ALOR SETAR 27 Nov. - Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan
Haiwan (JPH) akan bekerjasama untuk memastikan wabak Japanese
Encephalitis yang telah mengorbankan empat nyawa di Ipoh baru-baru ini
tidak berulang.
Menterinya, Datuk Chua Jui Meng berkata, antara langkah yang akan
diambil ialah memberi suntikan pelalian kepada orang ramai dan vaksin
kepada binatang ternakan.
Menurutnya, pekerja ladang ternakan dan penduduk di kawasan
berhampiran ladang berkenaan adalah golongan yang berisiko tinggi untuk
dijangkiti wabak itu.
Beliau menjelaskan, wabak di Lembah Kinta, Ipoh bukanlah baru kerana
ia telah dikesan sejak tahun 1952 lagi dan beberapa kes pula dikesan di
negara ini pada tahun 1989.
''Penyakit ini adalah satu epidemik yang berlaku di seluruh Asia
dengan setiap tahun kira-kira 50,000 kes dikesan,'' katanya selepas
menghadiri satu majlis keagamaan Buddha di sini hari ini.
Chua memberitahu, virus wabak itu boleh hidup dalam binatang ternakan seperti lembu, kuda, khinzir, kambing dan juga burung.
Katanya, wabak di Ipoh itu mendapat perhatian ramai kerana ia berlaku
secara berkelompok dalam tempoh dua bulan lalu dengan 14 kes dilaporkan
dan meragut empat nyawa setakat ini.
Tambahnya, wabak itu kini sudah terkawal ekoran langkah yang diambil
seperti melakukan semburan di kawasan terlibat bagi membunuh nyamuk
Culex yang menjadi agen penyebar wabak itu.
Beliau berkata, nyamuk Culex yang menggigit binatang yang telah
dijangkiti virus wabak itu akan menyebarkan wabak tersebut kepada
manusia pula.
Chua juga meminta penduduk di kawasan terlibat supaya menjaga
kebersihan terutamanya tidak membiarkan air bertakung kerana ia kelak
menjadi tempat jentik-jentik membiak.