TAWARAN ISMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Tuesday 17 November 2015

Kes Denggi Di Pulau Pinang Catat Penurunan Sepanjang Minggu Lepas


GEORGE TOWN, 17 Nov (Bernama) -- Kes demam denggi di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 18.2 peratus atau 31 kes bagi tempoh tujuh hari minggu lepas berbanding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata sebanyak 139 kes denggi dilaporkan dari 8 hingga 14 Nov berbanding 170 kes dari 1 hingga 7 Nov lepas.

Beliau berkata walaupun terdapat penurunan kes, secara kumulatif sehingga 14 Nov lepas sebanyak 4,832 kes denggi dilaporkan berbanding 2,097 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 2,735 kes atau 130.42 peratus.

"Sebanyak 15 kematian akibat demam denggi dilaporkan bagi tahun ini berbanding lima kematian demam denggi bagi tempoh sama tahun lepas. Pulau Pinang berada di tangga kelima yang mencatatkan jumlah kematian akibat demam denggi di seluruh negara.

"Selangor adalah negeri yang mencatatkan jumlah kematian akibat denggi yang tertinggi iaitu sebanyak 110 kematian diikuti Johor (39 kematian), Kuala Lumpur (32 kematian) dan Perak (24 kematian)," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat demam denggi, Sharon Chai Khiun Jin di Tingkat Paya Terubong 4, dekat sini Selasa.

Turut hadir Ketua Menteri Lim Guan Eng. Chai meninggal dunia pada 11 Nov lalu selepas disahkan positif denggi pada 7 Nov.

Dr Afif berkata pada ketika ini, terdapat 28 lokaliti wabak terkawal dilaporkan di Pulau Pinang iaitu Desa Baiduri, Desa Permata, Apartment Serina Bay, Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor, Bukit Dumbar Permai dan Jalan Abdullah Ariff.

Lokaliti lain ialah Jalan Goh Guan Ho, Jalan Sheikh Madar, Lahat Court, Pangsapuri Pelangi, Sri Wangsa, Taman Abidin, Taman Kristal Apartment, Taman Lembah Hijau, Tingkat Paya Terubong, Taman Suria Vista, Kampung Tanjung Bungah, Changkat Tembaga dan Greelane Heights Apartment dari daerah Timur Laut, katanya.

"Lokaliti Desa Bayan, Mutiara Perdana dan Permatang Damar Laut dari daerah Barat Daya. Lokaliti Lengkok Inderawasih, Kompleks Perai Utama, Pintas Tenggiri dan Persiaran Kota Permai dari daerah Seberang Perai Tengah (SPT). Lokaliti Taman Bagan Jaya dari daerah Seberang Perai Utara (SPU) serta perkampungan Jawi di daerah Seberang Perai Selatan (SPS)," katanya.

Beliau berkata terdapat empat lokaliti wabak tidak terkawal iaitu di Pangsapuri Inspektor Polis Lorong Batu Lanchang dan Taman Sri Pinang dari daerah Timur Laut serta Taman Limau Manis dan Flat Telok Indah di daerah SPT.

Dr Afif berkata terdapat tujuh lokaliti titik panas iaitu di daerah Timur Laut di Desa Pinang 2 dan Jalan Lim Khoon Huat; Flat Pusat Bayan, Taman Kumbar Permai dan Halaman Murni di daerah Barat Daya serta Flat Inderawasih dari daerah SPT.

Sementara itu, Lim menyifatkan situasi semasa demam denggi di negeri ini sebagai serius dan satu krisis kesihatan yang perlu diberi perhatian serius oleh penduduk di negeri ini.

"Malangnya rakyat kini menganggap denggi ini sebagai satu perkara biasa dan mereka sudah lali dengan penyakit denggi ini. Kalau kita anjurkan gotong-royong tak ramai komuniti yang turut serta sebab mereka anggap ini perkara biasa.

"Adalah penting rakyat memberi tumpuan kepada denggi supaya tidak mudah dijangkiti penyakit ini. Jangan rasa ini perkara biasa. Ini adalah satu perkara serius. Harap tidak ada peningkatan kes-kes sedemikian lagi," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya terus mengambil langkah pencegahan bagi menghentikan penularan penyakit denggi dengan melakukan pemeriksaan dalam rumah dan kawasan sekitar, selain menjalankan gotong-royong di kawasan perumahan bagi menghapuskan tempat-tempat berpotensi pembiakan nyamuk aedes.

-- BERNAMA

Terengganu Catat Penurunan Kes Demam Denggi


KUALA TERENGGANU, 17 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1,037 kes demam denggi dilaporkan berlaku di seluruh Terengganu sejak Januari hingga 5 Nov lepas, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Mohd Jusoh.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 21.3 peratus atau 280 kes berbanding 1,317 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

"Daerah Kuala Terengganu adalah penyumbang utama kes denggi di negeri ini dengan 33.2 peratus (344 kes) diikuti Dungun 21.8 peratus (226), Kemaman 13.5 peratus (140), Kuala Nerus 11.9 peratus (123), Besut 8.5 peratus (88), Marang 5.4 peratus (56), Hulu Terengganu 4.3 peratus (45) dan Setiu 1.4 peratus (15).

"Peratus peningkatan mengikut daerah pula berlaku di Dungun iaitu peningkatan sebanyak 107.3 peratus dan Kemaman pula 75 peratus jika dibandingkan dengan kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Bagi tempoh sama juga terdapat penurunan kes di Kuala Terengganu iaitu sebanyak 49 peratus diikuti Marang 44.6 peratus, Kuala Nerus 36.3 peratus, Hulu Terengganu 11.8 peratus, Besut 5.4 peratus dan Setiu 6.3 peratus," katanya kepada Bernama hari ini.

Mengulas lanjut Dr Mohd Jusoh berkata sehingga 5 Nov lepas sebanyak 32 lokaliti wabak terkawal berlaku di Terengganu iaitu 15 di Kuala Terengganu, Dungun (11), Besut (empat) dan Hulu Terengganu (dua) manakala satu lokaliti di daerah Dungun mencatat wabak berulang iaitu di Kg Limbong, dekat Paka.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan di lokaliti wabak, didapati masih banyak tempat pembiakan di kawasan persekitaran tempat tinggal.

"Faktor yang dikenal pasti berlakunya kejadian denggi ialah sikap penduduk yang tidak memberi perhatian kepada isu kebersihan selain terdapatnya rumah kosong dan tanah kosong yang menjadi tempat pembiakan nyamuk," katanya.

-- BERNAMA

Sunday 8 November 2015

Kematian Akibat Denggi Meningkat Di Kedah


ALOR SETAR, 7 Nov (Bernama) -- Angka kematian akibat demam denggi meningkat sebanyak 12 kematian di Kedah bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Okt lepas berbanding enam kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata kes kematian terbaharu membabitkan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun dari Kuala Muda pada 27 Okt lalu.

"Pesakit telah mengalami demam, sakit kepala dan muntah selama tiga hari sebelum dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim pada 23 Okt dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama dan selepas beberapa hari dirawat, pesakit meninggal dunia pada 27 Okt," katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Dr Norhizan berkata bagaimanapun, kes demam denggi di negeri itu mencatatkan penurunan 6.9 peratus iaitu 770 kes berbanding 828 kes yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata di Kuala Muda dan Sik, kes jangkitan demam mencatatkan penurunan, tetapi lapan daerah mencatatkan peningkatan dengan Bandar Baharu mencatatkan kes tertinggi diikuti Yan, Baling, Kubang Pasu, Pendang, Kulim, Kota Setar dan Padang Terap.

Katanya pihaknya telah memeriksa 311,639 premis sepanjang tempoh berkenaan dan mendapati 5,174 premis membiak jentik-jentik.

Dr Norhizan berkata jabatan juga mengeluarkan 2,533 kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan 357 notis arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

-- BERNAMA