TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Sunday 13 April 2014

Demam Denggi Di Kelantan Meningkat


PASIR PUTEH, 13 April (Bernama) -- Kes demam denggi di Kelantan dilaporkan meningkat sebanyak 280 kes kepada 1,522 kes dari Januari sehingga 10 April lepas, berbanding 1,242 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata daripada jumlah itu, empat kematian direkodkan berbanding satu kes pada tahun lepas.

"Kes dijangka meningkat sekiranya penduduk di negeri ini mengabaikan amalan menjaga kesihatan dan kebersihan," katanya kepada pemberita di majlis perasmian Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri di Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 1, di sini Ahad.

Ahmad Razin berkata Jajahan Kota Baharu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 83 peratus diikuti Jajahan Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok dan Pasir Puteh.

Katanya kes demam denggi agak membimbangkan pada musim kemarau yang sedang dihadapi sekarang kerana nyamuk aedes cepat membiak dalam keadaan cuaca panas dan hujan sekali sekala.

Mengenai penyakit kencing tikus beliau berkata, sebanyak 168 kes membabitkan enam kematian dilaporkan di seluruh negeri dalam tempoh Januari hingga Mac lepas.

"Sebahagian besarnya membabitkan Jajahan Tanah Merah, Machang dan Kota Baharu terutama di kawasan tempat awam seperti di pasar dan rekreasi yang terdapat banyak tikus bersarang dan membiak," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment