TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Monday, 4 August 2014

Orang Ramai Diminta Waspada Terhadap Jangkitan Virus Ebola

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Orang ramai dinasihat mendapatkan rawatan segera jika mempunyai tanda-tanda Penyakit Virus Ebola (EVD), sejenis penyakit demam berdarah yang boleh membawa maut dan sedang menular di beberapa negara.

Presiden Malaysian Integrated Medical Professionals Association (MIMPA) dan Pakar Virologi, Dr Dhesi Baha Raja berkata antara simptom ialah demam, sakit kepala, sakit tekak, sakit sendi dan kurang selera makan.

"Pesakit juga akan mengalami muntah, cirit-birit dan pendarahan dalaman serta luaran pada tahap kedua. Walaupun tiada kes (berlaku) di negara ini tetapi langkah pencegahan sangat penting.

"EVD ini merupakan penyakit jangkitan virus yang parah dan kira-kira 50 hingga 60 peratus orang yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami kematian", katanya kepada Bernama hari ini.

Pengasas "The Malaysian Medical Gazette" itu menegaskan setakat ini dunia belum menghasilkan sebarang ubat khusus untuk rawatan EVD.

Katanya, kaedah rawatan setakat ini simptomatik iaitu memberi rawatan mengikut keadaan pesakit.

Sebagai contoh, jika pesakit itu kekurangan air, air dimasukkan ke dalam badan pesakit.

Dr Dhesi berkata, orang ramai juga perlu mengambil langkah-langkah kebersihan asas seperti basuh tangan, langkah penjagaan universal dan mengendali makanan secara bersih.

Bagi petugas hospital pula mereka dinasihatkan memakai peralatan dan pakaian yang selamat seperti topeng dan sarung tangan.

"Virus ini berjangkit melalui sentuhan bendalir badan termasuk kencing, darah dan juga sperma dan virus yang dijangkiti melalui sperma pula mampu bertahan aktif selama tujuh minggu," katanya.

Beliau berkata, Ebola mula dikesan pada awal tahun 1976 di Yambuku, Zaire berdekatan sungai Ebola.

Beliau juga berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil langkah awal yang betul dengan memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respons terutama di pintu masuk antarabangsa, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Namun, setakat ini tiada sebarang jangkitan EVD dikesan di negara ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment