TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Saturday 17 January 2015

Kulim Catat 230 Peratus Peningkatan Kes Demam Denggi Tahun Lepas


ALOR SETAR, 16 Jan (Bernama) -- Kulim, Kuala Muda dan Langkawi mencatatkan peningkatan kes demam denggi tertinggi di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Disember 2014.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata daripada tiga kawasan itu, Kulim mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 230 peratus (172 kes berbanding 52 kes) berbanding tahun 2013.

"Ini diikuti Kuala Muda 177 peratus, (413 kes berbanding 149 kes pada 2013) dan Langkawi 77 peratus (23 kes berbanding 13 kes tahun 2013)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norhizan menjelaskan secara keseluruhannya, Kedah mencatat peningkatan kes demam denggi 24 peratus bagi tempoh tersebut dengan 1,006 kes dilaporkan iaitu meningkat 193 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 813 kes.

Sepanjang tahun lepas juga katanya tujuh kes kematian berkaitan demam denggi dilaporkan berbanding satu kematian pada tahun sebelumnya.

Jumlah lokaliti wabak pula adalah sebanyak 23 iaitu Kuala Muda (10), Kota Setar (empat), Kulim (empat), Pendang (2) dan masing-masing satu kes di Sik, Yan dan Padang Terap berbanding 14 lokaliti seluruh negeri Kedah bagi tempoh sama pada 2013.

Dalam pada itu Norhizan berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan pembiakan nyamuk Aedes ke atas 336,238 premis dan mengesan sebanyak 6,804 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

"Sebanyak 380,668 premis telah dibuat semburan untuk membunuh nyamuk manakala 166,116 premis telah dibubuh abate bagi memusnahkan jentik-jentik Aedes," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan rumah masing-masing dengan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.

"Orang ramai turut disaran menyembur aerosol di dalam rumah bagi melindungi diri dan keluarga daripada gigitan nyamuk Aedes," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment