TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Wednesday 23 April 2014

Senat: Fogging Bukan Penyelesaian Muktamad Kes Denggi - Subramaniam


KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Semburan kabus atau "fogging" bukan satu penyelesaian muktamad kepada peningkatan kes demam denggi yang dilihat semakin membimbangkan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata masayarakat perlu sedar langkah yang diambil kementerian itu bersifat sementara kerana ia hanya mampu membunuh nyamuk dewasa sahaja.

"Masyarakat jangan harap kepada 'fogging' sahaja kerana cara paling berkesan ialah penglibatan aktif mereka untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes sama ada di dalam rumah atau persekitaran," katanya menjawab soalan Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader mengenai perkara itu.

Subramaniam berkata 66 kematian akibat demam denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga semalam daripada keseluruhan 28,814 kes.

Beliau berkata statistik itu menunjukkan peningkatan ketara dan membimbangkan jika dibandingkan dengan keseluruhan 43,346 kes demam denggi dengan 92 kematian yang direkod keseluruhan tahun lepas.

Subramaniam berkata perubahan jenis virus stereotaip daripada DEN 4 kepada DEN 2 pada Mac tahun ini yang boleh menyebabkan kes kematian meningkat merupakan antara faktor peningkatan kes kematian denggi.

Katanya, jangkitan virus stereotaip DEN 2 akan memberi manifestasi klinikal lebih teruk dan mempunyai risiko komplikasi lebih tinggi berbanding jangkitan serotaip lain.



-- BERNAMA

Saturday 19 April 2014

Kes Demam Denggi Di P.Pinang Meningkat 392 Kes


GEORGE TOWN, 18 April (Bernama) -- Kes demam denggi di Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga 12 April lepas meningkat kepada 602 berbanding 210 kes untuk tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata sebanyak tiga kematian direkod dalam tempoh itu berbanding tiada kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

"Kes demam denggi meningkat sebanyak 392 kes atau 187 peratus bagi tempoh itu dengan empat lokaliti wabak terkawal iaitu Lintang Bunga Raya di daerah Seberang Perai Utara, Perkampungan Berapit di Seberang Perai Tengah (SPT), Taman Manggis dan Medan Sungkai di Timur Laut dan satu lokaliti hotspot iaitu di Taman Desa Damai di SPT," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mencegah pembiakan Aedes yang mengundang demam denggi.

Dr Afif berkata Jabatan Kesihatan juga meminta kerjasama masyarakat untuk melakukan pembersihan kawasan sekitar secara kerap setiap minggu.

Beliau menasihatkan mereka yang mengalami demam dan tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit sendi, muntah, ruam dan kurang selera makan supaya mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.

-- BERNAMA

Wednesday 16 April 2014

Tuesday 15 April 2014

Filariasis (untut)




Filariasis disebarkan oleh spesies serangga tertentu yang menghisap darah (nyamuk dan lalat). Jangkitan salah satu daripada sembilan jenis cacing filaria melalui gigitan serangga boleh menyebabkan pembengkakan teruk beberapa bahagian badan. Dianggarkan lebih 120 juta orang dijangkiti cacing filaria di seluruh dunia. Penyakit ini terbatas kepada kawasan tropika mengikut habitat vektor yang menyebarkannya.
Kawasan yang mengalami endemik filariasis mungkin mempunyai 10 peratus golongan wanita dengan kaki atau tangan yang membengkak sementara 50 peratus lelaki mengalami pembengkakan kawasan genitalia.

Bersama Mencegah Deman Denggi

hii semua.. apa khabar.. luangkan masa 10minit untuk membersihkan kediaman anada dari menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.

Sunday 13 April 2014

Demam Denggi Di Kelantan Meningkat


PASIR PUTEH, 13 April (Bernama) -- Kes demam denggi di Kelantan dilaporkan meningkat sebanyak 280 kes kepada 1,522 kes dari Januari sehingga 10 April lepas, berbanding 1,242 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata daripada jumlah itu, empat kematian direkodkan berbanding satu kes pada tahun lepas.

"Kes dijangka meningkat sekiranya penduduk di negeri ini mengabaikan amalan menjaga kesihatan dan kebersihan," katanya kepada pemberita di majlis perasmian Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri di Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 1, di sini Ahad.

Ahmad Razin berkata Jajahan Kota Baharu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 83 peratus diikuti Jajahan Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok dan Pasir Puteh.

Katanya kes demam denggi agak membimbangkan pada musim kemarau yang sedang dihadapi sekarang kerana nyamuk aedes cepat membiak dalam keadaan cuaca panas dan hujan sekali sekala.

Mengenai penyakit kencing tikus beliau berkata, sebanyak 168 kes membabitkan enam kematian dilaporkan di seluruh negeri dalam tempoh Januari hingga Mac lepas.

"Sebahagian besarnya membabitkan Jajahan Tanah Merah, Machang dan Kota Baharu terutama di kawasan tempat awam seperti di pasar dan rekreasi yang terdapat banyak tikus bersarang dan membiak," katanya.

-- BERNAMA

Saturday 12 April 2014

Kes Denggi Di Pahang Semakin Berkurangan


KUANTAN, 12 April (Bernama) -- Kes denggi di Pahang pada minggu ke 10 hingga ke 14 tahun ini menunjukkan penurunan hasil pemantauan berkala dan tegas oleh pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman berkata walaupun jumlah kes denggi yang dilaporkan dari Januari sehingga hari ini meningkat kepada 348 kes berbanding 169 kes dalam tempoh sama tahun lepas, namun ia mencatatkan penurunan dalam minggu berkenaan.

"Penurunan kes agak konsisten mulai minggu ke-10 (bagi tempoh 2 hingga 8 Mac) iaitu daripada 30 kes kepada 22 kes dalam minggu ke-14 (bagi tempoh 30 Mac hingga 5 April)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong Royong Perdana Perangi Denggi Gempur Aedes peringkat negeri di sini, hari ini.

Program Perangi Denggi, Gempur Aedes Pahang itu dijalankan selama tiga bulan bermula awal bulan ini di negeri ini.

Norol berkata sehingga hari ini, sebanyak 18 kawasan wabak demam denggi dikesan di Pahang iaitu 16 (88.8 peratus) di taman perumahan bandar dan dua (11.2 peratus) di Felda.

-- BERNAMA

Wednesday 9 April 2014

Notis Henti Kerja Di 14 Tapak Binaan - Kementerian Kesihatan


PETALING JAYA, 9 April (Bernama) -- Sebanyak 14 tapak binaan di Selangor diberi notis henti kerja oleh Kementerian Kesihatan kerana didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Ini berikutan Ops Gempur Khas tapak pembinaan semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pemaju tapak binaan diminta membersih dan menghapus kawasan pembiakan nyamuk aedes di kawasan mereka.

Sementara itu, dari 1 Jan sehingga 7 April, sebanyak 26,658 kes denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding hanya 6,688 kes pada masa sama tahun lepas, kata Subramaniam pada sidang akhbar di sini Rabu.

Selangor mencatatkan angka tertinggi dengan 14,905 kes atau 56 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

-- BERNAMA

Sunday 6 April 2014

Demam Denggi Menurun Kepada 1,300 Kes Minggu Lepas - Subramaniam




MELAKA, 6 April (Bernama) -- Demam denggi menurun kepada kira-kira 1,300 kesdi seluruh negara minggu lepas berbanding 2,500 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini.

Beliau berkata penurunan sebanyak 1,200 kes itu berikutan pelbagai usaha Kementerian Kesihatan dalam mengawal pembiakan nyamuk Aedes terutama di kawasan berisiko.

Namun, katanya wabak denggi masih belum dapat ditangani sepenuhnya masa ini kerana sikap rakyat terhadap isu itu masih di tahap rendah.

"Kesedaran rakyat tentang wabak ini amat tinggi tetapi mereka tidak ubah sikap (untuk mencegah wabak itu). Ia memerlukan usaha yang jitu dari pelbagai pihak terutama masyarakat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan cakera padat 'Tirupugal' yang mengandungi 22 lagu keagamaan Hindu di sini, hari ini.

Menurutnya sehingga kini, sebanyak 25,000 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dengan 63 kematian dicatatkan sejak Januari lepas.

Dr Subramaniam berkata selaras dengan ancaman penyakit itu, tema 'Gigitan Kecil, Ancaman Besar' dipilih bagi sambutan Hari Kesihatan Sedunia esok.

Beliau berkata tema itu bertepatan dengan pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan untuk mengubah cara hidup dan sikap rakyat negara ini dalam membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Tahun lepas dan tahun ini, wabak denggi merebak dengan begitu besar bukan sahaja di Asia Tenggara tapi di kawasan yang lain termasuk di kawasan Caribbean. Situasi itu berlaku disebabkan perubahan iklim dunia dan jenis virus yang menyebabkan penyakit ini menular dengan pantas," katanya.

Sehubungan itu, Dr Subramaniam akan melakukan lawatan ke kawasan industri di negara ini bagi memantau pembiakan nyamuk Aedes dan kes demam denggi.

Beliau berkata semua pejabat daerah kesihatan dan negeri turut disaran menganjurkan pelbagai program sempena sambutan tersebut selaras dengan usaha kerajaan mengubah persepsi rakyat terhadap wabak itu.

-- BERNAMA

Friday 4 April 2014

Kes Demam Denggi Di P. Pinang Meningkat 196 Peratus



GEORGE TOWN, 4 April (Bernama) -- Kes demam denggi di Pulau Pinang meningkat 196 peratus dengan 560 kes dilapor setakat 29 Mac lepas berbanding hanya 189 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata tiga kematian akibat demam denggi dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Mac lalu berbanding tiada kematian bagi tempoh sama pada 2013.

"Pada masa ini terdapat lapan lokaliti wabak terkawal dilaporkan di Pulau Pinang iaitu di Teluk Awak dan Lorong Hassan Abbas di daerah Barat Daya; Taman Mutiara, Jalan Megat Harun, Taman Makok dan Taman Sri Janggus di daerah Seberang Perai Tengah (SPT); dan Taman Bagan serta Taman Lip Kee di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

"Terdapat satu lokaliti 'hotspot' iaitu di Taman Desa Damai di daerah SPT," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan awal bagi mencegah pembiakan Aedes yang mengundang demam denggi.

"Kaedah menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk Aedes mampu mengawal gejala demam denggi daripada berlaku," katanya.

Dr Afif berkata pihak Jabatan Kesihatan juga meminta kerjasama masyarakat untuk melakukan pembersihan kawasan sekitar secara kerap setiap minggu.

Beliau menasihatkan mereka yang mengalami demam dan tanda-tanda penyakit denggi seperti sakit sendi, muntah, ruam dan kurang selera makan supaya mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.



-- BERNAMA