BALIK PULAU, 13 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan belum mencapai keputusan muktamad untuk melaksanakan projek melepaskan nyamuk 'genetically modified organism' (GMO) bagi mengawal wabak denggi.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata projek itu ditangguh seketika berikutan kosnya yang tinggi di samping keberkesanan kaedah itu belum diuji sepenuhnya.
"Ujian pelepasan nyamuk GMO di Bentong pada Disember 2010 bertumpu kepada pemerhatian terhadap daya tahan nyamuk dan sejauh mana ia mampu terbang di kawasan lapangan kajian," katanya kepada pemberita pada majlis tadarus Al-Quran anjuran Wanita Umno kawasan Parlimen Balik Pulau di sini Ahad.
Menerusi kaedah tersebut, nyamuk jantan GMO yang direka khusus dijangka mengawan dengan nyamuk Aedes betina biasa yang diharapkan telur yang dihasilkan kelak akan mati dan dengan itu menghalang pembiakan generasi nyamuk Aedes seterusnya.
Beliau berkata kementeriannya juga belum mencapai kata putus berhubung cadangan syarikat pengendali projek dari London itu untuk meneruskan penyelidikan fasa seterusnya dengan melepaskan nyamuk GMO di empat negeri terpilih yang melibatkan kos RM100 juta.
Dr Hilmi berkata kes denggi secara keseluruhan menunjukkan peningkatan tiga kali ganda dengan purata 1,300 hingga 2,500 kes dilapor setiap minggu dan setakat ini merekod 87 kematian di seluruh negara.
"Peningkatan kes denggi juga menyebabkan katil pesakit di hospital awam termasuk di Pulau Pinang tidak mencukupi dengan kadar pengisian menjangkau lebih 100 peratus terutama di Selangor berbanding kebiasaannya antara 70 hingga 90 peratus," katanya.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata kempen penerangan mengenai langkah pencegahan denggi akan dilakukan dari rumah ke rumah di Balik Pulau melibatkan 1,000 anggota pergerakan Wanita Umno selepas Aidilfitri.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment