TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Showing posts with label Kawalan Malaria. Show all posts
Showing posts with label Kawalan Malaria. Show all posts

Wednesday, 21 January 2015

Semenanjung Malaysia Disasar Sifar Malaria Penularan Tempatan - Dr Hilmi

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan menyasarkan semua negeri di Semenanjung Malaysia sifar kes malaria penularan tempatan tahun ini, kata Timbalan Menteri Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata ketika ini Kuala Lumpur, Putrajaya, Perlis, Melaka, Terengganu dan Labuan berjaya memenuhi sasaran ini sejak tiga tahun lepas.

"Pada 2014, Perak dan Johor menyertai negeri-negeri berkenaan di Semenanjung dan Labuan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri jamuan malam sempena Mesyuarat Kumpulan Kerja Kawalan Vektor Rangkaian Penghapusan Malaria Asia Pasifik 2015 di sini hari ini.

Mesyuarat itu yang dihadiri 60 perwakilan, dan bermula hari ini hingga Sabtu, membincangkan isu-isu berkaitan kawalan malaria di rantau Asia-Pasifik.

Malaysia dipilih menjadi hos bersama mesyuarat ini berdasarkan trek rekodnya yang cemerlang dalam kawalan malaria.

Dr Hilmi berkata Sabah dan Sarawak, disasarkan mencapai sasaran itu menjelang hujung 2017.

"Adalah penting diambil perhatian bahawa kes malaria dilaporkan ketika ini datangnya dari kawasan luar bandar dan terpencil. Destinasi pelancong dan kawasan bandar adalah bebas malaria," kata beliau.

Beliau berkata tahun lepas, 3,870 kes malaria dilaporkan dan antaranya, hanya 16 peratus atau 637 kes adalah penularan tempatan, penurunan sebanyak 455 kes (42 peratus) berbanding 2013.

Kes malaria dalam beberapa dekad lalu jauh menurun, dari 50,000 kes setahun pada 1980an kepada kurang daripada 10,000 kes pada 2003, katanya.

Dr Hilmi berkata Malaysia telah melancarkan fasa penghapusan malaria dengan melaksanakan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Penghapusan Malaria 2011-2020, bagi menghapus malaria penularan tempatan menjelang 2020.

-- BERNAMA

Wednesday, 14 January 2015

Malaria

Pengenalan

Malaria adalah penyakit disebabkan oleh parasit plasmodium. Penyakit merebak melalui gigitan nyamuk Anopheles yang telah dijangkiti parasit (dipanggil sporozoites) berkenaan. Apabila parasit masuk kedalam tubuh manusia ia akan bergerak melalui salur darah dan terus ke hati. Di dalam hati, parasit menjadi matang dan masuk semula ke dalam sistem darah dan membiak. Dalam masa 48 hingga 72 jam selepas jangkitan, sel darah merah pecah, dan mengeluarkan/melepaskan lebih banyak parasit(merozoites) dan lebih banyak sel darah merah dijangkiti.

Pusingan hidup berbeza mengikut jenis Plasmodium. Untuk P.vivax 48 jam, P.malariae 72 jam dan P.falciparum antara 36 hingga 48 jam. Malaria menyebabkan anaemia akibat kemusnahan sel darah merah. Masalah ini menyebabkan bilangan hemoglobin yang dilepaskan ke dalam sistem peredaran darah berlebihan selepas sel darah pecah. Gejala utama biasanya timbul seawal 8 hari atau selewat-lewatnya setahun kemudian.

Gejala malaria berlaku dalam pusingan antara 48 hingga 72 jam, akibat pelepasan merozoites yang berlebihan ke dalam salur darah. Anaemia terjadi akibat dari kemusnahan bilangan sel darah merah yang terlalu banyak dan paras hemoglobin yang berlebihan disalurkan ke dalam sistem darah selepas ianya pecah. Malaria juga boleh dipindahkan secara semulajadi semasa anak dalam kandungan dan melalui pemindahan darah. Parasit malaria boleh dibawa oleh nyamuk dalam suhu lembab, tetapi parasit ini akan hilang bila musim sejuk. Penyakit ini menjadi masalah yang besar/utama kepada kebanyakan negara tropika.

Setiap tahun Bahagian CDC menganggarkan 300 hingga 500 juta kes malaria dengan kematian melebihi satu juta. Sesetengah negara di dunia, nyamuk pembawa malaria menjadi kebal kepada racun serangga, manakala antibiotik tidak memberi kesan kepada parasit. Oleh itu jangkitan penyakit ini sukar dikawal. Salah satu daripada 4 jenis parasit malaria iaitu Malaria Falciparum mengakibatkan kemusnahan yang besar kepada sel darah merah. berbanding dengan parasit lain. Ia akan membiak dalam tempoh beberapa jam selepas gejala awal dikesan.



Tanda dan Gejala
  • Mengiggil, demam dan berpeluh
  • Sakit kepala
  • Keletihan
  • Sakit otot
  • Loya dan muntah
  • Anemia
  • Jaundis (kekuningan)
  • Sawan
  • Koma
Bengkak hati dan limpa dapat dikesan semasa pemeriksaan fizikal. Contoh darah pesakit malaria akan diambil untuk diagnosa dan keputusan boleh diketahui dalam tempoh 6 hingga 12 jam.
Komplikasi
  • Kegagalan fungsi hati dan buah pinggang
  • Kemusnahan sel darah merah (hemolytic anemia)
  • Jangkitan kuman di lapisan otak (Meningitis)
  • Limpa pecah(rupture of spleen) yang mengakibatkan perdarahan yang teruk
Ramalan Pemulihan/Prognosis

Pesakit malaria pulih sepenuhnya selepas mendapat rawatan tetapi, kes jangkitan Falciparum kurang memuaskan , kerana ketahanan ( resistant) parasit terhadap ubat anti-malaria adalah tinggi

Rawatan

Dalam kebanyakan kes, malaria boleh dirawat dan pulih. Ubat antimalaria boleh diperolehi dengan mudah di hospital dan klinik. Ubat yang biasa diguna chloroquine, quinine dan primaquine. Regim ubat bergantung kepada usia dan tempat di mana mendapat jangkitan. ( parasit malaria dari kawasan tertentu kebal kepada ubat malaria yang biasa) dan alahan kepada ubat.

Dapatkan nasihat dan rawatan awal jika baru pulang dari luar negeri dengan gejala penyakit malaria. Dalam kes yang teruk, pesakit yang menghidap malaria mungkin perlu rawatan di unit rawatan rapi, terutama jika ada komplikasi yang melibatkan otak dan buah pinggang.

Pesakit yang mendapat jangkitan, terutamanya malaria Falciparum perlu rawatan kecemasan dan masuk hospital. Chloroquine ialah ubat yang biasa digunakan. untuk kes kebal chloroquine, Quindinen atau quinine atau gabungan pyrimethamine dan sulfadoxine diberi

Pencegahan

Tiada vaksin khas mencegah malaria. Ubat antimalaria diberi sebagai rawatan pencegahan kepada mereka yang keluar daerah di mana penyakit ini senang merebak . Rawatan kepada pencegahan juga diberi pada wanita mengandung di kawasan wabak untuk mengelakkan jangkitan kejanin. Ubat ini juga diberi kepada pelawat mengunjungi kawasan yang berisiko 2 minggu sebelum pergi dan 4 minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut. Jenis ubat yang diberi bergantung kepada tempat yang akan dilawati.

Langkah pencegahan lebih bertumpu kepada cara memusnahkan nyamuk dengan mencampurkan racun serangga di tempat pembiakanya seperti paya di mana airnya bertakung.Individu yang diberi ubat antimalaria masih boleh dijangkiti malaria. Memakai baju dan seluar panjang, pasangkan net ditingkap dan guna krim pencegah untuk mengelakkan gigitan nyamuk.Ubat chloroquine adalah ubat pilihan untuk mencegah malaria.
Ubat Mefloquine berkesan untuk parasit jenis Falciparum malaria, walau bagaimanapun ubat ini memberi kesan sampingan kepada mental seperti keliru. Pelawat boleh menghubungi CDC ( Communicable Disease Centre) untuk mendapat maklumat berkenaan malaria, ubat pencegah, kawasan wabak dan masa yang sesuai untuk mengembara.

Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Fuad Hashim
Penyemak : Dr. Muhaini Othman


--- SUMBER: myhealth.gov.my
  












Sunday, 26 February 2012

Guna nyamuk lawan nyamuk



PADA tahun lepas kematian yang berpunca daripada malaria turun secara agak mendadak.



MALARIA merupakan penyakit zaman kuno yang masih bersisa hingga sekarang. Penyakit bawaan nyamuk yang digeruni itu pernah membunuh manusia yang berlagak seperti Tuhan iaitu Firaun Tutankhamun.
Jurnal Persatuan Perubatan Amerika dua tahun lalu mendedahkan punca kematian Tutankhamun atau Raja Tut adalah disebabkan oleh malaria berikutan penemuan parasit Plasmodium di dalam darahnya. Tutankhamun meninggal dunia ketika berusia 19 tahun pada tahun 1323 Sebelum Masihi.
Pada zaman moden ini, kemuncak kematian akibat malaria adalah pada tahun 2004 apabila ia meragut 1.8 juta nyawa berbanding sejuta mangsa pada tahun 1980. Bagaimanapun, perang manusia menentang malaria menunjukkan kejayaan berikutan penurunan angka kematian tahun demi tahun. Tahun lalu, bilangan korban malaria adalah seramai 1.2 juta orang.
Perkataan malaria berasal daripada bahasa Itali kuno yang bermaksud ‘udara buruk’ kerana penyakit ini dikaitkan dengan kawasan paya dan berair iaitu tempat yang sesuai untuk pembiakan nyamuk.
Salah satu kaedah praktikal dalam usaha memerangi malaria adalah penggunaan kelambu yang mencegah nyamuk tiruk itu daripada menggigit mangsa.
Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Malaria, Ray Chambers berkata, walaupun kelambu dilihat sebagai satu kaedah lama, keberkesanannya telah lama diperakui terutamanya di luar bandar.
Kelambu
“Aktiviti nyamuk tiruk amat aktif pada waktu malam dan dengan menggunakan kelambu berubat semasa tidur ia dapat mengelakkan risiko daripada terkena gigitan yang membawa virus malaria,” katanya.
Ujarnya lagi, penggunaan kelambu lebih efektif kerana nyamuk yang terkena pada bahagian kelambu itu akan mati.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan menyasarkan penyakit malaria dapat dihapuskan sepenuhnya antara tahun 2015 hingga 2018.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada penghujung 2008 memaklumkan ramalan tersebut mungkin dicapai dengan usaha pencegahan yang giat dilakukan.
“Pemantauan berterusan populasi nyamuk Anopheles dan juga demam malaria di negara ini juga dilihat membantu sehinggakan negara kini dikelaskan sebagai hampir berjaya membasmi sepenuhnya malaria,” katanya.
Dari segi ubat-ubatan, sebelum ubat Kuinin dijumpai di Peru dan Equador pada awal 1800-an, tidak banyak ubat lain yang boleh dianggap berjaya melawan malaria. Kuinin berasal daripada kulit kayu cinchona iaitu sejenis tumbuhan daripada keluarga kopi. Penduduk pribumi memanggil ubat itu sebagai quina quina yang bermaksud kulit kayu.
Namun begitu, ia sukar didapati kerana pokok cinchona hanya tumbuh di utara Amerika Selatan.
Kemudian sekitar 1940-an, ubat anti-malaria jenis sintetik, Chloroquine, dihasilkan dengan kos lebih murah, senang didapati dan lebih selamat daripada Kuinin.
Pada masa itu, Chloroquine memberikan perlindungan yang lebih lama terhadap serangan kesemua parasit Plasmodium.
Penemuan kedua yang memberikan impak yang besar terhadap wabak malaria adalah dengan terciptanya Dichloro-Diphenyl-Trichlroethane atau DDT oleh Paul Muller, ahli kimia dari Switzerland yang telah dianugerahkan hadiah Nobel.
PENGGUNAAN kelambu berubat semasa tidur dapat mengelakkan risiko terkena gigitan nyamuk tiruk penyebab malaria.



Beliau mencipta bahan itu pada tahun 1948. DDT berperanan menghapuskan nyamuk Anopheles betina dan kawasan pembiakannya secara besar-besaran.
“DDT bukan sahaja membunuh nyamuk dewasa tetapi ia juga berkesan membunuh jentik-jentik. Wabak malaria di seluruh dunia mula menurun dan dapat dikawal dengan penggunaan DDT dan ubat antimalaria,” katanya.
Pendekatan lain ialah dengan cara penghapusan besar-besaran vektor penyebar parasit malaria.
Penghapusan secara fizikal nyamuk Anopheles dengan menggunakan racun secara amnya agak murah dan berkesan untuk kawasan yang mudah dijelajahi.
Idea terbaru dalam proses penghapusan nyamuk Anopheles kini ialah dengan cara menghasilkan banyak nyamuk jantan Anopheles yang mandul.
Telur hasil daripada persenyawaan dengan nyamuk jantan tidak akan menetas dan lama-kelamaan populasi nyamuk Anopheles akan pupus dan seterusnya menyebabkan parasit Plasmodium tidak dapat disebarkan lagi.
Mandul
Nyamuk jantan mandul yang akan dihasilkan melalui proses mutasi gen (kejuruteraan genetik) mungkin menjadi jalan keluar kepada masalah wabak malaria.
Demam malaria tersebar kepada manusia oleh nyamuk Anopheles betina yang menghisap darah tetapi sekumpulan saintis Britain menyatakan penyakit maut itu boleh dikekang dengan menggunakan nyamuk jantan tanpa sperma.
Kumpulan saintis Kolej Imperial London memberitahu, nyamuk Anopheles betina masih boleh mengawan dengan nyamuk jantan yang tiada sperma kerana ia telah mengalami pengubahsuaian genetik.
namun, menurut mereka, telur yang dikeluarkan nyamuk betina itu tidak disenyawakan dan ia tidak akan menetas menjadi larva nyamuk.
Penemuan itu boleh membawa perubahan besar dalam perang menentang malaria berikutan spesies nyamuk Anopheles gambiae sensu stricto yang menyebarkan malaria di Afrika cuma mengawan sekali dalam seumur hidup.
“Kami mendapati nyamuk Anopheles betina tidak dapat membezakan nyamuk Anopheles jantan yang subur atau tanpa sperma,” kata ketua kajian terbabit, Flaminia Catteruccia.

--- KOSMO