TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Showing posts with label Chikungunya. Show all posts
Showing posts with label Chikungunya. Show all posts

Wednesday, 14 January 2015

Chikungunya

Pengenalan

 Demam Chikungunya adalah penyakit viral yang menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk yang telah dijangkiti.

Tanda dan Gejala

Masa inkubasi/peram demam chikungunya biasanya 3-7 hari. Gejalanya adalah amat serupa dengan demam denggi, tetapi demam chikungunya jarang diikuti oleh pendarahan atau sindrom shock (shock syndrome).
Orang yang dijangkiti mungkin mengalami gejala berikut:
  • Demam
  • Kesejukan
  • Sakit kepala
  • Letih
  • Loya
  • Muntah
  • Sakit otot
  • Ruam
  • Sakit sendi.

Rawatan

Masa kini tiada ubat atau vaksin untuk rawatan demam chikungunya. Walau bagaimanapun dengan banyak berehat, memakan makanan berzat, banyak minum air dan mengambil ubat penahan sakit, boleh mengurangkan gejala demam dan sakit badan. Jika anda mempunyai gejala tersebut di atas, anda dinasihatkan berjumpa doktor dengan segera
Pencegahan

Tip-tip semasa mengembara/bersiar

"Walau bagaimanapun jika anda masih mengalami demam, berjumpalah doktor segera dan lakukan ujian darah. Jika ujian darah anda didapati positif dengan virus ini, tinggal di dalam rumah untuk mengurangkan gigitan nyamuk dan ini dapat mengelak bertambahnya rebakan jangkitan.
Di rumah cara pencegahan demam chikungunya ini adalah sama dengan demam denggi. Pembersihan air takungan dalam pasu bunga, bekas bunga, saluran bumbung dan tin minuman dapat mengelak pembiakkan pembawa nyamuk Aedes.
  • Guna sapuan nyah serangga pada kulit yang terdedah semasa keluar bersiar, terutama semasa di siang hari.
  • Pakai baju berlengan panjang dan seluar panjang semasa keluar bersiar.
  • Jika boleh tinggal dalam tempat yang mempunyai skrin pelindung pada tingkap atau penghawa dingin untuk menjauhi nyamuk

Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Fuad Hashim
Penyemak : Dr. Muhaini Othman

--- SUMBER: myhealth.gov.my

Monday, 31 December 2012

Demam Chikungunya

ARKIB : 09/04/2006

Chikungunya sakit demam tulang

CHIKUNGUNYA - menambah satu lagi senarai nama penyakit yang berbelit lidah hendak menyebutnya seperti japanese encephalitis (JE) dan elephantiasis (untut) dan tifoid (demam kepialu).

Tidak mengapa, anda boleh menggunakan panggilan ringkasnya sahaja yang tidak kurang popularnya iaitu, Chik.

Selain faktor cuaca yang tidak menentu dan tahap kebersihan sesetengah penduduk yang memualkan, tidak kurang juga yang mengaitkan punca penyakit-penyakit di atas dengan kemasukan imigran ke tanah air.

Persamaan lain yang ingin diberikan perhatian di dalam perkembangan ini adalah tentang betapa makhluk kecil bernama nyamuk mengancam kehidupan ‘gergasi' manusia sehingga menjadi korban.
Kesihatan mendapatkan penjelasan pakar iaitu Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr. Mohamad Ikhsan Selamat mengenai chikungunya. 

Hasilnya dimuatkan dalam bentuk soal jawab seperti berikut:

Apa itu chikungunya?

Penyakit demam chikungunya merupakan penyakit endemik (berlaku dengan kerap di sesuatu kawasan atau populasi, sentiasa ada) berpunca daripada virus chikungunya dari keluarga Togaviridae (genus alphavirus).

Kes pertama chikungunya direkodkan pada tahun 1952 di Tanzania, Afrika. Mendapat namanya dari bahasa Swahili, chikungunya bererti ‘melengkung ke atas’, merujuk kepada bentuk badan pesakit yang berubah seperti membongkok disebabkan menanggung kesakitan yang teramat.

Sejauh manakah kekerapannya berlaku?

Wabak chikungunya pertama kali dikesan di Afrika Timur, yang berlaku pada tahun 1952 hingga 1953. Sejurus kemudian, epidemik berlaku di Filipina (1954, 1956 dan 1968), Indonesia (1973), Thailand, Kemboja, Vietnam, India, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia.

Sejak tahun 2003, terdapat beberapa wabak berlaku di kepulauan Lautan Pasifik termasuk Madagascar, Comoros, Mauritius dan La Reunion, dengan jumlah kes yang meningkat ketara selepas bencana tsunami pada Disember 2004.

Memetik laporan AFP, sebanyak 148 kematian (secara langsung dan tidak langsung) telah dilaporkan sehingga Mac lalu di La Reunion dengan satu per tiga daripada penduduknya yang berjumlah 777,000 jatuh sakit disebabkan oleh virus itu.

Selain insiden yang mula dikesan penularannya sejak 1 April lalu di Bagan Panchor, Pantai Remis, Perak, negara pernah dilaporkan dua kali menghadapi wabak ini iaitu pada tahun 1999 di Pelabuhan Klang melibatkan 27 mangsa (majoritinya pendatang asing). 

Kes chikungunya yang pertama sekali di Malaysia pernah dilaporkan sekitar tahun 1960-an.

Adakah ini bermakna, individu tertentu lebih rentan terhadap penyakit ini berbanding orang lain?

Sesiapa sahaja yang digigit oleh nyamuk yang telah dijangkiti oleh virus ini boleh mendapat penyakit chikungunya.

Cara penularannya

Chikungunya boleh dikatakan ‘bersaudara’ dengan penyakit demam denggi dan demam denggi berdarah kerana ditularkan oleh pembawa yang sama iaitu nyamuk aedes sama ada aegypty mahupun albopictus.

Bezanya, jika virus denggi menyerang pembuluh darah, virus chikungunya menyerang sendi dan tulang.

Nyamuk aedes lazimnya akan menggigit seseorang yang telah dijangkiti oleh virus chikungunya dan memindahkan darah berkenaan kepada seorang mangsa lain yang sihat.

Adakah seseorang itu boleh dijangkiti oleh virus chikungunya beberapa kali seumur hidupnya?

Tidak. Mana-mana individu yang pernah dijangkiti virus ini secara semula jadinya akan membina daya ketahanan yang bertahan lama. 

Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka mungkin mengalami sakit sendi yang berpanjangan dari beberapa minggu ke bulan lamanya dan berulang-ulang dalam tempoh yang agak lama, disebabkan oleh reaksi sendi dan bukannya jangkitan virus.

Diagnos

Chikungunya dikesan melalui ujian darah. Memandangkan kemunculan klinikal bagi chikungunya dan denggi berdarah mirip di antara kedua-duanya, pengesahan makmal adalah penting, apatah lagi di kawasan-kawasan berlakunya kes-kes demam denggi.

Adakah ia boleh dirawat?

Seperti halnya demam denggi berdarah, belum terdapat ubat-ubatan mahupun vaksin bagi mencegah chikungunya. Rawatan sedia ada yang diberikan hanya bersifat simptomatik (sokongan, mengikut gejala bagi melegakannya).

Misalnya, pesakit diberikan ubat penurun panas atau penahan sakit. Pesakit dinasihatkan banyakkan minum air dan istirahat yang cukup.

Pesakit akan diasingkan dan seboleh-bolehnya elakkan daripada kemungkinan terdedah kepada digigit nyamuk, sebagai salah satu usaha mencegah penyebaran virus itu kepada orang lain.

Langkah-langkah pencegahan?

Memandangkan tiada rawatan aktif mahupun rawatan pencegahan chikungunya, satu-satunya cara mengelakkan jangkitan adalah dengan mengurangkan pendedahan terhadap jangkitan nyamuk ke tahap maksimum. 

Ini termasuklah memusnahkan sarang pembiakan larva bagi menghentikan rantaian kitar hidup dan penularannya. Antara pelbagai pilihan lain bagi melindungi diri anda daripada gigitan nyamuk termasuklah:
* Tidur menggunakan kelambu
* Pakai baju berlengan panjang atau berseluar panjang terutamanya ketika berada di luar rumah pada waktu senja bagi mengelakkan pendedahan langsung kulit terhadap gigitan nyamuk aedes
* Pasang penghadang nyamuk pada tingkap
* Pasangkan ubat nyamuk lingkaran, elektrik atau menggunakan semburan racun serangga
* Biarkan pengudaraan berlaku sama ada dengan kipas angin atau alat penghawa dingin
* Sapu krim repelen serangga yang disahkan selamat pada kulit dan pakaian.

Tidakkah nyamuk yang membawa virus chikungunya ini turut dijangkiti oleh penyakit tersebut?

Tidak. Bagaimanapun, nyamuk yang membawa darah bervirus di dalam tubuhnya akan kekal terjangkit sepanjang hayatnya. Tiada bukti menunjukkan virus chikungunya dipindahkan oleh nyamuk betina kepada telurnya sebagaimana virus demam denggi.

Adakah seseorang yang telah dijangkiti boleh menularkan penyakit chikungunya kepada orang lain pula?

Tidak. Seseorang yang telah dijangkiti tidak boleh menyebarkan penyakitnya itu secara langsung kepada orang lain. Proses penularan hanya berlaku menerusi nyamuk pembawa.

Tempoh pengeraman

Masa di antara gigitan nyamuk pembawa virus chikungunya dengan terjadinya tanda-tanda penyakit chikungunya berlaku di antara satu hingga tujuh hari (paling biasa berlaku dalam tempoh dua hingga empat hari).

Gejala

Simptom-simptom chikungunya secara klinikalnya sangat mirip kepada demam denggi. Ia lazimnya dimulai dengan demam tinggi secara mendadak sehingga mencecah 390 celsius. 

Lain-lain gejala termasuklah kesejukan, menggigil, ruam pada kaki, tangan dan badan, kurang selera makan, perut meragam, sakit kepala, mata merah, sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya), loya dan muntah.

Gejala paling biasa adalah sakit sendi (artritis atau atralgia) terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali, atau rasa ngilu pada tulang.

Seperti penyakit-penyakit arbovirus lain, jangkitan chikungunya juga mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik) atau menyebabkan kesakitan yang teruk dan gejala yang berpanjangan.

Mujurlah, chikungunya tidak mematikan seperti denggi berdarah. Ia dikategorikan sebagai penyakit yang sembuh dengan sendirinya. Kalaupun berlaku kematian, ia adalah dalam jumlah yang kecil.

Jadi, kenapa perlu bimbang?

Dalam tempoh seminggu, pesakit berada dalam keadaan kesakitan yang akut (sangat teruk) sehingga tidak boleh bergerak atau berjalan (kelumpuhan sementara) sekali gus menjejaskan kualiti hidupnya.

Pesakit biasanya akan mengalami demam selama lima hingga tujuh hari sebelum beransur-ansur hilang. Ia bagaimanapun boleh berulang kembali. 

Jangan lupa, chikungunya sekeluarga dengan denggi berdarah. Tambahan pula, gejalanya hampir serupa. Ia juga boleh melemahkan sistem imun tubuh, menyebabkan badan mudah dijangkiti oleh penyakit-penyakit lain.

--- UTUSAN MALAYSIA

Sunday, 15 April 2012

Bersihkan persekitaran, hindar Chikungunya

ARKIB : 30/12/2008

 

CHIKUNGUNYA merupakan sejenis penyakit viral disebarkan menerusi jangkitan akibat gigitan nyamuk aedes yang turut membawa virus demam denggi dan demam kuning.

Penyebaran Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania, Afrika Timur pada 1953. Sejak itu, epidemik ini berlaku di Filipina (1954, 1956 dan 1968), Indonesia (1973), Thailand, Kemboja, Vietnam, India, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia.

Bermula pada 2003, wabak ini telah berleluasa di kepulauan Lautan Pasifik termasuk Madagascar, Comoros, Mauritius dan La Reunion, dengan jumlah kes yang semakin meningkat terutama selepas bencana tsunami pada Disember 2004.

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hassan Abdul Rahman berkata, kes pertama di Malaysia dilaporkan berlaku di sebuah kawasan di Klang, Selangor pada tahun 1998 dan tidak lama selepas itu turut membabitkan kawasan perumahan di Perak.

Katanya, meskipun jumlah kes Chikungunya semakin menurun di negara ini namun pihaknya masih meneruskan pemantauan secara berkala sebelum mengesahkan negara benar-benar bebas daripada penyakit itu.

Jumlah kes terkumpul sepanjang April sehingga minggu lalu adalah sebanyak 3,984 kes manakala sehingga 23 Disember lalu sebanyak 4,034 kes telah dicatatkan.

‘‘Kami menerima antara 100 hingga 150 laporan mengenai kes Chikungunya dalam seminggu dan minggu lalu dicatatkan 119 kes baru,’’ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Dr. Hassan, setiap kawasan perumahan di negara ini tidak terkecuali daripada jangkitan penyakit Chikungunya kerana ia dibawa oleh dua jenis nyamuk iaitu Aedes Albopictus dan Aedes Aegypti yang turut menyebarkan virus demam denggi.

Penyakit demam Chikungunya merupakan penyakit endemik tercetus daripada virus Chikungunya jenis Genus Alphavirus dalam keluarga Toganiridae.

Terdapat dua jenis trend virus jangkitan Chikungunya iaitu Afrika Barat dan Afrika Selatan. Kedua-dua jenis rantaian virus ini mengambil masa antara lima hingga tujuh hari untuk mengeram.
Setelah itu barulah simptom penyakit mula menyerang pesakit kira-kira tiga hingga 10 hari manakala tempoh pemulihan pula memakan masa seminggu lagi.

‘‘Pesakit lazimnya tidak akan mengalami sebarang perubahan pada minggu pertama virus itu mengeram namun selepas itu mereka akan mula demam, ruam dan sakit badan apabila virus itu mula menyerang.

‘‘Pada waktu ini juga, antibodi badan akan mula bertindak untuk melawan virus berkenaan sebelum bermulanya proses pemulihan,’’ jelas beliau.

Simptom virus Chikungunya boleh disalah anggap dengan manifestasi klinikal menyerupai virus denggi antaranya: 

lDemam panas mengejut sehingga 39 darjah Celsius.
lSakit teruk pada sendi (artritis atau atralgia) terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali, atau rasa ngilu pada tulang.
lRuam pada kaki, tangan dan badan,
lSakit kepala berserta demam (antara satu hingga tujuh hari, kebiasaannya lima hari).
lInsomnia.
lKesejukan, menggigil.
lKurang selera makan.
lPerut meragam.
lMata merah, sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya), loya dan muntah.
lSeperti penyakit arbovirus lain, jangkitan Chikungunya juga mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik) atau menyebabkan kesakitan yang teruk dan gejala yang berpanjangan.

Sehingga kini, belum ada kes mengenai pendarahan atau kematian akibat Chikungunya pernah dilaporkan di Malaysia. Pun begitu, sesetengah pesakit biasanya mengalami gejala berpanjangan bergantung kepada usia pesakit berkenaan.

Contohnya, pesakit yang berumur boleh mengalami kesan kesakitan berulang terutama pada bahagian sendi sehingga beberapa bulan.

Seperti kebanyakan penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus, Chikungunya tidak mempunyai rawatan khusus. Selalunya, rawatan akan diberikan mengikut simptom klinikal yang dialami oleh pesakit berkenaan.

Kebanyakan kes memerlukan rawatan pesakit luar disebabkan tiada vaksin.

Walaubagaimanapun, orang ramai yang mengalami gejala penyakit ini digalakkan agar mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berhampiran.

--- UTUSAN MALAYSIA

Sunday, 4 March 2012

Hindari Chikungunya

Anda mengalami demam panas, sakit-sakit sendi, ruam pada badan, atau sakit kepala? Sgeralah berjumpa doktor anda. 


KAWALAN Aedes dilakukan dalam pelbagai kaedah sejak sekian lama, namun ia masih menghantui masyarakat kita.


KETIKA ada pihak yang tidak mahu laporan mengenai penyakit Chikungunya terus dihebohkan dalam media, lebih ramai yang mahukan informasi ini sampai ke pengetahuan mereka. 

Ini bukan soal menimbulkan keresahan awam, tetapi tidak salah jika impak yang terbit daripadanya membuatkan masyarakat umum lebih bermaklumat, berwaspada dan seterusnya bertanggungjawab terhadap persekitaran mereka.


NYAMUK Aedes aegypti pembawa Chikungunya.


Mengikut risalah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk. Ia pertama kali dikesan di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu, ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di negara-negara Eropah.

Walaupun ia adalah endemik, iaitu selalu terjadi di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, dan Asia Tenggara, namun ia bukanlah sejenis penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya. 



SIKAP masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan hanya menambah kemungkinan buruk.


Penyakit Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae. Ia berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. 

Ramai melabelkan Chikungunya sebagai 'adik-beradik' denggi yang turut berpunca daripada gigitan aedes yang menyebarkan virus penyakit tersebut. 


AWASI kediaman anda terutamanya kesihatan orang yang anda sayangi.




Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari tiga hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya adalah di antara dari tiga hingga tujuh hari. 

Soalan yang sering ditanyakan apabila muncul sesuatu penyakit adalah 'apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?'. 

Maka, jawapan kepada soalan itu sangat bersifat kritikal, lantaran tindakan seseorang untuk mengenal pasti simptom-simptom penyakit Chikungunya boleh mempercepatkan proses rawatan dan untuk pesakit itu sembuh.

Antara simptom-simptom adalah seperti demam panas mengejut (demam yang mendadak boleh mencapai suhu 39 darjah Celcius), sakit teruk pada sendi (terutamanya sendi lutut, pergelangan dan jari), ruam pada badan dan sakit kepala. Seseorang pesakit boleh mengalami demam dari satu hingga lima hari atau seminggu.

Penyakit Chikungunya sering disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.

Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan. Pesakit yang berusia pula boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.

Seperti penyakit-penyakit lain yang disebabkan oleh virus, tidak terdapat sebarang rawatan khusus bagi Chikungunya. Penyakit ini biasanya akan berakhir dan pesakit boleh sembuh dengan sendirinya. Rawatan untuk pesakit luar lazimnya diberi berdasarkan simptom yang dialami pesakit. 

Pendek kata, penyakit ini tiada vaksin. Namun pada masa yang sama, doktor akan memeriksa pesakit secara keseluruhan bagi mengenepikan kemungkinan penyakit lain yang lebih berbahaya. 

Maka, sekiranya anda mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, anda dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

--- KOSMO