TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Tuesday, 17 November 2015

Kes Denggi Di Pulau Pinang Catat Penurunan Sepanjang Minggu Lepas


GEORGE TOWN, 17 Nov (Bernama) -- Kes demam denggi di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 18.2 peratus atau 31 kes bagi tempoh tujuh hari minggu lepas berbanding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata sebanyak 139 kes denggi dilaporkan dari 8 hingga 14 Nov berbanding 170 kes dari 1 hingga 7 Nov lepas.

Beliau berkata walaupun terdapat penurunan kes, secara kumulatif sehingga 14 Nov lepas sebanyak 4,832 kes denggi dilaporkan berbanding 2,097 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 2,735 kes atau 130.42 peratus.

"Sebanyak 15 kematian akibat demam denggi dilaporkan bagi tahun ini berbanding lima kematian demam denggi bagi tempoh sama tahun lepas. Pulau Pinang berada di tangga kelima yang mencatatkan jumlah kematian akibat demam denggi di seluruh negara.

"Selangor adalah negeri yang mencatatkan jumlah kematian akibat denggi yang tertinggi iaitu sebanyak 110 kematian diikuti Johor (39 kematian), Kuala Lumpur (32 kematian) dan Perak (24 kematian)," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat demam denggi, Sharon Chai Khiun Jin di Tingkat Paya Terubong 4, dekat sini Selasa.

Turut hadir Ketua Menteri Lim Guan Eng. Chai meninggal dunia pada 11 Nov lalu selepas disahkan positif denggi pada 7 Nov.

Dr Afif berkata pada ketika ini, terdapat 28 lokaliti wabak terkawal dilaporkan di Pulau Pinang iaitu Desa Baiduri, Desa Permata, Apartment Serina Bay, Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor, Bukit Dumbar Permai dan Jalan Abdullah Ariff.

Lokaliti lain ialah Jalan Goh Guan Ho, Jalan Sheikh Madar, Lahat Court, Pangsapuri Pelangi, Sri Wangsa, Taman Abidin, Taman Kristal Apartment, Taman Lembah Hijau, Tingkat Paya Terubong, Taman Suria Vista, Kampung Tanjung Bungah, Changkat Tembaga dan Greelane Heights Apartment dari daerah Timur Laut, katanya.

"Lokaliti Desa Bayan, Mutiara Perdana dan Permatang Damar Laut dari daerah Barat Daya. Lokaliti Lengkok Inderawasih, Kompleks Perai Utama, Pintas Tenggiri dan Persiaran Kota Permai dari daerah Seberang Perai Tengah (SPT). Lokaliti Taman Bagan Jaya dari daerah Seberang Perai Utara (SPU) serta perkampungan Jawi di daerah Seberang Perai Selatan (SPS)," katanya.

Beliau berkata terdapat empat lokaliti wabak tidak terkawal iaitu di Pangsapuri Inspektor Polis Lorong Batu Lanchang dan Taman Sri Pinang dari daerah Timur Laut serta Taman Limau Manis dan Flat Telok Indah di daerah SPT.

Dr Afif berkata terdapat tujuh lokaliti titik panas iaitu di daerah Timur Laut di Desa Pinang 2 dan Jalan Lim Khoon Huat; Flat Pusat Bayan, Taman Kumbar Permai dan Halaman Murni di daerah Barat Daya serta Flat Inderawasih dari daerah SPT.

Sementara itu, Lim menyifatkan situasi semasa demam denggi di negeri ini sebagai serius dan satu krisis kesihatan yang perlu diberi perhatian serius oleh penduduk di negeri ini.

"Malangnya rakyat kini menganggap denggi ini sebagai satu perkara biasa dan mereka sudah lali dengan penyakit denggi ini. Kalau kita anjurkan gotong-royong tak ramai komuniti yang turut serta sebab mereka anggap ini perkara biasa.

"Adalah penting rakyat memberi tumpuan kepada denggi supaya tidak mudah dijangkiti penyakit ini. Jangan rasa ini perkara biasa. Ini adalah satu perkara serius. Harap tidak ada peningkatan kes-kes sedemikian lagi," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya terus mengambil langkah pencegahan bagi menghentikan penularan penyakit denggi dengan melakukan pemeriksaan dalam rumah dan kawasan sekitar, selain menjalankan gotong-royong di kawasan perumahan bagi menghapuskan tempat-tempat berpotensi pembiakan nyamuk aedes.

-- BERNAMA

Terengganu Catat Penurunan Kes Demam Denggi


KUALA TERENGGANU, 17 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1,037 kes demam denggi dilaporkan berlaku di seluruh Terengganu sejak Januari hingga 5 Nov lepas, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Mohd Jusoh.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 21.3 peratus atau 280 kes berbanding 1,317 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

"Daerah Kuala Terengganu adalah penyumbang utama kes denggi di negeri ini dengan 33.2 peratus (344 kes) diikuti Dungun 21.8 peratus (226), Kemaman 13.5 peratus (140), Kuala Nerus 11.9 peratus (123), Besut 8.5 peratus (88), Marang 5.4 peratus (56), Hulu Terengganu 4.3 peratus (45) dan Setiu 1.4 peratus (15).

"Peratus peningkatan mengikut daerah pula berlaku di Dungun iaitu peningkatan sebanyak 107.3 peratus dan Kemaman pula 75 peratus jika dibandingkan dengan kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Bagi tempoh sama juga terdapat penurunan kes di Kuala Terengganu iaitu sebanyak 49 peratus diikuti Marang 44.6 peratus, Kuala Nerus 36.3 peratus, Hulu Terengganu 11.8 peratus, Besut 5.4 peratus dan Setiu 6.3 peratus," katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas lanjut Dr Mohd Jusoh berkata sehingga 5 Nov lepas sebanyak 32 lokaliti wabak terkawal berlaku di Terengganu iaitu 15 di Kuala Terengganu, Dungun (11), Besut (empat) dan Hulu Terengganu (dua) manakala satu lokaliti di daerah Dungun mencatat wabak berulang iaitu di Kg Limbong, dekat Paka.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan di lokaliti wabak, didapati masih banyak tempat pembiakan di kawasan persekitaran tempat tinggal.

"Faktor yang dikenal pasti berlakunya kejadian denggi ialah sikap penduduk yang tidak memberi perhatian kepada isu kebersihan selain terdapatnya rumah kosong dan tanah kosong yang menjadi tempat pembiakan nyamuk," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, 8 November 2015

Kematian Akibat Denggi Meningkat Di Kedah


ALOR SETAR, 7 Nov (Bernama) -- Angka kematian akibat demam denggi meningkat sebanyak 12 kematian di Kedah bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Okt lepas berbanding enam kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata kes kematian terbaharu membabitkan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun dari Kuala Muda pada 27 Okt lalu.

"Pesakit telah mengalami demam, sakit kepala dan muntah selama tiga hari sebelum dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim pada 23 Okt dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama dan selepas beberapa hari dirawat, pesakit meninggal dunia pada 27 Okt," katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Dr Norhizan berkata bagaimanapun, kes demam denggi di negeri itu mencatatkan penurunan 6.9 peratus iaitu 770 kes berbanding 828 kes yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata di Kuala Muda dan Sik, kes jangkitan demam mencatatkan penurunan, tetapi lapan daerah mencatatkan peningkatan dengan Bandar Baharu mencatatkan kes tertinggi diikuti Yan, Baling, Kubang Pasu, Pendang, Kulim, Kota Setar dan Padang Terap.

Katanya pihaknya telah memeriksa 311,639 premis sepanjang tempoh berkenaan dan mendapati 5,174 premis membiak jentik-jentik.

Dr Norhizan berkata jabatan juga mengeluarkan 2,533 kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan 357 notis arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

-- BERNAMA

Tuesday, 10 February 2015

Kedah Catat Peningkatan Kes Demam Denggi


ALOR SETAR, 10 Feb (Bernama) -- Kedah mencatat peningkatan 40 peratus kes demam denggi atau 125 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 7 Feb lepas berbanding 89 kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail bagaimanapun berkata setakat ini tiada kes kematian akibat demam denggi direkodkan.

Katanya sembilan daerah yang menunjukkan peningkatan ialah Kubang Pasu mencatatkan peningkatan 225 peratus iaitu daripada empat kes bagi tempoh Januari hingga 7 Feb tahun lepas kepada 13 kes bagi tempoh sama tahun ini.

Kedua tertinggi ialah Kota Setar yang mencatatkan peningkatan 136 peratus dengan 26 kes berbanding 11 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

"Bagi tempoh yang sama tahun ini, Kulim mencatatkan 29 kes diikuti Baling (10 kes), Padang Terap dan Yan masing-masing sembilan kes, Sik (tiga kes) dan Bandar Baharu (dua kes)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norhizan berkata terdapat dua lokaliti wabak semasa iaitu satu lokaliti wabak tak terkawal di Kampung Raja, Guar Cempedak dan satu lokaliti wabak baharu dilaporkan di Taman Seri Bersatu di Baling.

"Sehingga 7 Feb lepas, kumulatif lokaliti wabak yang dicatatkan adalah tiga berbanding satu lokaliti seluruh negeri yang dicatatkan bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh itu, pihaknya telah menjalankan langkah pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes di 40,531 premis dan mendapati terdapat 636 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

Katanya pihaknya telah mengeluarkan 271 kompaun berjumlah RM130,300 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan 31 notis bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes.

Beliau berkata pihaknya juga melakukan semburan untuk membunuh nyamuk aedes di 43,904 premis di seluruh Kedah dan sebanyak 24,111 premis telah diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.

Katanya orang ramai juga digalak menggunakan semburan aerosol semasa waktu puncak gigitan nyamuk aedes iaitu waktu pagi dan senja dan dinasihat agar lebih berwaspada terhadap penyakit demam denggi.

-- BERNAMA

Monday, 26 January 2015

Kerajaan Selangor Nasihat Semua Pihak Pergiat Kerjasama Tangani Wabak Denggi


SHAH ALAM, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor menasihatkan semua pihak terlibat di negeri ini mempergiat jalinan kerjasama sedia ada dengan Kerajaan Persekutuan dalam menangani wabak denggi secara lebih efektif berikutan peningkatan jumlah kes penyakit itu.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya melihat peningkatan mendadak kes demam denggi di negeri ini secara lebih serius walaupun pelbagai langkah dan tindakan telah diambil untuk mengatasinya.

Beliau berkata kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam membendung peningkatan jumlah kes wabak denggi akan terus dipererat bagi mendapatkan lebih banyak kaedah terbaik sebagai penyelesaian terhadap wabak itu.

"Kita telah lancarkan pelbagai program cegah denggi di setiap daerah serta lokaliti terlibat namun ia mesti dilakukan secara berterusan oleh pihak terlibat seperti pihak berkuasa tempatan, kementerian (kesihatan) dan jabatan kesihatan daerah.

Jadi, satu kerjasama kolektif sangat diperlukan dalam menangani masalah ini. Semua pihak perlu memberi perhatian lebih khusus mengenainya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Lambaian Kaabah Selangorku, di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menyatakan Selangor merekodkan jumlah kes denggi tertinggi di negara ini iaitu lebih 1,000 kes dalam tempoh seminggu sejak tiga minggu lepas.

Katanya, daerah yang merekodkan jumlah tertinggi wabak denggi di negeri ini adalah Petaling.

-- BERNAMA