriksaan dalam rumah dan kawasan sekitar, selain menjalankan gotong-royong di kawasan perumahan bagi menghapuskan tempat-tempat berpotensi pembiakan nyamuk aedes.

-- BERNAMA

Sunday, 25 January 2015

Dua Kematian Akibat Denggi Di Pulau Pinang


BUTTERWORTH, 25 Jan (Bernama) -- Dua kematian akibat denggi dicatatkan awal tahun ini di Pulau Pinang, yang menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata situasi itu sangat membimbangkan kerana kes denggi di negeri ini tidak menunjukkan penurunan walaupun pelbagai usaha membasmi pembiakan nyamuk aedes giat dijalankan.

"Pada 2013, sebanyak tujuh kematian akibat denggi dicatatkan manakala pada 2014 sebanyak 11 kematian pula dicatatkan. Ia meningkat kira-kira 45.5 peratus. Selepas satu minggu memasuki 2015, statistik denggi masih belum menunjukkan tanda-tanda penurunan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian gotong-royong perdana tempat pembiakan nyamuk aedes peringkat negeri oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng di Taman Tenggiri, Seberang Jaya di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Datuk Dr Zailan Adnan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai Datuk Maimunah Mohd Sharif.

Dr Afif berkata sehingga 17 Jan lepas, sebanyak 247 kes denggi dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 152.04 peratus berbanding 98 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas.

Tahun lepas, Pulau Pinang mencatatkan 3,141 kes demam denggi iaitu peningkatan hampir 200 peratus berbanding bilangan dicatatkan pada 2013.

Beliau berkata terdapat empat lokaliti 'hotspot' iaitu di Jalan Lim Eow Thoon, Flat Batu Lanchang dan Taman Free School di daerah Timur Laut serta Taman Sri Janggus di daerah Seberang Perai Tengah.

"Dua lokaliti wabak tak terkawal pula di Taman Teguh dan Flat Hamna di daerah Timur Laut," katanya.

Program gotong-royong perdana itu, yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Pulau Pinang membendung wabak denggi, adalah kali kedua dianjurkan melibatkan 40 buah kawasan sekitar Pulau Pinang.

Sementara itu, Lim berkata program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah laku (Combi) adalah satu langkah yang paling berkesan dalam usaha memerangi denggi.

"Program Combi perlu ditubuhkan dan bergerak aktif di lokaliti bermasalah denggi. Program memperkasakan komuniti bagi menjalankan aktiviti pencegahan denggi ini perlu terus diberi sokongan.

"Penglibatan wakil masyarakat tempatan amat penting bagi memastikan Combi terus bergerak aktif dan berupaya mencapai matlamat untuk mencegah denggi," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, 19 April 2014

Kes Demam Denggi Di P.Pinang Meningkat 392 Kes


GEORGE TOWN, 18 April (Bernama) -- Kes demam denggi di Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga 12 April lepas meningkat kepada 602 berbanding 210 kes untuk tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata sebanyak tiga kematian direkod dalam tempoh itu berbanding tiada kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

"Kes demam denggi meningkat sebanyak 392 kes atau 187 peratus bagi tempoh itu dengan empat lokaliti wabak terkawal iaitu Lintang Bunga Raya di daerah Seberang Perai Utara, Perkampungan Berapit di Seberang Perai Tengah (SPT), Taman Manggis dan Medan Sungkai di Timur Laut dan satu lokaliti hotspot iaitu di Taman Desa Damai di SPT," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mencegah pembiakan Aedes yang mengundang demam denggi.

Dr Afif berkata Jabatan Kesihatan juga meminta kerjasama masyarakat untuk melakukan pembersihan kawasan sekitar secara kerap setiap minggu.

Beliau menasihatkan mereka yang mengalami demam dan tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit sendi, muntah, ruam dan kurang selera makan supaya mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.

-- BERNAMA

Friday, 4 April 2014

Kes Demam Denggi Di P. Pinang Meningkat 196 Peratus



GEORGE TOWN, 4 April (Bernama) -- Kes demam denggi di Pulau Pinang meningkat 196 peratus dengan 560 kes dilapor setakat 29 Mac lepas berbanding hanya 189 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata tiga kematian akibat demam denggi dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Mac lalu berbanding tiada kematian bagi tempoh sama pada 2013.

"Pada masa ini terdapat lapan lokaliti wabak terkawal dilaporkan di Pulau Pinang iaitu di Teluk Awak dan Lorong Hassan Abbas di daerah Barat Daya; Taman Mutiara, Jalan Megat Harun, Taman Makok dan Taman Sri Janggus di daerah Seberang Perai Tengah (SPT); dan Taman Bagan serta Taman Lip Kee di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

"Terdapat satu lokaliti 'hotspot' iaitu di Taman Desa Damai di daerah SPT," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mencegah pembiakan Aedes yang mengundang demam denggi.

"Kaedah menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk Aedes mampu mengawal gejala demam denggi daripada berlaku," katanya.

Dr Afif berkata pihak Jabatan Kesihatan juga meminta kerjasama masyarakat untuk melakukan pembersihan kawasan sekitar secara kerap setiap minggu.

Beliau menasihatkan mereka yang mengalami demam dan tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit sendi, muntah, ruam dan kurang selera makan supaya mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.



-- BERNAMA