Chikungunya sakit demam tulang
CHIKUNGUNYA - menambah satu lagi senarai nama penyakit yang berbelit
lidah hendak menyebutnya seperti japanese encephalitis (JE) dan
elephantiasis (untut) dan tifoid (demam kepialu).
Tidak mengapa, anda boleh menggunakan panggilan ringkasnya sahaja yang tidak kurang popularnya iaitu, Chik.
Selain faktor cuaca yang tidak menentu dan tahap kebersihan
sesetengah penduduk yang memualkan, tidak kurang juga yang mengaitkan
punca penyakit-penyakit di atas dengan kemasukan imigran ke tanah air.
Persamaan lain yang ingin diberikan perhatian di dalam perkembangan
ini adalah tentang betapa makhluk kecil bernama nyamuk mengancam
kehidupan gergasi' manusia sehingga menjadi korban.
Kesihatan mendapatkan penjelasan pakar iaitu Ketua Penolong Pengarah,
Cawangan Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan
Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr. Mohamad Ikhsan Selamat
mengenai chikungunya.
Hasilnya dimuatkan dalam bentuk soal jawab seperti berikut:
Apa itu chikungunya?
Penyakit demam chikungunya merupakan penyakit endemik (berlaku dengan
kerap di sesuatu kawasan atau populasi, sentiasa ada) berpunca daripada
virus chikungunya dari keluarga Togaviridae (genus alphavirus).
Kes pertama chikungunya direkodkan pada tahun 1952 di Tanzania,
Afrika. Mendapat namanya dari bahasa Swahili, chikungunya bererti
melengkung ke atas, merujuk kepada bentuk badan pesakit yang berubah
seperti membongkok disebabkan menanggung kesakitan yang teramat.
Sejauh manakah kekerapannya berlaku?
Wabak chikungunya pertama kali dikesan di Afrika Timur, yang berlaku
pada tahun 1952 hingga 1953. Sejurus kemudian, epidemik berlaku di
Filipina (1954, 1956 dan 1968), Indonesia (1973), Thailand, Kemboja,
Vietnam, India, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia.
Sejak tahun 2003, terdapat beberapa wabak berlaku di kepulauan Lautan
Pasifik termasuk Madagascar, Comoros, Mauritius dan La Reunion, dengan
jumlah kes yang meningkat ketara selepas bencana tsunami pada Disember
2004.
Memetik laporan AFP, sebanyak 148 kematian (secara langsung dan tidak
langsung) telah dilaporkan sehingga Mac lalu di La Reunion dengan satu
per tiga daripada penduduknya yang berjumlah 777,000 jatuh sakit
disebabkan oleh virus itu.
Selain insiden yang mula dikesan penularannya sejak 1 April lalu di
Bagan Panchor, Pantai Remis, Perak, negara pernah dilaporkan dua kali
menghadapi wabak ini iaitu pada tahun 1999 di Pelabuhan Klang melibatkan
27 mangsa (majoritinya pendatang asing).
Kes chikungunya yang pertama sekali di Malaysia pernah dilaporkan sekitar tahun 1960-an.
Adakah ini bermakna, individu tertentu lebih rentan terhadap penyakit ini berbanding orang lain?
Sesiapa sahaja yang digigit oleh nyamuk yang telah dijangkiti oleh virus ini boleh mendapat penyakit chikungunya.
Cara penularannya
Chikungunya boleh dikatakan bersaudara dengan penyakit demam denggi
dan demam denggi berdarah kerana ditularkan oleh pembawa yang sama
iaitu nyamuk aedes sama ada aegypty mahupun albopictus.
Bezanya, jika virus denggi menyerang pembuluh darah, virus chikungunya menyerang sendi dan tulang.
Nyamuk aedes lazimnya akan menggigit seseorang yang telah dijangkiti
oleh virus chikungunya dan memindahkan darah berkenaan kepada seorang
mangsa lain yang sihat.
Adakah seseorang itu boleh dijangkiti oleh virus chikungunya beberapa kali seumur hidupnya?
Tidak. Mana-mana individu yang pernah dijangkiti virus ini secara
semula jadinya akan membina daya ketahanan yang bertahan lama.
Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka mungkin mengalami sakit
sendi yang berpanjangan dari beberapa minggu ke bulan lamanya dan
berulang-ulang dalam tempoh yang agak lama, disebabkan oleh reaksi sendi
dan bukannya jangkitan virus.
Diagnos
Chikungunya dikesan melalui ujian darah. Memandangkan kemunculan
klinikal bagi chikungunya dan denggi berdarah mirip di antara
kedua-duanya, pengesahan makmal adalah penting, apatah lagi di
kawasan-kawasan berlakunya kes-kes demam denggi.
Adakah ia boleh dirawat?
Seperti halnya demam denggi berdarah, belum terdapat ubat-ubatan
mahupun vaksin bagi mencegah chikungunya. Rawatan sedia ada yang
diberikan hanya bersifat simptomatik (sokongan, mengikut gejala bagi
melegakannya).
Misalnya, pesakit diberikan ubat penurun panas atau penahan sakit.
Pesakit dinasihatkan banyakkan minum air dan istirahat yang cukup.
Pesakit akan diasingkan dan seboleh-bolehnya elakkan daripada
kemungkinan terdedah kepada digigit nyamuk, sebagai salah satu usaha
mencegah penyebaran virus itu kepada orang lain.
Langkah-langkah pencegahan?
Memandangkan tiada rawatan aktif mahupun rawatan pencegahan
chikungunya, satu-satunya cara mengelakkan jangkitan adalah dengan
mengurangkan pendedahan terhadap jangkitan nyamuk ke tahap maksimum.
Ini termasuklah memusnahkan sarang pembiakan larva bagi menghentikan
rantaian kitar hidup dan penularannya. Antara pelbagai pilihan lain bagi
melindungi diri anda daripada gigitan nyamuk termasuklah:
* Tidur menggunakan kelambu
* Pakai baju berlengan panjang atau berseluar panjang terutamanya
ketika berada di luar rumah pada waktu senja bagi mengelakkan pendedahan
langsung kulit terhadap gigitan nyamuk aedes
* Pasang penghadang nyamuk pada tingkap
* Pasangkan ubat nyamuk lingkaran, elektrik atau menggunakan semburan racun serangga
* Biarkan pengudaraan berlaku sama ada dengan kipas angin atau alat penghawa dingin
* Sapu krim repelen serangga yang disahkan selamat pada kulit dan pakaian.
Tidakkah nyamuk yang membawa virus chikungunya ini turut dijangkiti oleh penyakit tersebut?
Tidak. Bagaimanapun, nyamuk yang membawa darah bervirus di dalam
tubuhnya akan kekal terjangkit sepanjang hayatnya. Tiada bukti
menunjukkan virus chikungunya dipindahkan oleh nyamuk betina kepada
telurnya sebagaimana virus demam denggi.
Adakah seseorang yang telah dijangkiti boleh menularkan penyakit chikungunya kepada orang lain pula?
Tidak. Seseorang yang telah dijangkiti tidak boleh menyebarkan
penyakitnya itu secara langsung kepada orang lain. Proses penularan
hanya berlaku menerusi nyamuk pembawa.
Tempoh pengeraman
Masa di antara gigitan nyamuk pembawa virus chikungunya dengan
terjadinya tanda-tanda penyakit chikungunya berlaku di antara satu
hingga tujuh hari (paling biasa berlaku dalam tempoh dua hingga empat
hari).
Gejala
Simptom-simptom chikungunya secara klinikalnya sangat mirip kepada
demam denggi. Ia lazimnya dimulai dengan demam tinggi secara mendadak
sehingga mencecah 390 celsius.
Lain-lain gejala termasuklah kesejukan, menggigil, ruam pada kaki,
tangan dan badan, kurang selera makan, perut meragam, sakit kepala, mata
merah, sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya), loya dan muntah.
Gejala paling biasa adalah sakit sendi (artritis atau atralgia)
terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali, atau rasa
ngilu pada tulang.
Seperti penyakit-penyakit arbovirus lain, jangkitan chikungunya juga
mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik) atau
menyebabkan kesakitan yang teruk dan gejala yang berpanjangan.
Mujurlah, chikungunya tidak mematikan seperti denggi berdarah. Ia
dikategorikan sebagai penyakit yang sembuh dengan sendirinya. Kalaupun
berlaku kematian, ia adalah dalam jumlah yang kecil.
Jadi, kenapa perlu bimbang?
Dalam tempoh seminggu, pesakit berada dalam keadaan kesakitan yang
akut (sangat teruk) sehingga tidak boleh bergerak atau berjalan
(kelumpuhan sementara) sekali gus menjejaskan kualiti hidupnya.
Pesakit biasanya akan mengalami demam selama lima hingga tujuh hari
sebelum beransur-ansur hilang. Ia bagaimanapun boleh berulang kembali.
Jangan lupa, chikungunya sekeluarga dengan denggi berdarah. Tambahan
pula, gejalanya hampir serupa. Ia juga boleh melemahkan sistem imun
tubuh, menyebabkan badan mudah dijangkiti oleh penyakit-penyakit lain.
--- UTUSAN MALAYSIA