TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Monday, 7 July 2014

Pesakit JE Ammar Muqrish Akan Dipindahkan Ke Wad Biasa


GEORGE TOWN, 7 Julai (Bernama) -- Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, yang dijangkiti virus Ensefalitis Jepun (JE) akan dipindahkan ke wad biasa dalam tempoh dua hari lagi bergantung keadaan kesihatannya.

Ibunya Haniza Ayub, 40, berkata anaknya itu masih dirawat di Unit Rawatan Kardiologi (CCU) sebuah hospital swasta di Bayan Lepas, di sini dan menunjukkan perkembangan yang semakin baik.

"Doktor yang merawatnya memaklumkan kepada saya hari ini bahawa keadaan Ammar semakin baik dan dia juga makin kurang diserang sawan serta tekanan jantung dan darah juga semakin stabil.

"Jika keadaan Ammar semakin baik, doktor beritahu Ammar mungkin akan dipindahkan ke wad biasa esok atau lusa bergantung kepada perkembanganya. Alhamdulilah, kami sekeluarga sangat berharap dia segera sembuh," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Katanya Muhammad Ammar Muqrish juga sudah mula sedar dan memberi respons setiap kali namanya dipanggil.

"Ammar seorang anak yang kuat, saya percaya dia sedang melawan penyakitnya itu. Dia juga mula memberi respons kepada semua orang dan akan senyum bila namanya dipanggil," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Lailanor Ibrahim ketika dihubungi berkata kanak-kanak perempuan Norain Nasuha Shukri berumur dua tahun lima bulan yang turut dijangkiti virus JE masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya keadaan kesihatan kanak-kanak itu bertambah baik, namun Norain Nasuha masih menerima rawatan fisioterapi bagi membolehkannya berjalan seperti biasa.

"Kanak-kanak itu juga memberi respons yang baik terhadap rawatan yang diterimanya," katanya.

Dr Lailanor berkata pihaknya masih meneruskan langkah-langkah kawalan dan pengesanan kes secara aktif di sekitar kawasan Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini bagi mengelak penularan virus JE.

"Kita juga turut memantau keadaan kesihatan penduduk kampung berkenaan bagi memastikan mereka bebas virus berkenaan," katanya.

Rabu lepas, Norain Nasuha disahkan dijangkiti virus JE selepas pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lalu adalah positif.

Kes itu adalah yang ketiga selepas seorang murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini, Muhammad Ammar Muqrish disahkan dijangkiti virus yang sama dan sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas di sini.

Kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 18 tahun dari Lorong Seratus Tahun, di sini, yang kini dalam proses pemulihan.

-- BERNAMA

Tiada Keperluan Hapus Ladang Babi Tapi Jangkitan JE Perlu Dikawal - Ismail Sabri


PUTRAJAYA, 7 Julai (Bernama) -- Tiada keperluan untuk menghapuskan ladang babi di Pulau Pinang berikutan jangkitan virus Ensefalitis Jepun (JE) di negeri itu tetapi jangkitan virus itu perlu dikawal, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini kerana melalui ujian sampel darah yang dilakukan terhadap 181 sampel darah yang diambil dari 20 buah ladang babi di sekitar kawasan Kampung Selamat, Tasik Gelugor, Pulau Pinang, didapati negatif virus itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah perkara yang sama harus dilakukan sebagaimana kira-kira 1,700 babi dihapuskan pada tahun 1998 kerana virus Nipah yang mengakibatkan lebih 100 orang yang dijangkiti virus itu meninggal dunia.

"Virus ini berbeza dengan virus Nipah iaitu epidemik (sekali sekala) manakala JE adalah endemik iaitu sentiasa ada cuma yang beza menular atau tidak dan kita juga perlu kawal virus tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Setiausaha (KSU) kementerian Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dengan penggantinya Datuk Mohd Arif Ab Rahman, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun kawalan serta pemantauan masih dijalankan bukan hanya kepada ladang babi tetapi kesemua ladang haiwan yang terdapat di Pulau Pinang serta seluruh Malaysia.

"Walaupun babi paling banyak dikaitkan dengan virus ini tetapi kementerian tidak menolak virus ini boleh datang dari haiwan lain," katanya.

Rabu lepas, Norain Nasuha Shukri berumur dua tahun lima bulan disahkan dijangkiti virus JE selepas pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lalu adalah positif.

Sebelum itu, seorang murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, disahkan dijangkiti virus yang sama dan kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas.

Terdahulu dalam majlis itu Mohd Hashim, 60 yang bersara wajib hari ini menyerahkan tugasan tersebut kepada Mohd Arif, 57 dan yakin KSU baru ini mampu melaksanakan tugas yang diberikan dengan cemerlang.

Sementara itu, Mohd Arif berkata antara perkara yang akan diteliti ialah mengenai kewangan kementerian sebagai contoh akan mendapatkan laporan daripada semua ketua agensi berhubung peruntukan projek yang tidak digunakan.

"Jabatan yang tidak melaksanakan perbelanjaan ikut program kena akui kegagalan dan menyerahkan kembali peruntukan tersebut kepada Kementerian Kewangan," katanya.

--BERNAMA

Sunday, 6 July 2014

16 jangkitan virus JE, empat kematian setakat ini


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata sebanyak 16 kes jangkitan virus Ensefalitis Jepun (JE) dengan empat kematian dilaporkan sehingga hari ini.
    
Beliau berkata kes kematian itu melibatkan dua mangsa di Sabah dan masing-masing seorang di Kelantan dan Selangor.
    
Mangsa terbaru disyaki dijangkiti virus JE ialah seorang murid berusia 12 tahun di Pulau Pinang pada Jumaat lepas, katanya dalam kenyataan semalam.
    
Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa itu terdedah kepada gigitan nyamuk pembawa virus JE semasa menyertai aktiviti perkhemahan di kawasan sekolah, yang terletak berhampiran dengan ladang khinzir, pada 24 hingga 26 April lepas.
    
Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Kedah telah menjalankan siasatan kes dan melakukan aktiviti kawalan di sekolah kanak-kanak itu di Seberang Perai Utara, dan kediamannya di Padang Serai, Kedah.

Antara aktiviti kawalan yang dilaksanakan adalah mengesan penduduk dan pelajar jika mempunyai simptom JE, melaksanakan semburan kabus, menghapuskan tempat pembiakan nyamuk dan menjalankan aktiviti pendidikan kesihatan terhadap penduduk di sekitar kediaman, termasuk pelajar di sekolah berkenaan.
    
Dr Subramaniam berkata tiada penduduk atau pelajar yang mengalami tanda-tanda JE tetapi pemantauan ini tetap akan dilakukan sehingga tiada transmisi jangkitan berlaku.
    
Justeru, pihak sekolah diminta mendapatkan khidmat nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat sebelum mengadakan aktiviti perkhemahan atau aktiviti malam di kawasan sekolah yang terletak dalam lingkungan dua kilometer radius daripada ladang khinzir.
    
"Pekerja ladang ternakan khinzir dan penduduk yang tinggal berhampiran juga perlu mengambil langkah perlindungan diri dengan mengurangkan aktiviti luar di waktu senja hingga awal pagi, memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang ketika di luar rumah atau semasa bekerja, serta menggunakan aerosol membunuh nyamuk dewasa terutama pada waktu malam hingga awal pagi," katanya.
    
Beliau juga menasihatkan sesiapa yang mengalami demam perlu mendapatkan rawatan segera daripada klinik atau hospital berhampiran.
    
- Bernama

Monday, 19 May 2014

Japanese Encephalitis

Kesihatan -- Japanese Encephalitis - Punca penyakit

 

JAPANESE Encephalitis merupakan jangkitan virus yang ditularkan oleh nyamuk. Bagi kebanyakan individu yang mendapat jangkitan ini, ia tidak menunjukkan sebarang tanda jelas.

Bagaimanapun, terdapat segelintir yang dijangkiti virus ini, akan mengalami Encephalitis atau jangkitan pada otak yang berkemungkinan membawa maut.

Ketua Unit Kultural Sel Jabatan Mikrobiologi dan Imunologi Perubatan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Datin Dr. Ilina Isahak memberitahu JE ditularkan melalui gigitan nyamuk yang mendapat jangkitan tersebut. 

Nyamuk culex tritaeniorhynchus merupakan vektor yang terpenting dalam menyebarkan virus ini.
Bagaimanapun, katanya khinzir memainkan peranan terpenting dalam menggandakan lagi bilangan virus ini kerana virus tersebut banyak didapati dalam darah mereka.

Pada masa yang sama, suhu badan khinzir yang tinggi dan permukaan tubuhnya yang tidak berambut menjadi tarikan beribu-ribu nyamuk pada setiap malam,'' ujarnya.

Menurut beliau, nyamuk culex ini biasanya keluar pada waktu senja dan lebih gemar menggigit haiwan berbanding manusia.

Sehubungan itu, jangkitan ini tidak akan berlaku dari manusia kepada manusia.

Nyamuk culex ini merupakan vektor terpenting di Asia di mana mereka menggunakan takungan air di tanah seperti sawah padi untuk larvanya.

Di sesetengah negara lain, nyamuk aedes turut dikaitkan dengan penularan virus JE ini,'' ujarnya.

Dr. Ilina menjelaskan, di kebanyakan negara Asia, risiko penularan JE banyak bergantung kepada pendedahan faktor persekitaran.

Ini termasuklah kawasan luar bandar, sawah padi yang berair, ternakan khinzir dan hujan lebat.

Keadaan ini, katanya amat sesuai untuk virus JE, kerana selain tempat pembiakan vektor yang luas, perumah pengganda (khinzir) juga agak tinggi.

Di kebanyakan kawasan luar bandar di negara-negara Asia, khinzir sering diternak di belakang rumah bersama ayam, itik dan berhampiran sawah padi.

Keadaan ini secara tidak langsung, mendedahkan manusia kepada JE daripada khinzir melalui gigitan nyamuk,'' ujarnya.

Bagaimanapun, di negara maju seperti Jepun, ternakan khinzir ditempatkan jauh dari kawasan perumahan.

Malah, penggunaan kaedah pertanian moden seperti racun serangga dapat membantu mengurangkan penularan virus JE.

Mengimbas sejarah JE, ia merupakan penyakit dan agen penyebab yang pertamanya ditemui di Jepun pada 1935.

Di Malaysia, wabak Japanese Encephalitis yang pertama dilaporkan berlaku di kalangan askar tahanan British pada 1951.

Hampir setiap tahun, wabak ini dilaporkan berlaku dengan anggaran antara 37 hingga 92 kes, di mana sembilan hingga 35 kes dikenal pasti oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Secara umumnya, hampir 50,000 kes JE berlaku di Asia di mana 10,000 daripada akan mengakibatkan kematian.

Data yang diperolehi daripada Kementerian Kesihatan pada 1993 hingga 1997 mendapati, jumlah mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak yang berumur 0-4 tahun sebanyak 19.2 peratus.

Manakala kanak-kanak yang berumur lima hingga 14 tahun sebanyak 58.9 peratus.

Sementara itu, bagi kes-kes JE yang membabitkan jantina pada tahun yang sama, 66.4 peratus terdiri daripada lelaki, manakala 33.6 peratus adalah wanita.

Dr. Ilina memberitahu, kajian jangkitan JE pada darah haiwan ternakan dari sembilan buah negeri di Malaysia pada 1993 mendapati, kebanyakan haiwan yang dijangkiti terdiri daripada khinzir dari Pulau Pinang.

Sebahagian kecilnya terdiri daripada lembu dan kerbau di Perak dan Johor mencatatkan tahap antibodi yang tinggi.

Menurut beliau, kajian yang dijalankan ke atas haiwan mendapati, jangkitan JE sebenarnya ditemui hampir pada kebanyakan spesies haiwan.

Bagaimanapun, antibodi positif yang tertinggi hanya didapati pada khinzir.

Keadaan ini meletakkan khinzir sebagai perumah pengganda bagi virus JE di Malaysia dan beberapa negara lain di Asia berbanding haiwan ternakan lain.

Menurut Dr. Ilina, khinzir merupakan perumah pengganda virus JE kerana kadar jangkitannya tinggi, populasi luas dan kadar pertukaran yang tinggi juga.

Pada masa yang sama, ia merupakan perumah pilihan bagi nyamuk terutama nyamuk jenis ini.

Tambahnya, satu kajian lain di Malaysia mendapati virus JE ditemui pada nyamuk dan haiwan ternakan sepanjang tahun di seluruh negara.

Namun, keadaan cuaca di negara ini dengan suhu dan hujan lebat amat sesuai untuk pembiakan nyamuk sekali gus penularan virus JE.

TANDA-TANDA KLINIKAL

Hanya satu dalam 500 (1:500) kes jangkitan akan menyebabkan seseorang menghidap penyakit JE.
Antara tanda-tanda awal seseorang yang mendapat jangkitan JE ialah :
* Demam
* Sakit kepala
* Letih
* Loya
* Muntah yang berlaku berhari-hari
Walaupun terdapat segelintir lain mendapat jangkitan JE ini, mereka tidak menunjukkan tanda-tanda (asimtomatik).
Manakala tanda-tanda jangkitan saraf dapat dikenal pasti dengan:
* Rasa mengantuk
* Kegelisahan
* Keadaan hampir pengsan
* Meracau

Sesetengah kanak-kanak yang mendapat jangkitan ini, menunjukkan pertuturan yang tidak jelas atau bisu.

Sementara itu 60 peratus mereka yang mendapat jangkitan ini mengalami sawan di mana tempoh penyembuhannya adalah lambat.

Bagaimanapun, JE boleh membawa maut dalam 10 hingga 35 kes yang biasanya berlaku pada minggu pertama jangkitan.


RAWATAN

Sehingga kini, belum ada rawatan antivirus yang khusus dalam pasaran. Namun, pesakit JE biasanya akan diberi rawatan rapi di hospital.


KOMPLIKASI
a. Kanak-kanak yang berumur kurang 10 tahun lebih rentan untuk mendapat komplikasi saraf yang serius seperti:
* Lumpuh
* Kebutaan
* Sawan
Satu pertiga atau setengah pesakit yang hidup selepas mendapat jangkitan akut akan mendapat komplikasi setahun kemudian.
b. Wanita hamil
Pada wanita hamil, mereka yang dijangkiti JE semasa awal kehamilan boleh menyebabkan kematian janin atau keguguran.
Sebaliknya, jangkitan JE pada peringkat akhir kehamilan tidak menyebabkan apa-apa kesan pada bayi di mana bayi yang dilahirkan adalah normal.


PENCEGAHAN

* Mengasingkan kawasan ternakan khinzir jauh dari kawasan perumahan.
* Proses memvaksinasi semua khinzir yang berumur enam bulan ke atas dengan vaksin JE.
* Semburan racun serangga di kawasan ternakan khinzir dan sawah padi.
* Penggunaan pencegah serangga
* Menyembur racun serangga di tempat tidur
* Memakai baju berlengan panjang, seluar atau kain panjang.
* Tinggal dalam rumah selepas senja kerana vektor aktif selepas senja
* Menimbus lopak-lopak air
* Menjaga kebersihan persekitaran ladang


KAWALAN JE

Berdasarkan kitaran penularan virus JE, terdapat tiga strategi untuk mengawal JE:
* Kawalan vektor semburan serangga.
* Imunisasi khinzir dengan vaksin JE hidup
* Imunisasi manusia dengan vaksin JE yang dimatikan.
* Kawalan vektor amat sukar dilakukan kerana tempat pembiakan nyamuk di sawah padi agak luas. Bagaimanapun, di Jepun densiti vektor dapat dikurangkan dengan semburan racun serangga yang dijalankan oleh petani untuk melindungi hasil pertanian mereka.
* Imunisasi khinzir tidak terkecuali dilakukan di Jepun.
Namun, bilangan khinzir yang banyak, kadar pertukaran yang tinggi dan kehadiran antibodi maternal (ibu) menghalang keberkesanan vaksin JE hidup.
Keberkesanan vaksin JE yang hidup bertambah sukar sekiranya vaksin tersebut diberi enam bulan selepas kelahiran.
* Imunisasi manusia terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi merupakan langkah yang efisien, praktik dan terbaik.

Vaksin JE yang mengandungi virus yang dimatikan mampu memberi perlindungan yang sepenuhnya dengan tiga kali dos suntikan.

Suntikan kedua diberikan tujuh hari selepas dos pertama, manakala suntikan ketiga diberi pada hari ke-30.

Selepas vaksinasi, antibodi akan terbina pada hari ke-14 hinggalah setahun meskipun, jangka perlindungannya tidak diketahui. Satu dos booster boleh diberikan selepas dua tahun.
Penerima vaksin harus dimantau dalam tempoh 30 minit dan dinasihatkan mendapat rawatan jika perlu dalam tempoh 10 hari selepas suntikan.

Bagaimanapun, vaksin JE tidak diberikan kepada mereka yang mengalami alahan atau terlalu sensitif terhadap kandungan vaksin dan juga wanita hamil.

--- UTUSAN MALAYSIA

Wednesday, 7 May 2014

Demam Denggi

  1. Apa Itu Demam Denggi?
  2. Demam Denggi adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus Denggi. Orang yang sihat boleh menghidap penyakit ini melalui gigitan nyamuk Aedes yang mengandungi virus Denggi. Penyakit ini sangat berbahaya dan boleh membawa maut. Tiada ubat untuk merawat penyakit ini. Cara yang paling berkesan untuk mencegah penyakit ini ialah dengan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

  3. Mengenali Nyamuk Aedes
    • Nyamuk Aedes senang dikenali dengan belang hitam putih di badan dan kaki.
    • Nyamuk Aedes biasanya menggigit pada awal pagi dan awal senja.
    • Nyamuk Aedes membiak di dalam takungan air jernih di dalam dan di luar rumah.
    • Kitaran hidup nyamuk Aedes dari telur hingga menjadi dewasa mengambil masa lebih kurang 1 minggu.
    •  
  4. Mengenali Tempat-tempat Pembiakan Nyamuk Aedes.
  5. a. Tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam rumah
    • Di dalam kolah bilik mandi dan baldi yang menakung air.
    • Bekas perangkap semut.
    • Bekas menakung air peti sejuk.
    • Piring menakung air pasu bunga.
    b. Tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di luar rumah
    • Tayar terpakai.
    • Tempurung kelapa.
    • Tempurung koko.
    • Botol.
    • Saluran-saluran air hujan.
    • Tin-tin kosong.
    •  
  6. Tanda-tanda Demam Denggi
    • Demam kuat yang mengejut.
    • Kekeringan bibir.
    • Sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot, sendi-sendi dan biji mata.
    • Ruam merah di kulit.
    • Pendarahan di bawah kulit, pada hidung dan gusi.
    • Sakit kepala.
    • Hilang selera makan.
    • Muntah-muntah.
    • Sakit perut.
    •  
  7. Mengawal Dan Mencegah Demam Denggi
  8. Memusnah nyamuk Aedes
    a. Peringkat jentik-jentik :
    • Memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan menanam atau membuang semua bekas kosong yang boleh menakung air.
    • Masukkan ubat pembunuh jentik-jentik seperti abate atau garam ke dalam semua bekas menyimpan air tiga bulan sekali.
    • Tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada bertelur.
    • Tukar air dalam tempayan, jambangan bunga dan kolah bilik mandi setiap minggu dan basuh serta berus sehingga bersih sebelum mengisi air yang baru.
    • Buang air dari piring-piring alas pasu bunga seminggu sekali dan berus piring-piring itu hingga bersih untuk memusnahkan telur-telur nyamuk.
    • Bersihkan saluran air hujan (saluran bumbung).
    b. Peringkat nyamuk dewasa
    • Tidur menggunakan kelambu.
    • Gunakan ubat nyamuk atau racun serangga pembunuh nyamuk.
    • Gunakan jaring nyamuk di jendela rumah.
    • Semburan kabus secara besar-besaran.

--- drmuda.gov.my