ALOR SETAR - Dua kompaun berjumlah RM1,000 dikeluarkan terhadap dua pemilik kediaman di Kampung Gunung Sali, di sini, dalam Ops Gempur Aedes II 2014 yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar, semalam.

Pegawai Kesihatan Daerah II, Dr Aisyah Jusoh berkata, kompaun itu dikeluarkan terhadap dua pemilik kediaman berkenaan itu selepas didapati positif pembiakan Aedes.

“Sebanyak 240 premis meliputi kawasan kediaman dan kilang diperiksa dalam operasi ini dan dua daripadanya yang didapati positif pembiakan Aedes.

“Untuk itu, kita mengeluarkan dua kompaun mengikut Seksyen 13(1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang mana setiap satu berjumlah RM500,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi berkenaan.

Tambah Aisyah, dalam operasi yang melibatkan kira-kira 120 anggota penguatkuasa itu, pihaknya turut mengeluarkan satu notis di bawah Seksyen 8, akta yang sama kepada seorang pemilik kediaman.

“Biarpun pihak kami tidak menemui jentik-jentik, namun kawasan perkarangan rumahnya yang dipenuhi pelbagai barangan berpotensi menjadi lokasi pembiakan Aedes.

“Melalui notis itu, kita beri tempoh tujuh hari kepada pemilik untuk membersihkan pekarangan rumahnya atau bakal dikenakan tindakan mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, penguatkuasaan membasmi pembiakan Aedes akan diteruskan dari semasa ke semasa terutama melibatkan kawasan tumpuan yang sering mencatatkan peningkatan kes denggi sebelum ini seperti di sekitar daerah itu, Kuala Kedah, Gunung Sali dan sebagainya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Abu Taat berkata, sehingga 9 Februari tahun ini, jumlah kes denggi yang dicatatkan ialah 106 kes dan membabitkan satu kes kematian.

“Daerah Kuala Muda mencatatkan kes tertinggi iaitu 61 kes, diikuti Kota Setar (13 kes); Kulim (10); Baling dan Kubang Pasu (7); Padang Terap (4) dan Pendang (1),” katanya.

“Umumnya kes denggi di negeri itu menunjukkan penurunan iaitu daripada 817 kes dan empat kematian pada 2012 kepada 813 kes dan satu kematian pada tahun lepas.

Tambah beliau, pihaknya akan teruskan usaha membasmi denggi dari semasa ke semasa.

“Selain melalui penguatkuasaan, kita juga memerlukan kesedaran masyarakat supaya memastikan kawasan persekitaran rumah bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

--- SINAR HARIAN