TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Monday 7 July 2014

Kementerian Kesihatan Pertimbang Pemberian Vaksin JE Di Kawasan Berisiko

Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya

Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya BALIK PULAU, 7 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan mempertimbangkan pemberian vaksin di kawasan berisiko terdedah jangkitan Ensefalitis Jepun (JE) sebagai langkah untuk mengawal penularan virus itu.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pemberian vaksin melibatkan kos tinggi dan kementerian perlu menilai pelbagai aspek sebelum melaksanakan pendekatan itu.

"Terdapat dua cara untuk kawal JE, satu dengan menghapuskan perumahnya yang telah dikenal pasti, satu lagi dengan pemberian vaksin. Memandangkan ujian sampel darah babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor baru-baru ini didapati negatif, kita boleh pertimbangkan kaedah kedua.

"Jabatan Kesihatan, Jabatan Veterinar dan kerajaan negeri akan berbincang tindakan lanjut yang sesuai dengan keperluan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelantikan Watikah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penyerahan sumbangan kewangan kepada kariah masjid serta surau peringkat Parlimen Balik Pulau, di sini Ahad malam.

Katanya buat masa ini tumpuan diberi terhadap usaha pengawalan pembiakan nyamuk dengan melakukan semburan kabus bukan sahaja melibatkan ladang babi malah haiwan ternakan lain.

Dr Hilmi turut menasihati masyarakat agar memainkan peranan aktif dalam menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk di sekitar kediaman mereka sebagai langkah mengelak penyakit lain bawaan vektor itu termasuk denggi.

Rabu lepas, Norain Nasuha Shukri berumur dua tahun lima bulan disahkan dijangkiti virus JE selepas pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lalu adalah positif.

Kes itu adalah yang ketiga selepas seorang murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini, Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli disahkan dijangkiti virus yang sama dan sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru di sini.

Kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 18 tahun dari Lorong Seratus Tahun, di sini, yang kini dalam proses pemulihan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment