TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Saturday 19 May 2012

Langkah cegah wabak Japanese Encephalitis

ALOR SETAR 27 Nov. - Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) akan bekerjasama untuk memastikan wabak Japanese Encephalitis yang telah mengorbankan empat nyawa di Ipoh baru-baru ini tidak berulang.

Menterinya, Datuk Chua Jui Meng berkata, antara langkah yang akan diambil ialah memberi suntikan pelalian kepada orang ramai dan vaksin kepada binatang ternakan.

Menurutnya, pekerja ladang ternakan dan penduduk di kawasan berhampiran ladang berkenaan adalah golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak itu.

Beliau menjelaskan, wabak di Lembah Kinta, Ipoh bukanlah baru kerana ia telah dikesan sejak tahun 1952 lagi dan beberapa kes pula dikesan di negara ini pada tahun 1989.

''Penyakit ini adalah satu epidemik yang berlaku di seluruh Asia dengan setiap tahun kira-kira 50,000 kes dikesan,'' katanya selepas menghadiri satu majlis keagamaan Buddha di sini hari ini.

Chua memberitahu, virus wabak itu boleh hidup dalam binatang ternakan seperti lembu, kuda, khinzir, kambing dan juga burung.

Katanya, wabak di Ipoh itu mendapat perhatian ramai kerana ia berlaku secara berkelompok dalam tempoh dua bulan lalu dengan 14 kes dilaporkan dan meragut empat nyawa setakat ini.

Tambahnya, wabak itu kini sudah terkawal ekoran langkah yang diambil seperti melakukan semburan di kawasan terlibat bagi membunuh nyamuk Culex yang menjadi agen penyebar wabak itu.

Beliau berkata, nyamuk Culex yang menggigit binatang yang telah dijangkiti virus wabak itu akan menyebarkan wabak tersebut kepada manusia pula.

Chua juga meminta penduduk di kawasan terlibat supaya menjaga kebersihan terutamanya tidak membiarkan air bertakung kerana ia kelak menjadi tempat jentik-jentik membiak.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment