TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Wednesday 7 May 2014

Demam Malaria


  1. Apa Itu Demam Malaria?
  2. Malaria adalah sejenis penyakit yang boleh membawa maut jika tidak dirawat awal. Penyakit Malaria masih lagi terdapat di beberapa buah negeri seperti di Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak. Penyakit Malaria tidak akan sembuh jika dirawat menggunakan ubat tradisional. Penyakit ini hanya boleh disembuhkan jika dirawat menggunakan ubat khusus yang boleh didapati di klinik-klinik kesihatan atau hospital.
    Penyakit Malaria juga dikenali sebagai Demam Kura atau Demam Ketar. Penyakit ini disebabkan oleh sejenis kuman atau parasit yang dikenali sebagai Plasmodium. Kuman atau parasit ini dibawa oleh nyamuk Tiruk / Anoephelus.

  3. Mengenali Nyamuk Tiruk
  4. Nyamuk Tiruk biasanya menggigit manusia pada waktu malam. Jika nyamuk ini menggigit pesakit Malaria, bukan sahaja darah yang dihisap tetapi juga parasit Malaria yang terdapat di dalam tubuh pesakit. Apabila nyamuk tadi menggigit orang yang sihat, parasit Malaria yang ada di dalam tubuhnya akan dipindahkan ke dalam badan orang yang sihat tersebut. Dengan demikian, orang yang sihat tadi akan mendapat penyakit Malaria.

  5. Tanda-tanda Demam Malaria
  6. • Demam
    • Diikuti demam berpeluh
    • Seram sejuk
    • Menggeletar
    • Letih lesu

  7. Cara Mengesan Parasit
  8. Penyakit malaria senang dikesan. Sekiranya mempunyai tanda-tanda Demam Malaria, segera ke klinik kesihatan. Setitik darah daripada jari akan diambil dan diletakkan di atas slaid kaca untuk diuji parasit Malaria. Sekiranya parasit ini terdapat di dalam darah, seseorang itu sudah dijangkiti Demam Malaria. Ubat Malaria akan diberikan oleh anggota kesihatan.

  9. Rawatan Demam Malaria
  10. Jika seseorang itu disahkan menghidap Malaria, dia akan diberi ubat Malaria. Amat perlu ubat ini dihabiskan mengikut arahan doktor. Jika tidak penyakit Malaria tidak akan sembuh sepenuhnya. Seseorang yang tidak menghabiskan ubat Malaria seperti diarahkan, beliau mungkin boleh dijangkiti semula kerana parasit Malaria tidak mati sepenuhnya di dalam badannya.

  11. Kesan Demam Malaria
  12. Kuman Malaria yang memasuki badan manusia akan hidup di dalam darah mereka. Kuman ini akan menyerang sel-sel darah merah dan menjangkiti otak, buah pinggang, paru-paru serta limpa pesakit. Jika tidak dirawat atau tidak mendapat rawatan sepenuhnya, pesakit Malaria akan mengalami :
    • Kekurangan darah terutama di kalangan kanak-kanak dan ibu mengandung.
    • Kegagalan fungsi buah pinggang.
    • Jangkitan bahagian otak.
    • Boleh membawa maut.

  13. Pencegahan Demam Malaria
  14. Demam Malaria boleh dicegah melalui :
    • Tidur di dalam kelambu.
    • Menggunakan ubat nyamuk atau racun serangga pembunuh nyamuk.
    • Menggunakan jaring nyamuk di jendela rumah.
    • Dapatkan perkhidmatan semburan DDT bagi membunuh nyamuk Tiruk.

    Demam Malaria boleh dicegah dan dirawat. Setiap individu perlu tahu tanda-tanda dan cara-cara mencegah penyakit Malaria.

    --- drmuda.gov.my

No comments:

Post a Comment