TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Wednesday 21 January 2015

Semenanjung Malaysia Disasar Sifar Malaria Penularan Tempatan - Dr Hilmi

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan menyasarkan semua negeri di Semenanjung Malaysia sifar kes malaria penularan tempatan tahun ini, kata Timbalan Menteri Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata ketika ini Kuala Lumpur, Putrajaya, Perlis, Melaka, Terengganu dan Labuan berjaya memenuhi sasaran ini sejak tiga tahun lepas.

"Pada 2014, Perak dan Johor menyertai negeri-negeri berkenaan di Semenanjung dan Labuan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri jamuan malam sempena Mesyuarat Kumpulan Kerja Kawalan Vektor Rangkaian Penghapusan Malaria Asia Pasifik 2015 di sini hari ini.

Mesyuarat itu yang dihadiri 60 perwakilan, dan bermula hari ini hingga Sabtu, membincangkan isu-isu berkaitan kawalan malaria di rantau Asia-Pasifik.

Malaysia dipilih menjadi hos bersama mesyuarat ini berdasarkan trek rekodnya yang cemerlang dalam kawalan malaria.

Dr Hilmi berkata Sabah dan Sarawak, disasarkan mencapai sasaran itu menjelang hujung 2017.

"Adalah penting diambil perhatian bahawa kes malaria dilaporkan ketika ini datangnya dari kawasan luar bandar dan terpencil. Destinasi pelancong dan kawasan bandar adalah bebas malaria," kata beliau.

Beliau berkata tahun lepas, 3,870 kes malaria dilaporkan dan antaranya, hanya 16 peratus atau 637 kes adalah penularan tempatan, penurunan sebanyak 455 kes (42 peratus) berbanding 2013.

Kes malaria dalam beberapa dekad lalu jauh menurun, dari 50,000 kes setahun pada 1980an kepada kurang daripada 10,000 kes pada 2003, katanya.

Dr Hilmi berkata Malaysia telah melancarkan fasa penghapusan malaria dengan melaksanakan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Penghapusan Malaria 2011-2020, bagi menghapus malaria penularan tempatan menjelang 2020.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment