TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Showing posts with label Vaksin Denggi. Show all posts
Showing posts with label Vaksin Denggi. Show all posts

Monday, 14 December 2015

Mexico Luluskan Vaksin Denggi Pertama Dunia


Oleh Sakina Mohamed

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Mexico telah meluluskan vaksin denggi pertama di dunia, Dengvaxia, pada hari Rabu, namun Malaysia masih belum mengambil keputusan mengenai perkara tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu Bernama Kementerian Kesihatan masih lagi mengkaji isu itu.

Antara keraguan yang timbul ialah kadar keberkesanan rendah vaksin itu terhadap DEN2, iaitu jenis virus yang paling kerap ditemui dalam kes-kes denggi di Malaysia.

Tindakan pihak berkuasa kesihatan Mexico itu menjadikan Dengvaxia vaksin pertama di dunia yang dilesenkan untuk mengelakkan jangkitan denggi.

Keputusan itu diambil Mexico setelah berpuas hati dengan keputusan fasa terakhir ujian vaksin itu di negara-negara Amerika Latin pada 2014. Ia telah dijalankan ke atas 20,875 kanak-kanak berumur dari 9-16 tahun di Brazil, Columbia, Honduras, Mexico dan Puerto Rico.

DENGVAXIA

Dengvaxia dibangunkan oleh Pasteur, cawangan vaksin Sanofi, sebuah syarikat farmaseutikal Perancis.

Ia telah menjalankan kajian ke atas penyakit tropika itu selama lebih 20 tahun dengan kos �1.5 billion (dalam RM7 billion). Ini termasuk kos pembuatan vaksin.

Pada 11 Julai, 2014, Sanofi mengumumkan dalam jurnal perubatan terkemuka, The Lancet, bahawa vaksin denggi yang dihasilkannya telah melepasi fasa III ujian klinikal di Asia Tenggara. Ujian fasa III adalah antara ujian terakhir bagi sesuatu ubat sebelum ia dapat diletakkan di pasaran.

Ujian klinikal yang dijalankan ke atas 10,275 kanak-kanak sihat berumur antara dua dan 14 tahun di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam itu menunjukkan keberkesanan sebanyak 56.5 peratus bagi kumpulan yang divaksinkan berbanding dengan kumpulan kawalan, dalam pantauan aktif selama 25 bulan itu.

Data itu juga menunjukkan perlindungan lebih baik terhadap virus denggi jenis DEN3 dan 4 (75 peratus). Bagaimanapun, seperti keputusan ujian klinikal di Amerika Latin, ia menunjukkan perlindungan yang kurang terhadap DEN1 (50 peratus) dan DEN2 (35 peratus).

Namun ujian klinikal di Asia Tenggara menunjukkan vaksin itu 88 peratus berkesan mengelakkan denggi berdarah.

KERAGUAN

Pada awalnya, Kementerian Kesihatan mengumumkan vaksin denggi itu bakal disediakan di Malaysia pada pertengahan 2015.

"Vaksin itu akan diberikan percuma kepada orang ramai di Malaysia," kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya ketika itu.

Namun, pihak kementerian menarik balik keputusan itu beberapa bulan selepas itu, dengan menteri Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengatakan data kajian yang diberikan tidak cukup untuk penggunaan vaksin itu pada skala besar.

Pakar virologi terkemuka Prof Emeritus Dato Dr Lam Sai Kit melahirkan kekesalannya atas keputusan Kementerian Kesihatan namun faham akan kebimbangan yang dinyatakan.

"Sebagai Pengerusi Pengasas Jawatankuasa Pemandu Vaksin hingga Pemvaksinan Denggi Asia Pasifik, ingin saya katakan bahawa kami telah mengawasi pembikinan vaksin ini secara dekat disamping memastikan ianya berkesan, melindungi dan paling penting, selamat digunakan.

"Vaksin ini telah melalui ujian klinikal yang ketat membabitkan lebih 31,000 orang dari 10 negara. Setahu saya, tiada vaksin lain yang lebih diuji dengan teliti daripada vaksin ini. Keputusan ujian di Asia dan Amerika Latin juga telah disiarkan dalam jurnal saintifik paling terkemuka dan dikaji dengan teliti," katanya kepada Bernama.

Lam yang telah bekerja di bidang virologi denggi lebih 40 tahun telah mengikuti pembangunan Dengvaxia sejak awal lagi.

"Saya bersama WHO Geneva pada 1980an sehingga dua tahun. Ketika itu, saya sebahagian daripada pasukan petugas untuk mengawasi pembangunan vaksin denggi tetravalen Mahidol di Thailand. Selepas 20 tahun, mereka mendapati ianya tidak dapat digunakan.

"Sanofi Pasteur kemudian menyahut cabaran yang sama 20 tahun lalu menggunakan kaedah berlainan. Kini mereka berjaya mengeluarkan vaksin denggi pertama di dunia yang telah pun dilesenkan di Mexico," katanya.

KEBIMBANGAN DAN KOS

Bernama sebelum ini telah bertanya kepada Noor Hisham sama ada kos yang tinggi menjadi penghalang vaksin itu digunakan di Malaysia.

Bagaimanapun, jawapan beliau ialah pihak kementerian masih mengkaji data yang ada dengan lebih mendalam.

Lam agak kecewa dengan keteragaan itu.

"Malaysia punyai peluang menjadi negara pertama dalam sejarah untuk melesenkan vaksin denggi, namun kita tidak merebut peluang itu. Kadangkala, kita boleh jadi terlalu berhati-hati dan mengambil masa terlalu lama untuk mendebatkan kebaikan dan kelemahan sesuatu tindakan.

"Saya harap bukan kos yang menjadi penghalang. Kalau Mexico boleh menjadikannya satu keutamaan negara, kenapa tidak Malaysia? Sekurang-kurangnya kita boleh menjadi negara pertama di Asia menggunakan vaksin ini," katanya.

Lam merumuskan dari mesyuarat yang dihadirinya bersama para saintis lain dan wakil Kementerian Kesihatan, kebimbangan utama kakitangan kesihatan ialah cara menyampaikan kepada orang ramai bahawa keberkesanan keseluruhan bagi vaksin itu hanyalah 60 peratus.

"Ini bermaksud, 40 peratus daripada mereka yang disuntik vaksin masih berkemungkinan dijangkiti denggi. Namun vaksin itu akan memastikan jangkitan itu tidak akan melarat ke tahap serius yang boleh mengakibatkan kematian. Demam yang mereka dapat mungkin tahap lemah sahaja," jelasnya.

Apapun, pastinya bukan mudah untuk kakitangan kesihatan menerangkan hal ini kepada ibu bapa yang anaknya dijangkiti denggi walaupun telah divaksin.

"Kita tidak boleh lupa, vaksin ini dapat mengurangkan kadar denggi berdarah 80-90 peratus, sekaligus mengurangkan kemasukan wad dan kematian. Ini juga bakal banyak menjimatkan perbelanjaan negara," katanya lagi.

Menurut WHO, sebanyak 390 juta kes dilaporkan setiap tahun di lebih 100 negara, kebanyakannya negara membangun. Setengah juta daripada jumlah itu dijangkiti denggi berdarah.

Di Asia sahaja, kos tahunan merawat denggi adalah dalam US$2 bilion (RM8.53 billion), tetapi ini belum lagi mengambil kira kos pengawalan vektor.

Kajian oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Brandeis University pada 2012 menunjukkan bebanan ekonomi akibat denggi kepada Malaysia dalam RM360 juta setahun.

Jumlah ini tentunya lebih tinggi lagi pada tahun-tahun selepasnya, memandangkan peningkatan mendadak kes denggi dan kos perubatan negara.

Lam mengingatkan manfaat vaksin denggi kepada kesihatan awam adalah besar walaupun keberkesanannya dianggap rendah.

"Tiada vaksin sempurna di dunia. Malah, ada vaksin melawan penyakit berjangkit yang digunakan walaupun keberkesanannya kurang 50 peratus.

"Adalah salah untuk mempercayai bahawa sesuatu vaksin itu perlu sempurna sebelum kita menimbang untuk menggunakannya," katanya.

BERNAMA

Sunday, 20 July 2014

Vaksin Denggi Mungkin Boleh Mengelakkan Demam Denggi Berdarah

Oleh Sakina Mohamed

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Hasil kajian mengenai vaksin denggi yang dinanti-nantikan dan akhirnya diperkenalkan Jumaat lepas menunjukkan keberkesanan hampir 90 peratus dalam mencegah demam denggi berdarah.

Syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi mendedahkan dalam jurnal perubatan terkemuka, The Lancet, hasil terperinci Fasa III ujian klinikal yang dilakukan di lima buah negara Asia.

Lebih dua pertiga angka global penyakit yang berpunca daripada nyamuk dicatat di rantau ini.

Ujian klinikal dijalankan ke atas 10,275 kanak-kanak sihat berumur antara dua dan 14 tahun di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Kajian kemujaraban vaksin denggi ini adalah yang pertama dijalankan secara besar-besaran.

Ia bertujuan untuk menganggarkan perlindungan yang dihasilkan oleh vaksin ini selepas suntikan terakhir daripada tiga suntikan, setiap satu jaraknya enam bulan.

IMPLIKASI EKONOMI

Penemuan kajian menunjukkan vaksin itu menyediakan perlindungan sebanyak 80 peratus daripada demam denggi berdarah selepas satu atau lebih suntikan dan perlindungan meningkat kepada 88.5 peratus selepas suntingan ketiga.

Menurut ahli virologi Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, keadaan itu dapat mengurangkan kos kemasukan ke hospital dan penjagaan kesihatan memandangkan vaksin boleh mengurangkan insiden denggi yang teruk sebanyak dua pertiga.

Ia juga boleh mengelakkan kematian.

Beliau, yang juga mantan Presiden Jawatankuasa Pemandu Vaksinasi Vaksin Denggi Asia Pasifik, berkata kesan sosial kepada ibu bapa tidak boleh diukur.

Kajian menggunakan sumber data berganda untuk menganggarkan kos akibat sakit ini di Malaysia oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya bersama Universiti Brandeis, Amerika Syarikat menunjukkan beban ekonomi denggi di negara ini ialah AS102(RM325) juta setahun, atau anggaran AS3.72 (RM11.85) pe kapita.

"Satu kajian lain oleh penyelidik UM dan Brandeis adalah mengenai kos ekonomi kawalan vektor denggi dan kos per kapita dianggarkan AS1.70 (RM5.42).

"Menggunakan vaksin sekarang mempunyai keberkesanan kos untuk negara," kata Dr Lam, Perunding Penyelidik Impak Tinggi Universiti Malaya (UM).

Sanofi Pasteur, bahagian vaksin Sanofi, mendedahkan dalam satu kenyataan akhbar pada 11 Julai bahawa vaksin itu mengurangkan denggi sebanyak 56.5 peratus dalam kumpulan yang diberi vaksin.

Ini berbanding dengan kumpulan yang dikawal seperti yang dicatat sepanjang 25 hari kawalan aktif dilakukan.

Data itu juga menunjukkan perlindungan lebih baik terhadap virus denggi jenis DEN3 dan 4 (75 peratus), kurang terhadap DEN1 (50 peratus) dan kurang terhadap DEN2 (35 peratus).

Dr Lam menyatakan peratus kemujaraban terhadap DEN2 adalah rendah dan menambah analisis selanjutnya perlu dibuat.

"Penting untuk menunggu hasil ujian Amerika Latin yang melibatkan lebih 20,000 sukarelawan dan untuk melihat sama ada penemuan ini betul", katanya.

Ujian peringkat akhir kedua sedang dilaksanakan di Brazil, Columbia, Honduras, Mexico dan Puerto Rico ke atas 20,000 kanak-kanak berusia antara sembilan dan 16 tahun.

Hasil kajian akan diterbitkan sebelum akhir tahun ini.

SEJAUH MANA BERKESAN?

Menurut Dr Lam, salah satu perkara yang ditimbulkan dalam The Lancet adalah kemujaraban satu dos vaksin di sebalik tiga dos, di kelima-lima buah negara di mana ujian dibuat.

Ini mungkin boleh mengurangkan kos pelalian bagi vaksin yang mungkin tinggi harganya.

Apa yang berlaku mungkin ada kaitan dengan hakikat sukarelawan mempunyai antibodi sedia ada akibat pendedahan semula jadi kepada 'flavivirus' termasuk denggi.

"Penilaian selanjutnya perlu dibuat untuk melihat sama ada hasil penemuan ini adalah konsisten.

"Jika betul, ini akan memudahkan lagi pentadbiran vaksin di negara-negara yang mempunyai kes denggi yang berleluasa dan sudah tentunya lebih murah," kata Dr Lam.

Penemuan itu juga menyatakan vaksin berkenaan lebih mujarab di negara-negara yang mempunyai kes denggi yang tinggi kerana wujudnya antibodi sedia ada.

Atas sebab yang sama ia lebih berkesan kepada kanak-kanak yang lebih tua memandangkan kumpulan itu mungkin pernah mengalaminya.

Vaksin itu juga mungkin tidak berapa berkesan untuk mereka yang datang dari negara-negara yang tidak ada kes denggi yang banyak.

"Pelancong British yang mahu mendapatkan pelalian daripada penyakit denggi sebelum datang ke Malaysia, sebagai contoh, mungkin mendapat perlindungan yang lemah daripada vaksin itu.

"Bagaimanapun, kami perlu melakukan kajian yang lebih besar sebelum membuat sebarang kesimpulan," katanya kepada Bernama.

Dr Lam mencadangkan vaksin itu diberi kepada kanak-kanak yang bersekolah terlebih dahulu, terutamanya di sekolah menengah.

"Hakikatnya denggi yang teruk berlaku kepada orang muda dan dengan memberi vaksin kepada pelajar-pelajar sekolah menengah, kumpulan berisiko ringgi untuk denggi yang teruk, ini boleh mengurangkan demam denggi berdarah serta kematian di negara ini", katanya.

LANGKAH SELANJUTNYA

Hampir separuh daripada penduduk dunia telah dijangkiti denggi yang juga dikenali sebagai "demam mematah tulang" kerana kesakitan yang melampau.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), denggi menyerang kira-kira 100 juta orang setahun sementara sesetengah pakar meletakkan angkanya tiga kali ganda.

Di Malaysia, sebanyak 46,681 kes denggi dilaporkan berlaku dari Januari hingga awal Julai tahun ini. Ini adalah kenaikan 246 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Angka kematian untuk tempoh yang sama berjumlah 87,222 peratus kenaikan daripada tempoh yang sama tahun lepas.

"Dalam tempoh 40 tahun lepas sejak saya mula membuat penyelidikan terhadap denggi, kes penyakit ini telah meningkat 30 kali ganda di sebalik langkah kawalan yang dilakukan.

"Vaksin ini memberi kami harapan kita ada peralatan tambahan untuk menangkis serangan penyakit ini.

"Sekiranya data daripada ujian Amerika Latin menyokong kajian Asia, pihak yang berwajib perlu menimbangkan secara serius penggunaannya di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA