SIRI akhir ini menerokai permasalahan di sebalik peningkatan kes denggi yang dilihat semakin membimbangkan menerusi temuramah bersama Pakar Perubatan Kesihatan Awam Dr Mazrura Sahani dan Prof Madya Dr Rozita Hod.

Kedua-dua pakar ini juga mewakili Persatuan Epidemiologi Persekitaran Malaysia.

KUALA LUMPUR - Masih segar lagi dalam ingatan Hidayah Ahmad, 27, mengenai pengetahuan yang diperolehinya ketika di alam persekolahan berhubung penyakit denggi.

Biarpun tidaklah sebanyak mana, namun maklumat daripada tenaga pengajarnya disusuli hebahan media massa sedikit sebanyak memberi pemahaman mengenai wabak berkenaan.

Secara ringkasnya beliau maklum mengenai pembawa penyakit itu, nyamuk Aedes, proses pembiakannya serta kempen penggalakan masyarakat membudayakan penjagaan kebersihan persekitaran.

Akan tetapi, pekerja swasta ini mempunyai anggapan 'fogging' ataupun semburan kabus adalah penyelamat keadaan atau dalam kata lain, kaedah terbaik dalam mengawal wabak denggi.

Baginya, masalah denggi dapat diselesaikan apabila pihak berkuasa tempatan mahupun petugas Kementerian Kesihatan 'turun padang' melakukan semburan 'kabus'.

Tetapi ia adalah silap sama sekali!

BUKAN PENYELESAIAN!

"Masyarakat kena faham apa yang dimaksudkan 'fogging' kerana ramai yang sudah silap mengenainya. 'Fogging' hanya membunuh nyamuk dewasa tetapi tidak telur-telurnya.

"Telur nyamuk itu masih hidup dan ini amat merisaukan. Kami ingin menekankan mengenai sikap tidak ambil peduli segelintir besar masyarakat yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pihak berkuasa," kata Dr Mazrura Sahani.

Bayangkan, seekor nyamuk Aedes betina yang membawa virus denggi tidak kiralah DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4 mampu bertelur sehingga beratusan itu tidak dimusnahkan kawasan pembiakannya dan akhirnya menjadi nyamuk dewasa.

Tambahan pula, untuk menjadi nyamuk dewasa hanya mengambil masa seminggu sahaja manakala semburan kabus tidak bertahan lama!

Walhal, sekiranya kaedah semburan kabus ini merupakan medium terbaik mengurangkan vektor nyamuk pembawa denggi mengapakah kes denggi yang mula melanda negara pada 1901 kian merungsingkan?

Sebanyak 31,170 kes demam denggi dengan 63 kematian dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga 9 Nov lepas berbanding 18,679 kes membabitkan 32 kematian pada tempoh sama tahun lepas.

Perangkaan ini bukan sahaja mengingatkan akan langkah kewaspadaan malahan sebagai peringatan untuk komitmen diri dalam aspek pencegahan, kata pensyarah perubatan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.

BUKAN KAWASAN SAYA

Lagipun, adalah satu tidak wajar bebanan pengawalan ancaman denggi hanya tertumpu di pihak berkenaan semata-mata kerana mana mungkin ratusan, mahupun ribuan habitat pembiakan itu dapat dihapuskan tanpa adanya pembabitan masyarakat.

Kerajaan, khususnya telah melaksanakan pelbagai langkah membangkitkan kesedaran namun masih ada lagi segelintir besar masyarakat yang degil dengan sikap tidak ambil peduli dan pentingkan diri itu.

Ini termasuklah mengetepikan amalan kejiranan harmoni dalam sesebuah komuniti setempat apabila lebih gemar hidup bersendiri dengan pengamalan konsep 'aku, aku, engkau, engkau'.

Manakala, gotong-royong, yang satu ketika dahulu popular diamalkan juga sudah agak jarang kedengarannya pada masa ini. Bagi segelintir pihak, asalkan rumah sendiri bersih, tiada tempat membolehkan berlakunya takungan air jernih yang membolehkan pembiakan nyamuk Aedes, sudah selamat.

Walhal, itu bukanlah 'perisai' atau jaminan bahawa anda akan terselamat daripada gigitan nyamuk Aedes kerana serangga kecil itu mampu terbang sehingga 200 meter jauh.

"Disebabkan itulah apabila berlakunya kes denggi di sesuatu kawasan, petugas kesihatan akan melakukan 'fogging' dari rumah pesakit sehingga 200 meter," katanya kepada Bernama.

Seperkara menjadi kebimbangan juga adalah rumah tidak berpenghuni yang sudah lama ditinggalkan, mungkin boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Oleh kerana itulah, adanya keperluan gotong-royong dihidupkan kembali," jelasnya.

SAMPAH MERATA-RATA

Selain apa dikemukakan Dr Mazrura, rakannya Prof Madya Dr Rozita Hod berkata antara sebab peningkatan wabak denggi juga adalah disebabkan mentaliti segelintir individu yang 'gemar' membuang sampah merata-rata.

Ya, nyamuk Aedes tidak membiak di kawasan kotor seperti air larut resap (leachate), tetapi jangan lupa dengan peningkatan curahan hujan ketika ini boleh membawa kepada takungan air pada sampah itu.

Contoh, bekas makanan yang tidak dibuang dengan betul dan dibiarkan terbuka begitu sahaja seperti polisterin, plastik boleh menjadi tempat takungan air hujan.

Kajian sebelum ini juga mendapati bekas makanan jenis polisterin adalah antara bekas paling kerap menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Saya paling benci tengok orang buang sampah merata-rata ketika di jalan raya seperti tin kosong, kulit rambutan kerana itu boleh menyebabkan adanya takungan air.

"Kalau lalu tepi jalan dan ternampak bekas polisterin memang saya fobia kerana manalah tahu ianya tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya yang merupakan pensyarah perubatan di Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, UKM.

Ditambah gaya hidup masyarakat hari ini yang lebih gemar membungkus makanan dek kekangan masa dan tidak membuangnya dengan betul, ini memberi lebih banyak peluang kepada serangga kecil itu meluaskan habitatnya.

Atas faktor itulah, majoriti kes denggi dilaporkan di kawasan bandar dengan peningkatan kes denggi di Selangor agak mendadak sejak Mei tahun ini dan kebanyakannya berlaku di daerah Petaling.

HANYA 10 MINIT!

Sebenarnya tidak sukar mengekang penularan wabak denggi, yang penting sikap dan mentaliti masyarakat harus diubah daripada sikap tidak ambil peduli ke arah lebih bertanggungjawab.

Kekangan masa, bukanlah alasan kerana hanya 10 minit sahaja diperlukan skali dalam seminggu untuk mencari dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Jangan ambil remeh, kerana sehingga hari ini denggi masih belum ada penawarnya serta telah meragut nyawa dan antara pendekatan terbaik adalah melalui 'pencegahan', kata Dr Rozita.

Lagipun, buat apalah membazirkan wang ringgit untuk membayar denda kerana langkah pencegahannya sangat mudah dilakukan.

Setakat 20 Ogos tahun ini, sebanyak 2.28 juta premis telah diperiksa di seluruh negara dengan 7,536 kompaun bernilai RM3.77 juta dikeluarkan kepada pemilik-pemilik premis yang membiak Aedes.

Yang penting, adalah memastikan kawasan persekitaran rumah bebas daripada takungan air seperti membersihkan dulang pasu tanaman, pasu bunga serta tayar lama dan lipatan helaian plastik bebas daripada takungan air.

Manakala, bekas-bekas yang menakung air hujan seperti tin kosong, botol danbekas polisterin haruslah dibuang dengan cara betul serta dimasukkan racun jentik-jentik ke dalam semua bekas air.

"Anda mampu melakukannya," kata Dr Rozita. - Bernama