TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Friday 4 April 2014

Kes Demam Denggi Di P. Pinang Meningkat 196 Peratus



GEORGE TOWN, 4 April (Bernama) -- Kes demam denggi di Pulau Pinang meningkat 196 peratus dengan 560 kes dilapor setakat 29 Mac lepas berbanding hanya 189 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata tiga kematian akibat demam denggi dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Mac lalu berbanding tiada kematian bagi tempoh sama pada 2013.

"Pada masa ini terdapat lapan lokaliti wabak terkawal dilaporkan di Pulau Pinang iaitu di Teluk Awak dan Lorong Hassan Abbas di daerah Barat Daya; Taman Mutiara, Jalan Megat Harun, Taman Makok dan Taman Sri Janggus di daerah Seberang Perai Tengah (SPT); dan Taman Bagan serta Taman Lip Kee di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

"Terdapat satu lokaliti 'hotspot' iaitu di Taman Desa Damai di daerah SPT," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mencegah pembiakan Aedes yang mengundang demam denggi.

"Kaedah menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk Aedes mampu mengawal gejala demam denggi daripada berlaku," katanya.

Dr Afif berkata pihak Jabatan Kesihatan juga meminta kerjasama masyarakat untuk melakukan pembersihan kawasan sekitar secara kerap setiap minggu.

Beliau menasihatkan mereka yang mengalami demam dan tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit sendi, muntah, ruam dan kurang selera makan supaya mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment