TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Showing posts with label Kenyataan Akhbar Menteri Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kenyataan Akhbar Menteri Kesihatan. Show all posts

Sunday, 25 January 2015

Selangor Catat Kes Denggi Paling Tinggi Dalam Seminggu - Hilmi

BALIK PULAU, 25 Jan (Bernama) -- Selangor merekodkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu lebih 1,000 kes dalam tempoh seminggu, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata punca negeri itu mencatat rekod tertinggi penularan wabak denggi adalah disebabkan faktor kutipan sampah yang tidak terurus.

"Penyakit demam denggi makin meningkat kini. Di seluruh negara ia mencatat jumlah kes hampir 3,000 dalam tempoh seminggu namun daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan lebih 1,000 kes denggi," katanya kepada pemberita selepas program penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 peringkat Parlimen Balik Pulau di sini hari ini.

Dr Hilmi berkata kawasan yang merekadkan jumlah tertinggi wabak denggi di Selangor adalah di Petaling.

"Selangor merupakan satu kawasan urban (bandar), kerajaan tempatan perlu melihat semua sekali, perlunya penguatkuasaan di semua kawasan termasuk di kawasan-kawasan setinggan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dicadang oleh kerajaan DAP Pulau Pinang, Dr Hilmi berkata tidak perlu membuang masa untuk berpolitik.

"Jangan buang masa banyak sangat hendak berpolitik, kita ada pilihan raya lima tahun sekali, cukuplah lepas itu kita buat kerja untuk rakyat, fikirkan bagaimana hendak bangunkan negeri untuk rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata sebanyak 16 klinik musnah disebabkan banjir akan dibina semula.

Katanya 16 klinik yang musnah itu meliputi empat klinik di Terengganu, 11 di Kelantan manakala satu di Beaufort, Sabah.

Pada majlis itu, sebanyak 1,061 menerima bantuan BRIM yang bernilai antara RM350 dan RM250.

-- BERNAMA

Wednesday, 21 January 2015

Semenanjung Malaysia Disasar Sifar Malaria Penularan Tempatan - Dr Hilmi

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan menyasarkan semua negeri di Semenanjung Malaysia sifar kes malaria penularan tempatan tahun ini, kata Timbalan Menteri Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata ketika ini Kuala Lumpur, Putrajaya, Perlis, Melaka, Terengganu dan Labuan berjaya memenuhi sasaran ini sejak tiga tahun lepas.

"Pada 2014, Perak dan Johor menyertai negeri-negeri berkenaan di Semenanjung dan Labuan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri jamuan malam sempena Mesyuarat Kumpulan Kerja Kawalan Vektor Rangkaian Penghapusan Malaria Asia Pasifik 2015 di sini hari ini.

Mesyuarat itu yang dihadiri 60 perwakilan, dan bermula hari ini hingga Sabtu, membincangkan isu-isu berkaitan kawalan malaria di rantau Asia-Pasifik.

Malaysia dipilih menjadi hos bersama mesyuarat ini berdasarkan trek rekodnya yang cemerlang dalam kawalan malaria.

Dr Hilmi berkata Sabah dan Sarawak, disasarkan mencapai sasaran itu menjelang hujung 2017.

"Adalah penting diambil perhatian bahawa kes malaria dilaporkan ketika ini datangnya dari kawasan luar bandar dan terpencil. Destinasi pelancong dan kawasan bandar adalah bebas malaria," kata beliau.

Beliau berkata tahun lepas, 3,870 kes malaria dilaporkan dan antaranya, hanya 16 peratus atau 637 kes adalah penularan tempatan, penurunan sebanyak 455 kes (42 peratus) berbanding 2013.

Kes malaria dalam beberapa dekad lalu jauh menurun, dari 50,000 kes setahun pada 1980an kepada kurang daripada 10,000 kes pada 2003, katanya.

Dr Hilmi berkata Malaysia telah melancarkan fasa penghapusan malaria dengan melaksanakan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Penghapusan Malaria 2011-2020, bagi menghapus malaria penularan tempatan menjelang 2020.

-- BERNAMA

Wednesday, 23 April 2014

Senat: Fogging Bukan Penyelesaian Muktamad Kes Denggi - Subramaniam


KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Semburan kabus atau "fogging" bukan satu penyelesaian muktamad kepada peningkatan kes demam denggi yang dilihat semakin membimbangkan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata masayarakat perlu sedar langkah yang diambil kementerian itu bersifat sementara kerana ia hanya mampu membunuh nyamuk dewasa sahaja.

"Masyarakat jangan harap kepada 'fogging' sahaja kerana cara paling berkesan ialah penglibatan aktif mereka untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes sama ada di dalam rumah atau persekitaran," katanya menjawab soalan Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader mengenai perkara itu.

Subramaniam berkata 66 kematian akibat demam denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga semalam daripada keseluruhan 28,814 kes.

Beliau berkata statistik itu menunjukkan peningkatan ketara dan membimbangkan jika dibandingkan dengan keseluruhan 43,346 kes demam denggi dengan 92 kematian yang direkod keseluruhan tahun lepas.

Subramaniam berkata perubahan jenis virus stereotaip daripada DEN 4 kepada DEN 2 pada Mac tahun ini yang boleh menyebabkan kes kematian meningkat merupakan antara faktor peningkatan kes kematian denggi.

Katanya, jangkitan virus stereotaip DEN 2 akan memberi manifestasi klinikal lebih teruk dan mempunyai risiko komplikasi lebih tinggi berbanding jangkitan serotaip lain.



-- BERNAMA

Sunday, 6 April 2014

Demam Denggi Menurun Kepada 1,300 Kes Minggu Lepas - Subramaniam




MELAKA, 6 April (Bernama) -- Demam denggi menurun kepada kira-kira 1,300 kesdi seluruh negara minggu lepas berbanding 2,500 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini.

Beliau berkata penurunan sebanyak 1,200 kes itu berikutan pelbagai usaha Kementerian Kesihatan dalam mengawal pembiakan nyamuk Aedes terutama di kawasan berisiko.

Namun, katanya wabak denggi masih belum dapat ditangani sepenuhnya masa ini kerana sikap rakyat terhadap isu itu masih di tahap rendah.

"Kesedaran rakyat tentang wabak ini amat tinggi tetapi mereka tidak ubah sikap (untuk mencegah wabak itu). Ia memerlukan usaha yang jitu dari pelbagai pihak terutama masyarakat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan cakera padat 'Tirupugal' yang mengandungi 22 lagu keagamaan Hindu di sini, hari ini.

Menurutnya sehingga kini, sebanyak 25,000 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dengan 63 kematian dicatatkan sejak Januari lepas.

Dr Subramaniam berkata selaras dengan ancaman penyakit itu, tema 'Gigitan Kecil, Ancaman Besar' dipilih bagi sambutan Hari Kesihatan Sedunia esok.

Beliau berkata tema itu bertepatan dengan pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan untuk mengubah cara hidup dan sikap rakyat negara ini dalam membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Tahun lepas dan tahun ini, wabak denggi merebak dengan begitu besar bukan sahaja di Asia Tenggara tapi di kawasan yang lain termasuk di kawasan Caribbean. Situasi itu berlaku disebabkan perubahan iklim dunia dan jenis virus yang menyebabkan penyakit ini menular dengan pantas," katanya.

Sehubungan itu, Dr Subramaniam akan melakukan lawatan ke kawasan industri di negara ini bagi memantau pembiakan nyamuk Aedes dan kes demam denggi.

Beliau berkata semua pejabat daerah kesihatan dan negeri turut disaran menganjurkan pelbagai program sempena sambutan tersebut selaras dengan usaha kerajaan mengubah persepsi rakyat terhadap wabak itu.

-- BERNAMA