Anda mengalami demam panas, sakit-sakit sendi, ruam pada badan, atau sakit kepala? Sgeralah berjumpa doktor anda.
KETIKA ada pihak yang tidak mahu laporan mengenai penyakit
Chikungunya terus dihebohkan dalam media, lebih ramai yang mahukan
informasi ini sampai ke pengetahuan mereka.
Ini bukan soal menimbulkan keresahan awam, tetapi tidak salah jika
impak yang terbit daripadanya membuatkan masyarakat umum lebih
bermaklumat, berwaspada dan seterusnya bertanggungjawab terhadap
persekitaran mereka.
Mengikut risalah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia,
Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk. Ia pertama kali
dikesan di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu, ia berlaku di
negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa
buah tempat di negara-negara Eropah.
Walaupun ia adalah endemik, iaitu selalu terjadi di kebanyakan negara
Sub Sahara Afrika, India, dan Asia Tenggara, namun ia bukanlah sejenis
penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.
Penyakit Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada
genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae. Ia berjangkit melalui
gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus
tersebut.
Ramai melabelkan Chikungunya sebagai 'adik-beradik' denggi yang turut
berpunca daripada gigitan aedes yang menyebarkan virus penyakit
tersebut.
Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari tiga hingga 12
hari tetapi pada kebiasaannya adalah di antara dari tiga hingga tujuh
hari.
Soalan yang sering ditanyakan apabila muncul sesuatu penyakit adalah 'apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?'.
Maka, jawapan kepada soalan itu sangat bersifat kritikal, lantaran
tindakan seseorang untuk mengenal pasti simptom-simptom penyakit
Chikungunya boleh mempercepatkan proses rawatan dan untuk pesakit itu
sembuh.
Antara simptom-simptom adalah seperti demam panas mengejut (demam
yang mendadak boleh mencapai suhu 39 darjah Celcius), sakit teruk pada
sendi (terutamanya sendi lutut, pergelangan dan jari), ruam pada badan
dan sakit kepala. Seseorang pesakit boleh mengalami demam dari satu
hingga lima hari atau seminggu.
Penyakit Chikungunya sering disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.
Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan
pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala
yang berpanjangan. Pesakit yang berusia pula boleh mengalami kesakitan
berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.
Seperti penyakit-penyakit lain yang disebabkan oleh virus, tidak
terdapat sebarang rawatan khusus bagi Chikungunya. Penyakit ini biasanya
akan berakhir dan pesakit boleh sembuh dengan sendirinya. Rawatan untuk
pesakit luar lazimnya diberi berdasarkan simptom yang dialami pesakit.
Pendek kata, penyakit ini tiada vaksin. Namun pada masa yang sama,
doktor akan memeriksa pesakit secara keseluruhan bagi mengenepikan
kemungkinan penyakit lain yang lebih berbahaya.
Maka, sekiranya anda mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit
Chikungunya, anda dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan di klinik
atau hospital terdekat.
--- KOSMO
No comments:
Post a Comment