TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Showing posts with label Demam Denggi - Berita Semasa. Show all posts
Showing posts with label Demam Denggi - Berita Semasa. Show all posts

Saturday, 17 January 2015

Kulim Catat 230 Peratus Peningkatan Kes Demam Denggi Tahun Lepas


ALOR SETAR, 16 Jan (Bernama) -- Kulim, Kuala Muda dan Langkawi mencatatkan peningkatan kes demam denggi tertinggi di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Disember 2014.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata daripada tiga kawasan itu, Kulim mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 230 peratus (172 kes berbanding 52 kes) berbanding tahun 2013.

"Ini diikuti Kuala Muda 177 peratus, (413 kes berbanding 149 kes pada 2013) dan Langkawi 77 peratus (23 kes berbanding 13 kes tahun 2013)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhizan menjelaskan secara keseluruhannya, Kedah mencatat peningkatan kes demam denggi 24 peratus bagi tempoh tersebut dengan 1,006 kes dilaporkan iaitu meningkat 193 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 813 kes.

Sepanjang tahun lepas juga katanya tujuh kes kematian berkaitan demam denggi dilaporkan berbanding satu kematian pada tahun sebelumnya.

Jumlah lokaliti wabak pula adalah sebanyak 23 iaitu Kuala Muda (10), Kota Setar (empat), Kulim (empat), Pendang (2) dan masing-masing satu kes di Sik, Yan dan Padang Terap berbanding 14 lokaliti seluruh negeri Kedah bagi tempoh sama pada 2013.

Dalam pada itu Norhizan berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan pembiakan nyamuk Aedes ke atas 336,238 premis dan mengesan sebanyak 6,804 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

"Sebanyak 380,668 premis telah dibuat semburan untuk membunuh nyamuk manakala 166,116 premis telah dibubuh abate bagi memusnahkan jentik-jentik Aedes," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan rumah masing-masing dengan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.

"Orang ramai turut disaran menyembur aerosol di dalam rumah bagi melindungi diri dan keluarga daripada gigitan nyamuk Aedes," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, 20 July 2014

Vaksin Denggi Mungkin Boleh Mengelakkan Demam Denggi Berdarah

Oleh Sakina Mohamed

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Hasil kajian mengenai vaksin denggi yang dinanti-nantikan dan akhirnya diperkenalkan Jumaat lepas menunjukkan keberkesanan hampir 90 peratus dalam mencegah demam denggi berdarah.

Syarikat farmaseutikal Perancis, Sanofi mendedahkan dalam jurnal perubatan terkemuka, The Lancet, hasil terperinci Fasa III ujian klinikal yang dilakukan di lima buah negara Asia.

Lebih dua pertiga angka global penyakit yang berpunca daripada nyamuk dicatat di rantau ini.

Ujian klinikal dijalankan ke atas 10,275 kanak-kanak sihat berumur antara dua dan 14 tahun di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Kajian kemujaraban vaksin denggi ini adalah yang pertama dijalankan secara besar-besaran.

Ia bertujuan untuk menganggarkan perlindungan yang dihasilkan oleh vaksin ini selepas suntikan terakhir daripada tiga suntikan, setiap satu jaraknya enam bulan.

IMPLIKASI EKONOMI

Penemuan kajian menunjukkan vaksin itu menyediakan perlindungan sebanyak 80 peratus daripada demam denggi berdarah selepas satu atau lebih suntikan dan perlindungan meningkat kepada 88.5 peratus selepas suntingan ketiga.

Menurut ahli virologi Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit, keadaan itu dapat mengurangkan kos kemasukan ke hospital dan penjagaan kesihatan memandangkan vaksin boleh mengurangkan insiden denggi yang teruk sebanyak dua pertiga.

Ia juga boleh mengelakkan kematian.

Beliau, yang juga mantan Presiden Jawatankuasa Pemandu Vaksinasi Vaksin Denggi Asia Pasifik, berkata kesan sosial kepada ibu bapa tidak boleh diukur.

Kajian menggunakan sumber data berganda untuk menganggarkan kos akibat sakit ini di Malaysia oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya bersama Universiti Brandeis, Amerika Syarikat menunjukkan beban ekonomi denggi di negara ini ialah AS102(RM325) juta setahun, atau anggaran AS3.72 (RM11.85) pe kapita.

"Satu kajian lain oleh penyelidik UM dan Brandeis adalah mengenai kos ekonomi kawalan vektor denggi dan kos per kapita dianggarkan AS1.70 (RM5.42).

"Menggunakan vaksin sekarang mempunyai keberkesanan kos untuk negara," kata Dr Lam, Perunding Penyelidik Impak Tinggi Universiti Malaya (UM).

Sanofi Pasteur, bahagian vaksin Sanofi, mendedahkan dalam satu kenyataan akhbar pada 11 Julai bahawa vaksin itu mengurangkan denggi sebanyak 56.5 peratus dalam kumpulan yang diberi vaksin.

Ini berbanding dengan kumpulan yang dikawal seperti yang dicatat sepanjang 25 hari kawalan aktif dilakukan.

Data itu juga menunjukkan perlindungan lebih baik terhadap virus denggi jenis DEN3 dan 4 (75 peratus), kurang terhadap DEN1 (50 peratus) dan kurang terhadap DEN2 (35 peratus).

Dr Lam menyatakan peratus kemujaraban terhadap DEN2 adalah rendah dan menambah analisis selanjutnya perlu dibuat.

"Penting untuk menunggu hasil ujian Amerika Latin yang melibatkan lebih 20,000 sukarelawan dan untuk melihat sama ada penemuan ini betul", katanya.

Ujian peringkat akhir kedua sedang dilaksanakan di Brazil, Columbia, Honduras, Mexico dan Puerto Rico ke atas 20,000 kanak-kanak berusia antara sembilan dan 16 tahun.

Hasil kajian akan diterbitkan sebelum akhir tahun ini.

SEJAUH MANA BERKESAN?

Menurut Dr Lam, salah satu perkara yang ditimbulkan dalam The Lancet adalah kemujaraban satu dos vaksin di sebalik tiga dos, di kelima-lima buah negara di mana ujian dibuat.

Ini mungkin boleh mengurangkan kos pelalian bagi vaksin yang mungkin tinggi harganya.

Apa yang berlaku mungkin ada kaitan dengan hakikat sukarelawan mempunyai antibodi sedia ada akibat pendedahan semula jadi kepada 'flavivirus' termasuk denggi.

"Penilaian selanjutnya perlu dibuat untuk melihat sama ada hasil penemuan ini adalah konsisten.

"Jika betul, ini akan memudahkan lagi pentadbiran vaksin di negara-negara yang mempunyai kes denggi yang berleluasa dan sudah tentunya lebih murah," kata Dr Lam.

Penemuan itu juga menyatakan vaksin berkenaan lebih mujarab di negara-negara yang mempunyai kes denggi yang tinggi kerana wujudnya antibodi sedia ada.

Atas sebab yang sama ia lebih berkesan kepada kanak-kanak yang lebih tua memandangkan kumpulan itu mungkin pernah mengalaminya.

Vaksin itu juga mungkin tidak berapa berkesan untuk mereka yang datang dari negara-negara yang tidak ada kes denggi yang banyak.

"Pelancong British yang mahu mendapatkan pelalian daripada penyakit denggi sebelum datang ke Malaysia, sebagai contoh, mungkin mendapat perlindungan yang lemah daripada vaksin itu.

"Bagaimanapun, kami perlu melakukan kajian yang lebih besar sebelum membuat sebarang kesimpulan," katanya kepada Bernama.

Dr Lam mencadangkan vaksin itu diberi kepada kanak-kanak yang bersekolah terlebih dahulu, terutamanya di sekolah menengah.

"Hakikatnya denggi yang teruk berlaku kepada orang muda dan dengan memberi vaksin kepada pelajar-pelajar sekolah menengah, kumpulan berisiko ringgi untuk denggi yang teruk, ini boleh mengurangkan demam denggi berdarah serta kematian di negara ini", katanya.

LANGKAH SELANJUTNYA

Hampir separuh daripada penduduk dunia telah dijangkiti denggi yang juga dikenali sebagai "demam mematah tulang" kerana kesakitan yang melampau.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), denggi menyerang kira-kira 100 juta orang setahun sementara sesetengah pakar meletakkan angkanya tiga kali ganda.

Di Malaysia, sebanyak 46,681 kes denggi dilaporkan berlaku dari Januari hingga awal Julai tahun ini. Ini adalah kenaikan 246 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Angka kematian untuk tempoh yang sama berjumlah 87,222 peratus kenaikan daripada tempoh yang sama tahun lepas.

"Dalam tempoh 40 tahun lepas sejak saya mula membuat penyelidikan terhadap denggi, kes penyakit ini telah meningkat 30 kali ganda di sebalik langkah kawalan yang dilakukan.

"Vaksin ini memberi kami harapan kita ada peralatan tambahan untuk menangkis serangan penyakit ini.

"Sekiranya data daripada ujian Amerika Latin menyokong kajian Asia, pihak yang berwajib perlu menimbangkan secara serius penggunaannya di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

Monday, 7 July 2014

Jabatan Kesihatan Kelantan Tubuh Pasukan Khas Banteras Denggi


KOTA BAHARU, 7 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Kelantan menubuhkan satu pasukan khas untuk menangani wabak denggi yang semakin serius di negeri ini.

Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata ia dianggotai pelbagai pihak termasuk anggota tentera dari Kem 8 Briged Pengkalan Chepa.

"Pasukan khas ini tugasnya khusus untuk mencari dan musnahkan tempat pembiakan nyamuk dan mereka dijangka mula turun ke lapangan Ahad ini," katanya kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini Isnin.

"Selain itu, kita juga telah menggerakkan Jawatankuasa Wabak Negeri di bawah kendalian Majlis Keselamatan Negeri (MKN) untuk meminta bantuan daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)," jelasnya.

Turut hadir Pengarah HRPZII Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk menangani kebimbangan umum tentang peningkatan kes demam denggi di seluruh negara sejak akhir-akhir ini.

Ahmad Razin berkata dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, 2,898 kes demam denggi dilaporkan di seluruh Kelantan.

Faktor hujan dan panas merupakan antara sebab kenaikan mendadak kes demam denggi itu, katanya sambil menambah daerah yang paling teruk terjejas ialah Kota Baharu dan Tumpat.

Sementara itu, Ghazali berkata pihaknya akan menyediakan wad khas untuk menampung pesakit demam denggi dari sekitar Kota Baharu.

"Kalau perkara ini serius kita akan sediakan lebih banyak wad dan pembedahan yang boleh ditangguhkan, kita tangguhkan bagi memberi laluan kepada pesakit demam denggi.

"Semalam, 106 pesakit demam denggi dilaporkan berada di HRPZII untuk mendapatkan rawatan," katanya.



-- BERNAMA