TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Sunday, 6 April 2014

Demam Denggi Menurun Kepada 1,300 Kes Minggu Lepas - Subramaniam




MELAKA, 6 April (Bernama) -- Demam denggi menurun kepada kira-kira 1,300 kesdi seluruh negara minggu lepas berbanding 2,500 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini.

Beliau berkata penurunan sebanyak 1,200 kes itu berikutan pelbagai usaha Kementerian Kesihatan dalam mengawal pembiakan nyamuk Aedes terutama di kawasan berisiko.

Namun, katanya wabak denggi masih belum dapat ditangani sepenuhnya masa ini kerana sikap rakyat terhadap isu itu masih di tahap rendah.

"Kesedaran rakyat tentang wabak ini amat tinggi tetapi mereka tidak ubah sikap (untuk mencegah wabak itu). Ia memerlukan usaha yang jitu dari pelbagai pihak terutama masyarakat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan cakera padat 'Tirupugal' yang mengandungi 22 lagu keagamaan Hindu di sini, hari ini.

Menurutnya sehingga kini, sebanyak 25,000 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dengan 63 kematian dicatatkan sejak Januari lepas.

Dr Subramaniam berkata selaras dengan ancaman penyakit itu, tema 'Gigitan Kecil, Ancaman Besar' dipilih bagi sambutan Hari Kesihatan Sedunia esok.

Beliau berkata tema itu bertepatan dengan pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan untuk mengubah cara hidup dan sikap rakyat negara ini dalam membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Tahun lepas dan tahun ini, wabak denggi merebak dengan begitu besar bukan sahaja di Asia Tenggara tapi di kawasan yang lain termasuk di kawasan Caribbean. Situasi itu berlaku disebabkan perubahan iklim dunia dan jenis virus yang menyebabkan penyakit ini menular dengan pantas," katanya.

Sehubungan itu, Dr Subramaniam akan melakukan lawatan ke kawasan industri di negara ini bagi memantau pembiakan nyamuk Aedes dan kes demam denggi.

Beliau berkata semua pejabat daerah kesihatan dan negeri turut disaran menganjurkan pelbagai program sempena sambutan tersebut selaras dengan usaha kerajaan mengubah persepsi rakyat terhadap wabak itu.

-- BERNAMA

Friday, 4 April 2014

Kes Demam Denggi Di P. Pinang Meningkat 196 Peratus



GEORGE TOWN, 4 April (Bernama) -- Kes demam denggi di Pulau Pinang meningkat 196 peratus dengan 560 kes dilapor setakat 29 Mac lepas berbanding hanya 189 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata tiga kematian akibat demam denggi dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Mac lalu berbanding tiada kematian bagi tempoh sama pada 2013.

"Pada masa ini terdapat lapan lokaliti wabak terkawal dilaporkan di Pulau Pinang iaitu di Teluk Awak dan Lorong Hassan Abbas di daerah Barat Daya; Taman Mutiara, Jalan Megat Harun, Taman Makok dan Taman Sri Janggus di daerah Seberang Perai Tengah (SPT); dan Taman Bagan serta Taman Lip Kee di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

"Terdapat satu lokaliti 'hotspot' iaitu di Taman Desa Damai di daerah SPT," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mencegah pembiakan Aedes yang mengundang demam denggi.

"Kaedah menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk Aedes mampu mengawal gejala demam denggi daripada berlaku," katanya.

Dr Afif berkata pihak Jabatan Kesihatan juga meminta kerjasama masyarakat untuk melakukan pembersihan kawasan sekitar secara kerap setiap minggu.

Beliau menasihatkan mereka yang mengalami demam dan tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit sendi, muntah, ruam dan kurang selera makan supaya mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.



-- BERNAMA

Wednesday, 12 February 2014

Dua pemilik rumah dikompaun

Dr Aisyah (kanan) memeriksa kawasan rumah seorang penduduk dalam Ops Gempur Aedes II 2014, semalam.
ALOR SETAR - Dua kompaun berjumlah RM1,000 dikeluarkan terhadap dua pemilik kediaman di Kampung Gunung Sali, di sini, dalam Ops Gempur Aedes II 2014 yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar, semalam.

Pegawai Kesihatan Daerah II, Dr Aisyah Jusoh berkata, kompaun itu dikeluarkan terhadap dua pemilik kediaman berkenaan itu selepas didapati positif pembiakan Aedes.

“Sebanyak 240 premis meliputi kawasan kediaman dan kilang diperiksa dalam operasi ini dan dua daripadanya yang didapati positif pembiakan Aedes.

“Untuk itu, kita mengeluarkan dua kompaun mengikut Seksyen 13(1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang mana setiap satu berjumlah RM500,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi berkenaan.

Tambah Aisyah, dalam operasi yang melibatkan kira-kira 120 anggota penguatkuasa itu, pihaknya turut mengeluarkan satu notis di bawah Seksyen 8, akta yang sama kepada seorang pemilik kediaman.

“Biarpun pihak kami tidak menemui jentik-jentik, namun kawasan perkarangan rumahnya yang dipenuhi pelbagai barangan berpotensi menjadi lokasi pembiakan Aedes.

“Melalui notis itu, kita beri tempoh tujuh hari kepada pemilik untuk membersihkan pekarangan rumahnya atau bakal dikenakan tindakan mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, penguatkuasaan membasmi pembiakan Aedes akan diteruskan dari semasa ke semasa terutama melibatkan kawasan tumpuan yang sering mencatatkan peningkatan kes denggi sebelum ini seperti di sekitar daerah itu, Kuala Kedah, Gunung Sali dan sebagainya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Abu Taat berkata, sehingga 9 Februari tahun ini, jumlah kes denggi yang dicatatkan ialah 106 kes dan membabitkan satu kes kematian.

“Daerah Kuala Muda mencatatkan kes tertinggi iaitu 61 kes, diikuti Kota Setar (13 kes); Kulim (10); Baling dan Kubang Pasu (7); Padang Terap (4) dan Pendang (1),” katanya.

“Umumnya kes denggi di negeri itu menunjukkan penurunan iaitu daripada 817 kes dan empat kematian pada 2012 kepada 813 kes dan satu kematian pada tahun lepas.

Tambah beliau, pihaknya akan teruskan usaha membasmi denggi dari semasa ke semasa.

“Selain melalui penguatkuasaan, kita juga memerlukan kesedaran masyarakat supaya memastikan kawasan persekitaran rumah bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Friday, 13 December 2013

Apa Itu Denggi

Masih ramai ambil 'remeh' denggi

SIRI akhir ini menerokai permasalahan di sebalik peningkatan kes denggi yang dilihat semakin membimbangkan menerusi temuramah bersama Pakar Perubatan Kesihatan Awam Dr Mazrura Sahani dan Prof Madya Dr Rozita Hod.

Kedua-dua pakar ini juga mewakili Persatuan Epidemiologi Persekitaran Malaysia.

KUALA LUMPUR - Masih segar lagi dalam ingatan Hidayah Ahmad, 27, mengenai pengetahuan yang diperolehinya ketika di alam persekolahan berhubung penyakit denggi.

Biarpun tidaklah sebanyak mana, namun maklumat daripada tenaga pengajarnya disusuli hebahan media massa sedikit sebanyak memberi pemahaman mengenai wabak berkenaan.

Secara ringkasnya beliau maklum mengenai pembawa penyakit itu, nyamuk Aedes, proses pembiakannya serta kempen penggalakan masyarakat membudayakan penjagaan kebersihan persekitaran.

Akan tetapi, pekerja swasta ini mempunyai anggapan 'fogging' ataupun semburan kabus adalah penyelamat keadaan atau dalam kata lain, kaedah terbaik dalam mengawal wabak denggi.

Baginya, masalah denggi dapat diselesaikan apabila pihak berkuasa tempatan mahupun petugas Kementerian Kesihatan 'turun padang' melakukan semburan 'kabus'.

Tetapi ia adalah silap sama sekali!

BUKAN PENYELESAIAN!

"Masyarakat kena faham apa yang dimaksudkan 'fogging' kerana ramai yang sudah silap mengenainya. 'Fogging' hanya membunuh nyamuk dewasa tetapi tidak telur-telurnya.

"Telur nyamuk itu masih hidup dan ini amat merisaukan. Kami ingin menekankan mengenai sikap tidak ambil peduli segelintir besar masyarakat yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pihak berkuasa," kata Dr Mazrura Sahani.

Bayangkan, seekor nyamuk Aedes betina yang membawa virus denggi tidak kiralah DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4 mampu bertelur sehingga beratusan itu tidak dimusnahkan kawasan pembiakannya dan akhirnya menjadi nyamuk dewasa.

Tambahan pula, untuk menjadi nyamuk dewasa hanya mengambil masa seminggu sahaja manakala semburan kabus tidak bertahan lama!

Walhal, sekiranya kaedah semburan kabus ini merupakan medium terbaik mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi mengapakah kes denggi yang mula melanda negara pada 1901 kian merungsingkan?

Sebanyak 31,170 kes demam denggi dengan 63 kematian dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga 9 Nov lepas berbanding 18,679 kes membabitkan 32 kematian pada tempoh sama tahun lepas.

Perangkaan ini bukan sahaja mengingatkan akan langkah kewaspadaan malahan sebagai peringatan untuk komitmen diri dalam aspek pencegahan, kata pensyarah perubatan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.

BUKAN KAWASAN SAYA

Lagipun, adalah satu tidak wajar bebanan pengawalan ancaman denggi hanya tertumpu di pihak berkenaan semata-mata kerana mana mungkin ratusan, mahupun ribuan habitat pembiakan itu dapat dihapuskan tanpa adanya pembabitan masyarakat.

Kerajaan, khususnya telah melaksanakan pelbagai langkah membangkitkan kesedaran namun masih ada lagi segelintir besar masyarakat yang degil dengan sikap tidak ambil peduli dan pentingkan diri itu.

Ini termasuklah mengetepikan amalan kejiranan harmoni dalam sesebuah komuniti setempat apabila lebih gemar hidup bersendiri dengan pengamalan konsep 'aku, aku, engkau, engkau'.

Manakala, gotong-royong, yang satu ketika dahulu popular diamalkan juga sudah agak jarang kedengarannya pada masa ini. Bagi segelintir pihak, asalkan rumah sendiri bersih, tiada tempat membolehkan berlakunya takungan air jernih yang membolehkan pembiakan nyamuk Aedes, sudah selamat.

Walhal, itu bukanlah 'perisai' atau jaminan bahawa anda akan terselamat daripada gigitan nyamuk Aedes kerana serangga kecil itu mampu terbang sehingga 200 meter jauh.

"Disebabkan itulah apabila berlakunya kes denggi di sesuatu kawasan, petugas kesihatan akan melakukan 'fogging' dari rumah pesakit sehingga 200 meter," katanya kepada Bernama.

Seperkara menjadi kebimbangan juga adalah rumah tidak berpenghuni yang sudah lama ditinggalkan, mungkin boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Oleh kerana itulah, adanya keperluan gotong-royong dihidupkan kembali," jelasnya.

SAMPAH MERATA-RATA

Selain apa dikemukakan Dr Mazrura, rakannya Prof Madya Dr Rozita Hod berkata antara sebab peningkatan wabak denggi juga adalah disebabkan mentaliti segelintir individu yang 'gemar' membuang sampah merata-rata.

Ya, nyamuk Aedes tidak membiak di kawasan kotor seperti air larut resap (leachate), tetapi jangan lupa dengan peningkatan curahan hujan ketika ini boleh membawa kepada takungan air pada sampah itu.

Contoh, bekas makanan yang tidak dibuang dengan betul dan dibiarkan terbuka begitu sahaja seperti polisterin, plastik boleh menjadi tempat takungan air hujan.

Kajian sebelum ini juga mendapati bekas makanan jenis polisterin adalah antara bekas paling kerap menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Saya paling benci tengok orang buang sampah merata-rata ketika di jalan raya seperti tin kosong, kulit rambutan kerana itu boleh menyebabkan adanya takungan air.

"Kalau lalu tepi jalan dan ternampak bekas polisterin memang saya fobia kerana manalah tahu ianya tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya yang merupakan pensyarah perubatan di Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, UKM.

Ditambah gaya hidup masyarakat hari ini yang lebih gemar membungkus makanan dek kekangan masa dan tidak membuangnya dengan betul, ini memberi lebih banyak peluang kepada serangga kecil itu meluaskan habitatnya.

Atas faktor itulah, majoriti kes denggi dilaporkan di kawasan bandar dengan peningkatan kes denggi di Selangor agak mendadak sejak Mei tahun ini dan kebanyakannya berlaku di daerah Petaling.

HANYA 10 MINIT!

Sebenarnya tidak sukar mengekang penularan wabak denggi, yang penting sikap dan mentaliti masyarakat harus diubah daripada sikap tidak ambil peduli ke arah lebih bertanggungjawab.

Kekangan masa, bukanlah alasan kerana hanya 10 minit sahaja diperlukan skali dalam seminggu untuk mencari dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Jangan ambil remeh, kerana sehingga hari ini denggi masih belum ada penawarnya serta telah meragut nyawa dan antara pendekatan terbaik adalah melalui 'pencegahan', kata Dr Rozita.

Lagipun, buat apalah membazirkan wang ringgit untuk membayar denda kerana langkah pencegahannya sangat mudah dilakukan.

Setakat 20 Ogos tahun ini, sebanyak 2.28 juta premis telah diperiksa di seluruh negara dengan 7,536 kompaun bernilai RM3.77 juta dikeluarkan kepada pemilik-pemilik premis yang membiak Aedes.

Yang penting, adalah memastikan kawasan persekitaran rumah bebas daripada takungan air seperti membersihkan dulang pasu tanaman, pasu bunga serta tayar lama dan lipatan helaian plastik bebas daripada takungan air.

Manakala, bekas-bekas yang menakung air hujan seperti tin kosong, botol danbekas polisterin haruslah dibuang dengan cara betul serta dimasukkan racun jentik-jentik ke dalam semua bekas air.

"Anda mampu melakukannya," kata Dr Rozita. - Bernama

Saturday, 9 February 2013

Bakteria baru untuk perangi Aedes di S'wak


Jabatan Kesihatan Sarawak akan memperkenal sejenis bakteria, yang dikenali dalam bidang perubatan sebagai Bacillus thuringiensis var. israelensis (Bti), sebagai sebahagian daripada senjata mereka untuk memerangi penularan demam denggi di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Zulkifli Jantan hari ini berkata Bti akan dugunakan untuk membunuh jentik-jentik aedes, nyamuk yang menyebabkan penularan demam denggi yang setakat ini mengorbankan dua nyawa dan menjadi satu wabak di Sarawak tahun ini.

"Kami akan menyembur bakteria ini di tempat-tempat yang menjadi tempat ia (nyamuk aedes) membiak. Ia (bakteria itu) akan menyerang jentik-jentik dan membunuhnya," katanya ketika memberi perkembangan terbaharu kepada media mengenai status demam denggi di negeri ini, di Kuching.

"Kami perlu memberi perhatian untuk menghapuskan tempat pembiakan bagi mengurangkan populasi nyamuk. Usaha melawan ini adalah ke atas nyamuk," katanya.

Beliau ditanya mengenai langkah-langkah tambahan yang diambil jabatan bagi mengawal penularan demam itu yang mana pada bulan lepas sahaja menjangkiti 219 orang di negeri ini, satu peningkatan mendadak daripada hanya 65 kes yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Dr Zulkifli berkata koloni setinggan dikenali sebagai Muzako, berdekatan bandar perindustrian Sarawak di Bintulu, diklasifikasikan sebagai kawasan wabak yang tidak dapat dikawal selepas kes denggi berlaku berterusan sejak Julai tahun lepas.

Katanya kematian akibat kes denggi di negeri ini membimbangkan jabatan memandangkan hanya satu kematian dilaporkan sepanjang tahun lepas berbanding dua kematian sejak awal tahun ini.

"Ini bermakna ia (kes denggi) semakin teruk," katanya.

Katanya jabatan telah mengutip kompaun RM674,300 daripada pemilik-pemilik premis yang didenda kerana membenarkan premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk tahun lepas, jumlah tertinggi yang dikutip sejak beberapa tahun lepas.

Beliau mengakui bahawa penguatkuasaan yang dijalankan jabatannya sahaja tidak mencukupi ke arah menyekat penularan denggi dan memerlukan kerjasama agensi-agensi kerajaan berkaitan dan kesedaran orang awam.

- Bernama