TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Showing posts with label Japanese Encephalitis - Berita Semasa. Show all posts
Showing posts with label Japanese Encephalitis - Berita Semasa. Show all posts

Saturday, 12 July 2014

Belum Muktamad Lepas Nyamuk Genetik Tangani Denggi - Dr Hilmi

BALIK PULAU, 13 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan belum mencapai keputusan muktamad untuk melaksanakan projek melepaskan nyamuk 'genetically modified organism' (GMO) bagi mengawal wabak denggi.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata projek itu ditangguh seketika berikutan kosnya yang tinggi di samping keberkesanan kaedah itu belum diuji sepenuhnya.

"Ujian pelepasan nyamuk GMO di Bentong pada Disember 2010 bertumpu kepada pemerhatian terhadap daya tahan nyamuk dan sejauh mana ia mampu terbang di kawasan lapangan kajian," katanya kepada pemberita pada majlis tadarus Al-Quran anjuran Wanita Umno kawasan Parlimen Balik Pulau di sini Ahad.

Menerusi kaedah tersebut, nyamuk jantan GMO yang direka khusus dijangka mengawan dengan nyamuk Aedes betina biasa yang diharapkan telur yang dihasilkan kelak akan mati dan dengan itu menghalang pembiakan generasi nyamuk Aedes seterusnya.

Beliau berkata kementeriannya juga belum mencapai kata putus berhubung cadangan syarikat pengendali projek dari London itu untuk meneruskan penyelidikan fasa seterusnya dengan melepaskan nyamuk GMO di empat negeri terpilih yang melibatkan kos RM100 juta.

Dr Hilmi berkata kes denggi secara keseluruhan menunjukkan peningkatan tiga kali ganda dengan purata 1,300 hingga 2,500 kes dilapor setiap minggu dan setakat ini merekod 87 kematian di seluruh negara.

"Peningkatan kes denggi juga menyebabkan katil pesakit di hospital awam termasuk di Pulau Pinang tidak mencukupi dengan kadar pengisian menjangkau lebih 100 peratus terutama di Selangor berbanding kebiasaannya antara 70 hingga 90 peratus," katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata kempen penerangan mengenai langkah pencegahan denggi akan dilakukan dari rumah ke rumah di Balik Pulau melibatkan 1,000 anggota pergerakan Wanita Umno selepas Aidilfitri.

-- BERNAMA

Monday, 7 July 2014

Kementerian Kesihatan Pertimbang Pemberian Vaksin JE Di Kawasan Berisiko

Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya

Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya BALIK PULAU, 7 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan mempertimbangkan pemberian vaksin di kawasan berisiko terdedah jangkitan Ensefalitis Jepun (JE) sebagai langkah untuk mengawal penularan virus itu.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pemberian vaksin melibatkan kos tinggi dan kementerian perlu menilai pelbagai aspek sebelum melaksanakan pendekatan itu.

"Terdapat dua cara untuk kawal JE, satu dengan menghapuskan perumahnya yang telah dikenal pasti, satu lagi dengan pemberian vaksin. Memandangkan ujian sampel darah babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor baru-baru ini didapati negatif, kita boleh pertimbangkan kaedah kedua.

"Jabatan Kesihatan, Jabatan Veterinar dan kerajaan negeri akan berbincang tindakan lanjut yang sesuai dengan keperluan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelantikan Watikah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penyerahan sumbangan kewangan kepada kariah masjid serta surau peringkat Parlimen Balik Pulau, di sini Ahad malam.

Katanya buat masa ini tumpuan diberi terhadap usaha pengawalan pembiakan nyamuk dengan melakukan semburan kabus bukan sahaja melibatkan ladang babi malah haiwan ternakan lain.

Dr Hilmi turut menasihati masyarakat agar memainkan peranan aktif dalam menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk di sekitar kediaman mereka sebagai langkah mengelak penyakit lain bawaan vektor itu termasuk denggi.

Rabu lepas, Norain Nasuha Shukri berumur dua tahun lima bulan disahkan dijangkiti virus JE selepas pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lalu adalah positif.

Kes itu adalah yang ketiga selepas seorang murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini, Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli disahkan dijangkiti virus yang sama dan sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru di sini.

Kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 18 tahun dari Lorong Seratus Tahun, di sini, yang kini dalam proses pemulihan.

-- BERNAMA

Penduduk Kg Selamat Sambut Baik Pemberian Vaksin Kawal JE


TASEK GELUGOR, 7 Julai (Bernama) -- Penduduk Kampung Selamat, di sini menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan mempertimbangkan pemberian vaksin untuk mengawal penularan virus Ensefalitis Jepun (JE) di kawasan yang terdedah kepada risiko jangkitan virus itu.

Seorang penduduk Normah Ismail, 35, berharap perkara itu dapat dipercepatkan terutama kepada bayi, kanak-kanak, murid sekolah dan warga emas kerana golongan berkenaan mudah terdedah kepada virus berkenaan.

Katanya pemberian vaksin itu memang tepat pada masanya terutama ketika ini penduduk Kampung Selamat semakin bimbang dengan jangkitan virus itu.

"Lebih cepat lebih bagus kerana virus itu membabitkan nyawa penduduk di sini, kami juga bimbang jika virus itu menjangkiti orang lain pula.

"Macam saya ada tiga anak yang bersekolah dan seorang lagi anak berusia dua tahun, setiap hari saya dan suami risau keadaan mereka sehingga terpaksa 'mengurung' mereka dalam rumah kerana bimbang digigit nyamuk," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Rabu lepas, Norain Nasuha Shukri berumur dua tahun lima bulan disahkan dijangkiti virus JE selepas pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lalu adalah positif.

Kes itu adalah yang ketiga selepas seorang murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini, Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12 disahkan dijangkiti virus yang sama dan sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru dekat sini.

Kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 18 tahun dari Lorong Seratus Tahun, George Town dekat sini, yang kini dalam proses pemulihan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Johari Ahmad, 47, berkata pemberian vaksin bukanlah penyelesaian kepada masalah penduduk di Kampung Selamat, terutama berkaitan bau busuk dan longkang tersumbat, akibat sistem perparitan ladang babi di situ yang tidak diselenggara dengan baik.

Beliau berharap satu tindakan segera terutama daripada kerajaan negeri dapat diambil bagi menyelesaikan masalah penduduk di Kampung Selamat kerana mereka sudah tidak tahan dengan bau busuk dari ladang babi berkenaan.

"Memang pemberian vaksin itu bagus dan baik tetapi ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah kami di sini, bau busuk dari ladang babi semakin teruk.

"Sudah sampai masanya kerajaan negeri pindahkan semua ladang-ladang itu ke kawasan lain terutama tempat yang tiada penduduk," katanya.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya hari ini berkata Kementerian Kesihatan mempertimbangkan pemberian vaksin di kawasan berisiko terdedah jangkitan JE sebagai langkah untuk mengawal penularan virus itu.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata pemberian vaksin melibatkan kos tinggi dan kementerian perlu menilai pelbagai aspek sebelum melaksanakan pendekatan itu.

-- BERNAMA

Pesakit JE Ammar Muqrish Akan Dipindahkan Ke Wad Biasa


GEORGE TOWN, 7 Julai (Bernama) -- Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, yang dijangkiti virus Ensefalitis Jepun (JE) akan dipindahkan ke wad biasa dalam tempoh dua hari lagi bergantung keadaan kesihatannya.

Ibunya Haniza Ayub, 40, berkata anaknya itu masih dirawat di Unit Rawatan Kardiologi (CCU) sebuah hospital swasta di Bayan Lepas, di sini dan menunjukkan perkembangan yang semakin baik.

"Doktor yang merawatnya memaklumkan kepada saya hari ini bahawa keadaan Ammar semakin baik dan dia juga makin kurang diserang sawan serta tekanan jantung dan darah juga semakin stabil.

"Jika keadaan Ammar semakin baik, doktor beritahu Ammar mungkin akan dipindahkan ke wad biasa esok atau lusa bergantung kepada perkembanganya. Alhamdulilah, kami sekeluarga sangat berharap dia segera sembuh," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Katanya Muhammad Ammar Muqrish juga sudah mula sedar dan memberi respons setiap kali namanya dipanggil.

"Ammar seorang anak yang kuat, saya percaya dia sedang melawan penyakitnya itu. Dia juga mula memberi respons kepada semua orang dan akan senyum bila namanya dipanggil," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Lailanor Ibrahim ketika dihubungi berkata kanak-kanak perempuan Norain Nasuha Shukri berumur dua tahun lima bulan yang turut dijangkiti virus JE masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya keadaan kesihatan kanak-kanak itu bertambah baik, namun Norain Nasuha masih menerima rawatan fisioterapi bagi membolehkannya berjalan seperti biasa.

"Kanak-kanak itu juga memberi respons yang baik terhadap rawatan yang diterimanya," katanya.

Dr Lailanor berkata pihaknya masih meneruskan langkah-langkah kawalan dan pengesanan kes secara aktif di sekitar kawasan Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini bagi mengelak penularan virus JE.

"Kita juga turut memantau keadaan kesihatan penduduk kampung berkenaan bagi memastikan mereka bebas virus berkenaan," katanya.

Rabu lepas, Norain Nasuha disahkan dijangkiti virus JE selepas pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lalu adalah positif.

Kes itu adalah yang ketiga selepas seorang murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini, Muhammad Ammar Muqrish disahkan dijangkiti virus yang sama dan sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas di sini.

Kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 18 tahun dari Lorong Seratus Tahun, di sini, yang kini dalam proses pemulihan.

-- BERNAMA

Tiada Keperluan Hapus Ladang Babi Tapi Jangkitan JE Perlu Dikawal - Ismail Sabri


PUTRAJAYA, 7 Julai (Bernama) -- Tiada keperluan untuk menghapuskan ladang babi di Pulau Pinang berikutan jangkitan virus Ensefalitis Jepun (JE) di negeri itu tetapi jangkitan virus itu perlu dikawal, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini kerana melalui ujian sampel darah yang dilakukan terhadap 181 sampel darah yang diambil dari 20 buah ladang babi di sekitar kawasan Kampung Selamat, Tasik Gelugor, Pulau Pinang, didapati negatif virus itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah perkara yang sama harus dilakukan sebagaimana kira-kira 1,700 babi dihapuskan pada tahun 1998 kerana virus Nipah yang mengakibatkan lebih 100 orang yang dijangkiti virus itu meninggal dunia.

"Virus ini berbeza dengan virus Nipah iaitu epidemik (sekali sekala) manakala JE adalah endemik iaitu sentiasa ada cuma yang beza menular atau tidak dan kita juga perlu kawal virus tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Setiausaha (KSU) kementerian Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dengan penggantinya Datuk Mohd Arif Ab Rahman, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun kawalan serta pemantauan masih dijalankan bukan hanya kepada ladang babi tetapi kesemua ladang haiwan yang terdapat di Pulau Pinang serta seluruh Malaysia.

"Walaupun babi paling banyak dikaitkan dengan virus ini tetapi kementerian tidak menolak virus ini boleh datang dari haiwan lain," katanya.

Rabu lepas, Norain Nasuha Shukri berumur dua tahun lima bulan disahkan dijangkiti virus JE selepas pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lalu adalah positif.

Sebelum itu, seorang murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, disahkan dijangkiti virus yang sama dan kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas.

Terdahulu dalam majlis itu Mohd Hashim, 60 yang bersara wajib hari ini menyerahkan tugasan tersebut kepada Mohd Arif, 57 dan yakin KSU baru ini mampu melaksanakan tugas yang diberikan dengan cemerlang.

Sementara itu, Mohd Arif berkata antara perkara yang akan diteliti ialah mengenai kewangan kementerian sebagai contoh akan mendapatkan laporan daripada semua ketua agensi berhubung peruntukan projek yang tidak digunakan.

"Jabatan yang tidak melaksanakan perbelanjaan ikut program kena akui kegagalan dan menyerahkan kembali peruntukan tersebut kepada Kementerian Kewangan," katanya.

--BERNAMA