MALARIA merupakan penyakit zaman kuno yang masih bersisa hingga
sekarang. Penyakit bawaan nyamuk yang digeruni itu pernah membunuh
manusia yang berlagak seperti Tuhan iaitu Firaun Tutankhamun.
Jurnal Persatuan Perubatan Amerika dua tahun lalu mendedahkan punca
kematian Tutankhamun atau Raja Tut adalah disebabkan oleh malaria
berikutan penemuan parasit Plasmodium di dalam darahnya. Tutankhamun
meninggal dunia ketika berusia 19 tahun pada tahun 1323 Sebelum Masihi.
Pada zaman moden ini, kemuncak kematian akibat malaria adalah pada
tahun 2004 apabila ia meragut 1.8 juta nyawa berbanding sejuta mangsa
pada tahun 1980. Bagaimanapun, perang manusia menentang malaria
menunjukkan kejayaan berikutan penurunan angka kematian tahun demi
tahun. Tahun lalu, bilangan korban malaria adalah seramai 1.2 juta
orang.
Perkataan malaria berasal daripada bahasa Itali kuno yang bermaksud
‘udara buruk’ kerana penyakit ini dikaitkan dengan kawasan paya dan
berair iaitu tempat yang sesuai untuk pembiakan nyamuk.
Salah satu kaedah praktikal dalam usaha memerangi malaria adalah
penggunaan kelambu yang mencegah nyamuk tiruk itu daripada menggigit
mangsa.
Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Malaria,
Ray Chambers berkata, walaupun kelambu dilihat sebagai satu kaedah lama,
keberkesanannya telah lama diperakui terutamanya di luar bandar.
Kelambu
“Aktiviti nyamuk tiruk amat aktif pada waktu malam dan dengan
menggunakan kelambu berubat semasa tidur ia dapat mengelakkan risiko
daripada terkena gigitan yang membawa virus malaria,” katanya.
Ujarnya lagi, penggunaan kelambu lebih efektif kerana nyamuk yang terkena pada bahagian kelambu itu akan mati.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan menyasarkan penyakit malaria dapat dihapuskan sepenuhnya antara tahun 2015 hingga 2018.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada penghujung 2008
memaklumkan ramalan tersebut mungkin dicapai dengan usaha pencegahan
yang giat dilakukan.
“Pemantauan berterusan populasi nyamuk Anopheles dan juga demam
malaria di negara ini juga dilihat membantu sehinggakan negara kini
dikelaskan sebagai hampir berjaya membasmi sepenuhnya malaria,” katanya.
Dari segi ubat-ubatan, sebelum ubat Kuinin dijumpai di Peru dan
Equador pada awal 1800-an, tidak banyak ubat lain yang boleh dianggap
berjaya melawan malaria. Kuinin berasal daripada kulit kayu cinchona
iaitu sejenis tumbuhan daripada keluarga kopi. Penduduk pribumi
memanggil ubat itu sebagai quina quina yang bermaksud kulit kayu.
Namun begitu, ia sukar didapati kerana pokok cinchona hanya tumbuh di utara Amerika Selatan.
Kemudian sekitar 1940-an, ubat anti-malaria jenis sintetik,
Chloroquine, dihasilkan dengan kos lebih murah, senang didapati dan
lebih selamat daripada Kuinin.
Pada masa itu, Chloroquine memberikan perlindungan yang lebih lama terhadap serangan kesemua parasit Plasmodium.
Penemuan kedua yang memberikan impak yang besar terhadap wabak
malaria adalah dengan terciptanya Dichloro-Diphenyl-Trichlroethane atau
DDT oleh Paul Muller, ahli kimia dari Switzerland yang telah
dianugerahkan hadiah Nobel.
PENGGUNAAN kelambu berubat semasa tidur dapat mengelakkan risiko terkena gigitan nyamuk tiruk penyebab malaria.
Beliau mencipta bahan itu pada tahun 1948. DDT berperanan
menghapuskan nyamuk Anopheles betina dan kawasan pembiakannya secara
besar-besaran.
“DDT bukan sahaja membunuh nyamuk dewasa tetapi ia juga berkesan
membunuh jentik-jentik. Wabak malaria di seluruh dunia mula menurun
dan dapat dikawal dengan penggunaan DDT dan ubat antimalaria,” katanya.
Pendekatan lain ialah dengan cara penghapusan besar-besaran vektor penyebar parasit malaria.
Penghapusan secara fizikal nyamuk Anopheles dengan menggunakan racun
secara amnya agak murah dan berkesan untuk kawasan yang mudah
dijelajahi.
Idea terbaru dalam proses penghapusan nyamuk Anopheles kini ialah
dengan cara menghasilkan banyak nyamuk jantan Anopheles yang mandul.
Telur hasil daripada persenyawaan dengan nyamuk jantan tidak akan
menetas dan lama-kelamaan populasi nyamuk Anopheles akan pupus dan
seterusnya menyebabkan parasit Plasmodium tidak dapat disebarkan lagi.
Mandul
Nyamuk jantan mandul yang akan dihasilkan melalui proses mutasi gen
(kejuruteraan genetik) mungkin menjadi jalan keluar kepada masalah wabak
malaria.
Demam malaria tersebar kepada manusia oleh nyamuk Anopheles betina
yang menghisap darah tetapi sekumpulan saintis Britain menyatakan
penyakit maut itu boleh dikekang dengan menggunakan nyamuk jantan tanpa
sperma.
Kumpulan saintis Kolej Imperial London memberitahu, nyamuk Anopheles
betina masih boleh mengawan dengan nyamuk jantan yang tiada sperma
kerana ia telah mengalami pengubahsuaian genetik.
namun, menurut mereka, telur yang dikeluarkan nyamuk betina itu tidak
disenyawakan dan ia tidak akan menetas menjadi larva nyamuk.
Penemuan itu boleh membawa perubahan besar dalam perang menentang
malaria berikutan spesies nyamuk Anopheles gambiae sensu stricto yang
menyebarkan malaria di Afrika cuma mengawan sekali dalam seumur
hidup.
“Kami mendapati nyamuk Anopheles betina tidak dapat membezakan nyamuk
Anopheles jantan yang subur atau tanpa sperma,” kata ketua kajian
terbabit, Flaminia Catteruccia.